Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  2 Samuel 10 >> 

Raja Daud Mengalahkan Orang Amon dan Orang Siria

1Beberapa waktu kemudian Raja Nahas dari Amon, mangkat. Lalu baginda digantikan oleh Hanun, puteranya.

2Raja Daud bertitah, "Raja Nahas ialah sahabat beta yang setia. Oleh itu beta juga harus bersahabat dengan Raja Hanun puteranya." Maka Raja Daud mengirim beberapa orang utusan untuk menyampaikan takziah kepada Raja Hanun. Apabila utusan-utusan itu tiba di Amon,

3para pemimpin Amon berkata kepada raja mereka, "Janganlah tuanku berfikir bahawa Raja Daud mengirim para utusan itu untuk menyampaikan takziah kerana baginda mahu menghormati ayahanda tuanku! Raja Daud mengirim semua orang itu ke sini sebagai pengintip untuk menyelidiki kota ini, supaya baginda dapat menakluki kita."

4Kemudian Raja Hanun menangkap para utusan Raja Daud, mencukur sebahagian daripada janggut mereka, memotong pakaian mereka pada pangkal paha, lalu menyuruh mereka pergi.

5Para utusan itu sangat malu untuk pulang. Apabila hal itu diberitahukan kepada Raja Daud, baginda mengirim pesan supaya utusan-utusan itu tinggal di Yerikho sampai janggut mereka tumbuh semula.

6Kemudian orang Amon sedar bahawa mereka sudah menjadikan Raja Daud musuh mereka. Oleh itu mereka mengupah askar-askar orang Siria: 20,000 orang yang tinggal di Bet-Rehob dan Zoba, dan 12,000 orang dari Tob, serta raja negeri Maakha bersama dengan 1,000 orang anak buahnya.

7Ketika Raja Daud mendengar hal itu, baginda menyuruh Yoab dengan seluruh angkatan perang supaya maju melawan musuh.

8Orang Amon pergi ke luar lalu mengatur tentera mereka di hadapan pintu gerbang Raba, ibu kota mereka; sedangkan orang Siria, orang Tob, dan orang Maakha pula mengatur barisan mereka di padang.

9Yoab sedar bahawa dia terjepit oleh pasukan musuh di hadapan dan di belakang. Oleh itu dia memilih tentera Israel yang terbaik dan menempatkan mereka berhadapan dengan tentera Siria.

10Yoab menyerahkan pasukan yang selebihnya kepada Abisai, adiknya. Abisai mengatur barisan itu berhadapan dengan pasukan orang Amon.

11Yoab berkata kepada adiknya, "Jika aku tidak sanggup bertahan menghadapi tentera Siria, cepatlah tolong aku; sebaliknya, jika engkau tidak sanggup bertahan menghadapi tentera Amon, aku akan datang menolongmu.

12Tabahkanlah hatimu, dan berjuanglah dengan berani untuk bangsa kita dan untuk kota-kota Allah kita. Semoga TUHAN melakukan apa yang baik bagi-Nya."

13Yoab dan pasukannya maju berperang, sehingga tentera Siria lari.

14Apabila tentera Amon nampak tentera Siria lari, mereka meninggalkan Abisai lalu masuk ke dalam kota. Setelah memerangi orang Amon, Yoab pulang ke Yerusalem.

15Orang Siria sedar bahawa mereka telah dikalahkan oleh orang Israel, maka mereka mengumpulkan semua tentera mereka.

16Raja Hadadezer memanggil tentera Siria yang berada di sebelah timur Sungai Efrat. Mereka datang ke Helam di bawah pimpinan Sobakh, panglima tentera Raja Hadadezer dari Zoba.

17Apabila Raja Daud mendengar hal itu, baginda mengumpulkan tentera Israel. Kemudian mereka menyeberangi Sungai Yordan, dan menuju ke Helam. Di situ orang Siria mengatur tentera mereka lalu maju menyerang tentera Raja Daud.

18Tetapi tentera Israel memukul mundur tentera Siria. Raja Daud dan tenteranya membunuh 700 orang pemandu kereta kuda dan 40,000 orang daripada pasukan berkuda. Mereka juga mencederakan Sobakh, panglima tentera musuh, lalu dia mati di medan pertempuran.

19Apabila raja-raja yang di bawah kuasa Raja Hadadezer sedar bahawa mereka sudah dikalahkan oleh orang Israel, raja-raja itu berdamai dengan orang Israel dan takluk ke bawah kuasa mereka. Sejak itu orang Siria tidak lagi berani membantu orang Amon.



 <<  2 Samuel 10 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel