Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  2 Korintus 1 >> 

1Surat ini daripada Paulus yang dilantik sebagai rasul Yesus Kristus menurut kehendak Allah, dan daripada saudara kita Timotius. Surat ini ditujukan kepada jemaah Allah di Korintus, dan kepada semua umat Allah di seluruh Akhaya.

2Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan.

Paulus Bersyukur kepada Allah

3Marilah kita bersyukur kepada Allah, Bapa Tuhan kita Yesus Kristus. Dia Bapa yang berbelas kasihan dan Dia Allah yang sentiasa menolong kita.

4Dia menolong kami semasa kami mengalami kesusahan, supaya dengan pertolongan yang kami terima daripada Allah, kami pun dapat menolong semua orang yang mengalami kesusahan.

5Penderitaan yang dialami oleh Kristus, kami alami juga. Melalui Kristus juga, kami ditolong oleh Allah.

6Jika kami menderita, hal itu untuk pertolongan dan penyelamatan kamu. Jika kami ditolong oleh Allah, kamu juga mendapat pertolongan sehingga kamu tabah hati dan sabar dalam menghadapi kesusahan yang seperti kami alami.

7Oleh itu kami selalu yakin akan kamu. Kami tahu bahawa sebagaimana kamu mengalami penderitaan yang kami alami, kamu juga mendapat pertolongan seperti kami.

8Saudara-saudaraku, kami mahu kamu mengetahui kesusahan yang kami alami di wilayah Asia. Penderitaan yang kami tanggung itu sedemikian berat sehingga kami kehilangan harapan untuk hidup.

9Kami berasa seolah-olah sudah dijatuhi hukuman mati. Tetapi sebenarnya perkara itu berlaku, supaya kami tidak bergantung kepada diri sendiri, melainkan kepada Allah yang membangkitkan orang mati.

10Dia sudah menyelamatkan kami daripada bahaya kematian yang besar itu, dan Dia akan menyelamatkan kami. Kepada Dialah kami berharap, kerana Dia akan menyelamatkan kami lagi.

11Dengan bantuan doa kamu, kami yakin bahawa Allah akan memberkati kami sebagai jawapan kepada doa-doa kamu untuk kami. Lalu banyak orang akan bersyukur kepada Allah kerana kami.

Paulus Mengubah Rancangannya

12Kami merasa bangga kerana hati nurani kami meyakinkan kami bahawa hidup kami di dunia ini, terutama sekali hubungan kami dengan kamu, dikuasai oleh keikhlasan dan ketulusan yang dikurniakan oleh Allah. Kami melakukannya bukan dengan kebijaksanaan manusia, tetapi dengan kebolehan yang diberikan oleh Allah.

13Kami menulis kepada kamu hanya tentang perkara yang dapat kamu baca dan fahami. Aku berharap kamu akan betul-betul memahami kami kelak, walaupun sekarang kamu kurang memahami kami. Dengan demikian pada hari Tuhan Yesus datang kelak, kamu akan bangga dengan kami, seperti kami pun akan bangga dengan kamu.

14(1:13)

15Aku begitu yakin akan semua itu, sehingga pada mulanya aku bercadang hendak melawat kamu, supaya kamu boleh menerima berkat dua kali ganda.

16Aku bercadang hendak melawat kamu dalam perjalananku ke Makedonia dan juga dalam perjalanan kembali supaya kamu dapat membantu aku meneruskan perjalanan ke Yudea.

17Tetapi aku mengubah rancanganku. Adakah hal itu bererti bahawa pendirianku tidak tetap? Semasa aku mencadangkan sesuatu, adakah aku mementingkan diri sendiri sahaja, kerana sebentar berkata "Ya" dan sebentar "Tidak"?

18Demi Allah yang dapat dipercayai, janjiku kepada kamu bukanlah "Ya" dan "Tidak."

19Hal itu demikian kerana Yesus Kristus, Anak Allah yang diisytiharkan kepada kamu oleh Silas, Timotius dan aku sendiri bukanlah "Ya" dan "Tidak." Sebaliknya Dia itu jawapan "Ya" daripada Allah,

20kerana melalui Dia, Allah sudah mengatakan "Ya" kepada semua janji-Nya. Itulah sebabnya melalui Yesus Kristus, kata "Amin" kita ucapkan untuk memuliakan Allah.

21Allah sendirilah yang menjadikan kami dan kamu teguh bersatu dengan Kristus. Dia juga sudah memilih kita khas untuk diri-Nya sendiri.

22Untuk mengesahkan kita sebagai milik Allah, Allah mengurniai kita Roh Allah di dalam hati kita. Roh itu jaminan bahawa Allah akan mengurniakan semua yang sudah dijanjikan-Nya kepada kita.

23Allah saksiku; Dia tahu akan isi hatiku! Sebenarnya aku membatalkan lawatan ke Korintus, kerana aku tidak mahu menyedihkan hati kamu.

24Kami tidak mahu memaksa kamu tentang apa yang harus kamu percayai, kerana kamu sungguh-sungguh percaya kepada Kristus. Kami hanya bekerjasama dengan kamu, supaya kamu semakin berbahagia.



Download Audio MP3 (2 Korintus 1):
Mobile (Low Quality) - CD (High Quality)

 <<  2 Korintus 1 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel