Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Bilangan 20 >> 

Peristiwa-Peristiwa di Kades

1Pada bulan yang pertama, segenap umat Israel tiba di padang gurun Zin, lalu mereka berkhemah di Kades. Di situlah Miryam meninggal dan dikebumikan.

2Pada suatu masa di tempat umat Israel berkhemah, tidak terdapat air. Oleh itu mereka berkumpul di sekeliling Musa dan Harun,

3sambil bersungut-sungut, "Lebih baik kami mati bersama dengan saudara-saudara kami di hadapan Khemah TUHAN.

4Mengapa kamu membawa kami ke padang gurun ini? Adakah kamu mahu kami mati di sini bersama dengan ternakan kami?

5Mengapa kamu membawa kami keluar dari Mesir, lalu pergi ke tempat celaka yang tidak dapat ditanami apa-apa? Di sini tidak ada gandum, buah ara, buah anggur, ataupun buah delima. Bahkan air minum pun tidak ada!"

6Musa dan Harun menjauhi umat itu, lalu berdiri di pintu Khemah TUHAN. Mereka bersujud, lalu cahaya hadirat TUHAN menyinari mereka.

7TUHAN berfirman kepada Musa,

8"Ambillah tongkat di depan Tabut Perjanjian itu, lalu engkau bersama-sama Harun harus mengumpulkan semua orang Israel. Di depan mereka semua, berkatalah kepada bukit batu di situ, lalu batu itu akan memancarkan air. Dengan cara itu engkau akan mengeluarkan air dari batu itu untuk orang Israel, supaya mereka dan ternakan mereka dapat minum."

9Musa mengambil tongkat itu sebagaimana yang diperintahkan TUHAN.

10Musa dan Harun mengumpulkan semua orang Israel di depan bukit batu itu. Kemudian Musa berkata, "Dengarlah, hai pemberontak! Haruskah kami mengeluarkan air dari bukit batu ini untuk kamu?"

11Kemudian Musa mengangkat tongkat itu dan memukulkannya dua kali pada bukit batu itu. Air memancar keluar sehingga segenap umat itu dan ternakan mereka dapat minum.

12Tetapi TUHAN menegur Musa dan Harun, lalu berfirman, "Kerana kamu kurang percaya kepada-Ku untuk menyatakan kuasa-Ku yang suci di hadapan umat Israel, kamu tidak akan memimpin umat itu ke tanah yang Aku janjikan kepada mereka."

13Peristiwa itu terjadi di Meriba. Di tempat itu umat Israel bersungut-sungut terhadap TUHAN, dan di situ juga TUHAN menunjukkan kuasa-Nya yang suci kepada umat itu.

Raja Edom Tidak Membenarkan Orang Israel Lalu

14Kemudian Musa mengutus utusan-utusan dari Kades untuk menghadap raja Edom. Para utusan itu berkata, "Hamba semua daripada suku-suku Israel yang masih ada hubungan kekeluargaan dengan tuanku. Tuanku tahu akan kesusahan yang menimpa hamba sekalian.

15Nenek moyang hamba pergi ke negeri Mesir dan menetap di sana bertahun-tahun lamanya. Nenek moyang hamba dan hamba sekalian dianiaya oleh bangsa Mesir,

16lalu hamba semua berseru meminta tolong kepada TUHAN. TUHAN mendengar seruan hamba sekalian lalu mengutus satu malaikat untuk memimpin hamba semua keluar dari Mesir. Sekarang hamba sekalian berada di Kades, sebuah kota di sempadan tanah tuanku.

17Benarkanlah hamba semua melalui tanah tuanku. Hamba sekalian dan ternakan hamba semua tidak akan menyimpang ke ladang atau ke kebun anggur tuanku. Hamba sekalian tidak akan minum air dari perigi tuanku. Hamba semua akan terus mengikut jalan raya sehingga hamba sekalian keluar dari tanah tuanku."

18Tetapi orang Edom menjawab, "Kami tidak membenarkan kamu melalui tanah kami! Jika kamu nekad juga, kami akan menyerang kamu."

19Orang Israel berkata, "Kami akan melalui jalan raya sahaja. Jika kami atau ternakan kami minum air kamu, kami akan membayarnya. Kami mahu lalu sahaja."

20Orang Edom berkata lagi, "Tidak boleh!" Kemudian mereka keluar dengan tentera yang kuat untuk menyerang orang Israel.

21Oleh sebab orang Edom tidak membenarkan orang Israel melalui tanah mereka, orang Israel terpaksa mengambil jalan lain.

Harun Meninggal

22Semua orang Israel meninggalkan Kades lalu tiba di Gunung Hor,

23di sempadan tanah Edom. Di sana TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun,

24"Harun tidak akan pergi ke tanah yang Aku janjikan kepada orang Israel. Dia akan meninggal kerana kamu berdua telah membantah perintah-Ku di Meriba.

25Bawalah Harun dan Eleazar, anaknya, ke Gunung Hor.

26Tanggalkanlah jubah imam yang dipakai Harun lalu kenakan jubah itu pada Eleazar. Harun akan meninggal di tempat itu."

27Musa pun mematuhi perintah TUHAN. Musa, Harun, dan Eleazar naik ke Gunung Hor sambil disaksikan oleh semua orang Israel.

28Kemudian Musa menanggalkan jubah Harun dan mengenakannya pada Eleazar. Di atas gunung itu Harun meninggal, lalu Musa dan Eleazar turun.

29Semua orang Israel mendengar bahawa Harun sudah meninggal, lalu mereka berkabung baginya selama tiga puluh hari.



 <<  Bilangan 20 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel