Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  1 Raja-raja 8 >> 

Tabut Perjanjian Dibawa ke Rumah TUHAN

1Kemudian Raja Salomo menyuruh semua pemimpin suku dan puak Israel menghadapnya di Yerusalem, untuk memindahkan Tabut Perjanjian TUHAN dari Sion, Kota Daud, ke Rumah TUHAN.

2Mereka semua berkumpul sempena Perayaan Pondok Daun, iaitu dalam bulan ketujuh, dalam bulan Etanim.

3Setelah semua pemimpin itu berkumpul, para imam mengangkat Tabut Perjanjian

4dan membawanya ke dalam Rumah TUHAN. Orang Lewi dan para imam juga memindahkan Khemah TUHAN dan semua perkakasnya ke Rumah TUHAN.

5Raja Salomo dan segenap umat Israel berkumpul di hadapan Tabut Perjanjian, lalu mempersembahkan korban berupa domba dan lembu yang banyak sekali, sehingga tidak terkira bilangannya.

6Selepas itu para imam membawa Tabut Perjanjian ke dalam Rumah TUHAN, dan meletakkannya di Bilik Maha Suci, di bawah patung kerub.

7Sayap kerub-kerub itu terkembang dan menutupi Tabut Perjanjian serta kayu-kayu pengusungnya.

8Kayu pengusung itu panjang sekali sehingga hujungnya dapat dilihat dari hadapan Bilik Maha Suci, tetapi tidak dapat dilihat dari arah lain. (Kayu-kayu pengusung itu masih di situ hingga sekarang.)

9Tabut Perjanjian hanya mengandungi dua buah batu yang diletakkan di situ oleh Musa, di Gunung Sinai dahulu, ketika TUHAN membuat perjanjian-Nya dengan umat Israel, selepas mereka keluar dari Mesir.

10Sedang para imam meninggalkan Rumah TUHAN, tiba-tiba Rumah itu dipenuhi awan.

11Awan itu berkilauan dengan cahaya hadirat TUHAN, sehingga mereka tidak dapat masuk kembali untuk menyelenggarakan tugas mereka.

12Kemudian Raja Salomo berdoa, "Ya TUHAN, Engkau telah menempatkan matahari di langit, namun Engkau lebih suka tinggal dalam kegelapan awan.

13Sekarang aku telah membina sebuah rumah yang megah bagi-Mu, sebagai tempat kediaman-Mu selama-lamanya."

Titah Ucapan Raja Salomo kepada Rakyat

14Sedang rakyat berkumpul di situ, Raja Salomo berpaling untuk menghadap mereka, lalu memohon Allah memberkati mereka.

15Raja bertitah, "Terpujilah TUHAN, Allah Israel! Dia telah menepati janji yang dibuat-Nya kepada ayahanda beta, Raja Daud, ketika Dia berfirman kepada Raja Daud demikian,

16‘Semenjak Aku membawa umat-Ku keluar dari Mesir, Aku belum pernah memilih kota mana pun di seluruh Israel sebagai tempat pembinaan sebuah rumah, tempat beribadat kepada-Ku. Tetapi Aku telah memilih engkau, hai Daud, untuk memerintah umat-Ku.’"

17Raja Salomo bertitah lagi, "Ayahanda beta, Raja Daud, bercadang untuk membina sebuah rumah sebagai tempat beribadat kepada TUHAN, Allah Israel.

18Tetapi TUHAN berfirman kepadanya, ‘Maksudmu untuk membina sebuah rumah bagi-Ku memang baik,

19tetapi engkau tidak akan membinanya. Anakmu, anakmu sendiri, akan membina rumah-Ku.’

20Sekarang TUHAN telah menepati janji-Nya. Beta telah menggantikan ayahanda beta sebagai raja Israel, dan beta telah membina sebuah rumah sebagai tempat ibadat kepada TUHAN, Allah Israel.

21Beta juga telah menyediakan tempat di dalam Rumah TUHAN untuk Tabut Perjanjian yang mengandungi batu perjanjian antara TUHAN dengan nenek moyang kita, ketika Dia membawa mereka keluar dari Mesir."

Doa Raja Salomo

22Kemudian di hadapan rakyat, Raja Salomo berdiri menghadap mazbah. Baginda mengangkat kedua-dua tangannya

23lalu berdoa, "Ya TUHAN, Allah Israel, tiada yang seperti Engkau di langit atau di bumi. Engkau menepati perjanjian-Mu dengan umat-Mu, dan Engkau menunjukkan kasih-Mu kepada mereka apabila mereka taat kepada-Mu dengan segenap hati.

24Engkau telah menepati janji-Mu kepada ayahandaku, Raja Daud. Pada hari ini, Engkau menepati apa yang telah Engkau janjikan.

25Oleh itu, ya TUHAN, Allah Israel, tepatilah juga janji-Mu yang satu lagi kepada ayahandaku. Engkau berfirman kepadanya bahawa daripada keturunannya akan sentiasa ada seorang untuk memerintah sebagai raja Israel, asalkan mereka taat kepada-Mu seperti Raja Daud.

26Oleh itu, ya Allah Israel, tepatilah semua yang telah Engkau janjikan kepada ayahandaku Raja Daud, hamba-Mu.

27Tetapi, ya Allah, sungguhkah Engkau sudi tinggal di bumi? Bahkan seluruh langit pun tidak cukup luas bagi-Mu, apalagi Rumah yang telah kubina!

28Ya TUHAN, Allahku, aku hamba-Mu. Dengarkanlah doaku, dan kabulkanlah permohonanku hari ini.

29Lindungilah Rumah ini siang dan malam, tempat yang telah Engkau pilih sebagai tempat beribadat kepada-Mu. Dengarkanlah aku apabila aku menghadap tempat ini dan berdoa kepada-Mu.

30Dengarkanlah doaku dan doa umat-Mu apabila mereka menghadap tempat ini dan berdoa. Dari tempat kediaman-Mu di syurga, dengarkanlah kami dan ampunilah kami.

31Apabila seseorang dituduh bersalah terhadap orang lain, lalu disuruh bersumpah di hadapan mazbah di Rumah ini bahawa dia tidak bersalah,

32dengarkanlah dari syurga, ya TUHAN, dan adililah hamba-hamba-Mu. Hukumlah orang yang bersalah setimpal dengan perbuatannya dan bebaskanlah orang yang tidak bersalah.

33Apabila umat-Mu Israel dikalahkan musuh kerana mereka telah berdosa terhadap-Mu, lalu mereka kembali kepada-Mu dan datang ke Rumah ini serta berdoa kepada-Mu dengan rendah hati dan minta diampuni,

34semoga Engkau di syurga, mendengarkan mereka. Ampunkanlah dosa umat-Mu, dan bawalah mereka kembali ke negeri yang Engkau berikan kepada nenek moyang mereka.

35Apabila Engkau menahan hujan kerana umat-Mu telah berdosa terhadap-Mu, lalu mereka bertaubat dan menghadap Rumah ini, dan berdoa kepada-Mu dengan rendah hati,

36semoga Engkau di syurga, mendengarkan mereka. Ampunkanlah dosa raja dan rakyatnya, orang Israel. Ajarlah mereka melakukan apa yang benar. Selepas itu, ya TUHAN, turunkanlah hujan ke atas negeri-Mu ini, yang telah Engkau berikan kepada umat-Mu sebagai pusaka mereka selama-lamanya.

37Apabila kebuluran atau wabak berlaku di negeri ini, atau tanaman musnah kerana angin panas, hama, atau serangan belalang; ataupun apabila umat-Mu diserang musuh, atau penyakit,

38dengarkanlah doa mereka. Jika ada orang di kalangan umat-Mu Israel, dengan bersedih hati mengangkat tangan dan berdoa kepada-Mu sambil menghadap Rumah ini,

39dengarkanlah doa mereka. Dengarkanlah mereka dari tempat kediaman-Mu di syurga, dan ampunilah dan tolonglah mereka. Hanya Engkau yang tahu isi hati manusia. Oleh itu, perlakukanlah tiap-tiap orang setimpal dengan perbuatannya,

40supaya umat-Mu sentiasa taat kepada-Mu dan tinggal di negeri yang telah Engkau berikan kepada nenek moyang kami.

41Apabila seorang bangsa asing yang tinggal di negeri jauh mendengar tentang kebesaran-Mu, dan juga tentang mukjizat-mukjizat yang telah Engkau lakukan bagi umat-Mu, lalu datang menyembah-Mu dan berdoa di Rumah ini,

42(8:41)

43dengarkanlah doanya. Dengarkanlah dia dari tempat kediaman-Mu di syurga, dan kabulkanlah permintaannya supaya semua bangsa di dunia mengenal Engkau dan taat kepada-Mu, seperti umat-Mu Israel. Barulah mereka tahu bahawa Rumah yang telah aku bina ini ialah tempat untuk beribadat kepada-Mu.

44Apabila Engkau memerintah umat-Mu bertempur untuk melawan musuh, dan mereka berdoa kepada-Mu di mana sahaja mereka berada, sambil menghadap kota yang telah Engkau pilih dan Rumah ini yang telah aku bina untuk-Mu,

45dengarkanlah doa mereka. Engkau yang di syurga, dengarkanlah mereka, dan berilah mereka kemenangan.

46Apabila umat-Mu berdosa terhadap-Mu -- kerana tiada sesiapa pun yang tidak berdosa -- dan kerana kemurkaan-Mu Engkau membiarkan mereka dikalahkan, ditawan oleh musuh, dan dibawa ke negeri lain, walaupun negeri itu jauh,

47dengarkanlah umat-Mu. Jika mereka bertaubat dan berdoa kepada-Mu di negeri itu, serta mengaku bahawa mereka telah berdosa dan berbuat jahat, dengarkanlah doa mereka, ya TUHAN.

48Jika di negeri itu mereka bertaubat dengan tulus dan ikhlas, dan berdoa kepada-Mu sambil menghadap ke arah negeri ini yang telah Engkau berikan kepada nenek moyang kami dan ke arah kota yang telah Engkau pilih, serta Rumah ini yang telah aku bina untuk-Mu,

49dengarkanlah doa mereka. Dari tempat kediaman-Mu di syurga, dengarkanlah permintaan mereka dan kasihanilah mereka.

50Ampunkanlah semua dosa dan pemberontakan mereka terhadap-Mu, dan buatlah musuh mereka mengasihani mereka.

51Mereka umat-Mu sendiri, yang Engkau bawa keluar dari Mesir, tempat mereka diseksa.

52Ya TUHAN Raja, semoga Engkau sentiasa berkenan kepada umat-Mu Israel dan raja mereka. Dengarkanlah doa mereka setiap kali mereka berseru kepada-Mu meminta tolong.

53Engkau telah memilih mereka antara semua bangsa untuk menjadi umat-Mu sendiri; itulah firman-Mu kepada mereka melalui hamba-Mu Musa ketika Engkau membawa nenek moyang kami keluar dari Mesir."

Doa Penutup

54Demikianlah Raja Salomo berdoa kepada TUHAN sambil berlutut dan mengangkat tangan. Selepas itu baginda berdiri di hadapan mazbah.

55Dengan suara kuat baginda berdoa minta Allah memberkati semua orang yang berkumpul di situ, katanya,

56"Terpujilah TUHAN yang telah memberi umat-Nya kesejahteraan seperti yang dijanjikan-Nya melalui Musa, hamba-Nya. Semua yang baik yang dijanjikan-Nya telah ditepati-Nya.

57Semoga TUHAN, Allah kita menyertai kita sebagaimana Dia menyertai nenek moyang kita. Semoga Dia tidak meninggalkan kita atau membuang kita.

58Semoga Dia menjadikan kita orang yang taat kepada-Nya supaya kita sentiasa hidup menurut kehendak-Nya, dan mentaati semua hukum dan perintah yang diberikan-Nya kepada nenek moyang kita.

59Semoga TUHAN, Allah kita, sentiasa ingat akan doa dan permintaan yang beta sampaikan kepada-Nya ini. Semoga Dia sentiasa mengasihani umat-Nya Israel dan raja mereka, dengan memberi mereka apa yang diperlukan setiap hari.

60Dengan demikian semua bangsa di bumi akan tahu bahawa TUHAN sahaja Allah, dan tiada yang lain.

61Semoga kamu umat-Nya sentiasa setia kepada TUHAN, Allah kita, sambil taat kepada semua hukum dan perintah-Nya seperti yang kamu lakukan pada hari ini."

Pentahbisan Rumah TUHAN

62Selepas itu Raja Salomo dan segenap umat yang berkumpul di situ mempersembahkan korban kepada TUHAN.

63Raja Salomo mempersembahkan 22,000 ekor lembu dan 120,000 ekor domba sebagai korban untuk memohon berkat TUHAN. Demikianlah Raja Salomo dan segenap rakyat mentahbiskan Rumah TUHAN.

64Pada hari itu raja juga mentahbiskan bahagian tengah halaman, iaitu kawasan sebelah depan Rumah TUHAN. Di situ baginda mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, korban untuk mengucap syukur dan lemak binatang daripada korban untuk memohon berkat TUHAN. Raja mempersembahkan semuanya di situ kerana mazbah gangsa yang dibina baginda, terlalu kecil untuk semua korban itu.

65Di Rumah TUHAN itu juga, Raja Salomo dan segenap umat Israel merayakan Perayaan Pondok Daun selama tujuh hari. Banyak sekali orang yang datang untuk merayakan perayaan itu. Mereka dari daerah sejauh Genting Hamat di utara dan sempadan negeri Mesir di selatan.

66Pada hari kelapan, Raja Salomo menyuruh semua orang itu pulang. Mereka pulang dengan sukacita, sambil memuji raja bagi segala berkat yang telah diberikan TUHAN kepada Raja Daud, hamba-Nya, dan segenap umat-Nya Israel.



 <<  1 Raja-raja 8 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel