Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  2 Tawarikh 28 >> 

Raja Ahas, Raja Yehuda

1Raja Ahas menjadi raja ketika baginda berusia dua puluh tahun, dan baginda memerintah di Yerusalem selama enam belas tahun. Baginda tidak mengikut teladan baik nenek moyangnya, Raja Daud. Sebaliknya, Raja Ahas melakukan apa yang tidak diperkenankan TUHAN,

2dan mengikut cara hidup raja-raja Israel. Raja Ahas membuat patung-patung Baal daripada logam.

3Baginda membakar kemenyan di Lembah Hinom, bahkan mempersembahkan putera-puteranya sendiri sebagai korban yang dibakar kepada berhala-berhala. Baginda mengikut perbuatan keji yang dilakukan bangsa yang telah diusir oleh TUHAN apabila umat Israel memasuki negeri itu.

4Di tempat penyembahan berhala, di bukit-bukit dan di bawah tiap-tiap pokok rendang, Raja Ahas mempersembahkan korban dan membakar kemenyan.

Perang Melawan Siria dan Israel

5Oleh sebab Raja Ahas berdosa, TUHAN, Allahnya membiarkan raja Siria mengalahkan baginda dan membawa banyak penduduk Yehuda ke Damsyik sebagai orang tawanan. TUHAN juga membiarkan raja Israel, iaitu Raja Pekah anak Remalya, mengalahkan Raja Ahas dan membunuh 120,000 orang askar Yehuda yang gagah berani, dalam satu hari. TUHAN, Allah nenek moyang mereka, membiarkan perkara itu berlaku kerana penduduk Yehuda telah meninggalkan Dia.

6(28:5)

7Seorang askar Israel yang bernama Zikhri membunuh Maaseya, putera Raja Ahas, dan Azrikam ketua istana, serta Elkana, pegawai kanan raja.

8Walaupun penduduk Yehuda sesama bangsa mereka, penduduk Israel menawan 200,000 orang perempuan dan kanak-kanak, lalu membawa mereka ke Samaria bersama dengan banyak lagi barang jarahan.

Nabi Oded

9Seorang nabi TUHAN yang bernama Oded tinggal di kota Samaria. Dia bertemu dengan tentera Israel yang kembali membawa orang tawanan dari Yehuda. Ketika tentera itu masuk ke kota, Oded berkata kepada mereka, "TUHAN, Allah nenek moyang kamu, murka terhadap penduduk Yehuda. Oleh itu Dia membiarkan kamu mengalahkan mereka. Tetapi Dia telah mendengar betapa kejamnya kamu membunuh mereka.

10Sekarang kamu pun menawan penduduk Yerusalem dan Yehuda, dan hendak menjadikan mereka abdi kamu. Tidakkah kamu tahu bahawa kamu sendiri pun telah berdosa terhadap TUHAN, Allah kamu?

11Dengarlah, orang tawanan ini saudara-saudara kamu. Lepaskanlah mereka! Jika tidak, TUHAN akan murka terhadap kamu dan menghukum kamu."

12Empat orang pemimpin Kerajaan Utara, iaitu Azarya anak Yohanan, Berekhya anak Mesilemot, Yehizkia anak Salum, dan Amasa anak Hadlai, juga menentang perbuatan tentera itu.

13Mereka berkata, "Jangan bawa orang tawanan itu ke sini. Kita telah berdosa terhadap TUHAN, dan dosa kita sudah cukup besar untuk dihukum. Sekarang kamu membuat sesuatu yang hanya akan menambah kesalahan kita."

14Oleh itu tentera menyerahkan orang tawanan dan barang jarahan itu kepada rakyat dan pemimpin-pemimpin mereka.

15Empat orang pemimpin itu dipilih untuk memberikan pakaian daripada barang jarahan kepada orang tawanan yang tidak berpakaian. Mereka juga diberikan pakaian dan kasut, makanan dan minuman. Luka-luka mereka diubati dengan minyak zaitun. Orang yang terlalu lemah untuk berjalan dinaikkan ke atas keldai, dan semua orang tawanan itu dibawa semula ke wilayah Yehuda, ke kota Yerikho, iaitu kota pokok kurma. Kemudian orang Israel pulang semula ke Samaria.

Raja Ahas Meminta Pertolongan daripada Asyur

16Orang Edom mulai lagi menyerang Yehuda dan menawan banyak orang. Oleh itu Raja Ahas meminta pertolongan daripada Raja Tiglat-Pileser, raja negeri Asyur.

17(28:16)

18Sementara itu orang Filistin sedang menyerang kota-kota di daerah kaki bukit di sebelah barat dan di bahagian selatan Yehuda. Mereka merampas kota Bet-Semes, Ayalon dan Gederot, dan juga kota Sokho, Timna, dan Gomzo serta pekan-pekan di sekitar kota-kota itu, lalu mereka menetap di sana.

19Oleh sebab Raja Ahas penguasa dari Yehuda itu meninggalkan TUHAN dan tidak menghormati hak rakyat, maka TUHAN mendatangkan kesusahan di Yehuda.

20Raja Asyur datang bukan untuk menolong Raja Ahas, melainkan untuk menyusahkan baginda.

21Oleh itu Raja Ahas mengambil emas dari Rumah TUHAN, istana, dan rumah para pemimpin rakyat, lalu memberikan semuanya kepada raja Asyur, tetapi usaha Raja Ahas itu sia-sia sahaja.

Dosa-Dosa Raja Ahas

22Dalam keadaan yang sangat susah itu, Raja Ahas malah semakin berdosa terhadap TUHAN.

23Baginda mempersembahkan korban kepada dewa-dewa orang Siria yang telah mengalahkan baginda. Raja Ahas bertitah, "Dewa-dewa orang Siria telah menolong raja-raja Siria. Jika beta mempersembahkan korban kepada dewa-dewa itu, beta juga akan ditolong." Perbuatan itu mendatangkan bencana terhadap dirinya dan rakyatnya.

24Selain itu, Raja Ahas mengambil semua perkakas Rumah TUHAN dan menghancurkannya. Baginda menutup Rumah TUHAN, lalu membina mazbah-mazbah di seluruh Yerusalem.

25Baginda membina tempat-tempat penyembahan berhala di tiap-tiap kota dan pekan di Yehuda; orang membakar kemenyan bagi dewa bangsa lain di atas mazbah-mazbah itu. Dengan demikian baginda menyebabkan TUHAN, Allah nenek moyangnya murka terhadap dirinya.

26Semua perbuatannya yang lain pada masa pemerintahannya, dari permulaan hingga akhir, tercatat di dalam kitab Sejarah Raja-Raja Yehuda dan Israel.

27Raja Ahas mangkat lalu dimakamkan di Yerusalem, tetapi bukan di makam diraja. Puteranya Hizkia menggantikan baginda sebagai raja.



 <<  2 Tawarikh 28 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel