Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Bilangan 21 >> 

Kemenangan atas Orang Kanaan

1Arad ialah sebuah kota di bahagian selatan tanah Kanaan. Ketika raja kota itu mendengar bahawa umat Israel datang melalui jalan Atarim, raja itu pergi menyerang mereka dan menawan beberapa orang.

2Kemudian umat Israel bernazar kepada TUHAN. Mereka berkata, "Ya TUHAN, jika Engkau membenarkan kami mengalahkan penduduk negeri ini, kami akan memusnahkan kota-kota mereka serta penduduk kota, sebagai tanda bahawa semuanya milik-Mu."

3TUHAN mengabulkan permintaan umat Israel, dan menolong mereka mengalahkan orang Kanaan. Umat Israel membinasakan semua orang Kanaan dan kota-kota mereka. Umat Israel menamakan tempat itu Horma.

Ular daripada Gangsa

4Kemudian umat Israel meninggalkan Gunung Hor dan mengikut jalan yang menuju ke Teluk Akaba untuk mengelilingi tanah Edom. Tetapi di tengah jalan mereka hilang sabar,

5lalu bersungut-sungut terhadap Allah dan Musa. Mereka berkata, "Mengapakah kamu membawa kami keluar dari Mesir untuk mati di padang gurun ini? Di sini tidak ada makanan ataupun air. Kami muak dengan makanan yang tawar ini!"

6Kemudian TUHAN mendatangkan ular-ular berbisa di tengah-tengah mereka dan banyak orang Israel mati dipatuk ular.

7Umat Israel datang kepada Musa dan berkata, "Kami berdosa ketika kami bersungut-sungut terhadap TUHAN dan terhadap kamu. Berdoalah kepada TUHAN supaya ular-ular ini dijauhkan daripada kami." Maka Musa berdoa kepada TUHAN untuk umat itu.

8Setelah itu TUHAN menyuruh Musa membuat seekor ular daripada logam dan memasangnya pada sebatang tiang, supaya sesiapa yang dipatuk ular boleh memandang ular daripada logam itu, lalu sembuh.

9Kemudian Musa membuat seekor ular daripada gangsa lalu memasangnya pada sebatang tiang. Setiap orang yang dipatuk ular akan sembuh jika memandang ular daripada gangsa itu.

Dari Gunung Hor ke Lembah Moab

10Umat Israel meneruskan perjalanan lalu berkhemah di Obot.

11Dari Obot mereka berangkat lagi, lalu berkhemah di reruntuhan Abarim di padang gurun, di bahagian timur tanah Moab.

12Kemudian mereka berkhemah di Lembah Zered.

13Setelah itu mereka berangkat lagi dan berkhemah di utara Sungai Arnon, di padang gurun yang terbentang sampai ke negeri orang Amori. Sungai Arnon ialah sempadan Moab dan tanah orang Amori.

14Itulah sebabnya di dalam Kitab Peperangan TUHAN ada tertulis, "... Waheb di daerah Sufa dan lembah-lembahnya; Sungai Arnon

15dan lereng lembah-lembah yang terbentang sampai ke kota Ar dan ke arah sempadan tanah Moab."

16Dari sana mereka pergi ke tempat yang bernama Beer, yang bermakna perigi-perigi. Di situ TUHAN berfirman kepada Musa, "Kumpulkanlah umat itu; Aku akan memberi mereka air."

17Pada masa itu umat Israel menyanyikan lagu ini: "Hai perigi-perigi, pancarkanlah airmu, kami akan menyambutnya dengan lagu.

18Perigi yang digali oleh para penguasa dan oleh para pemimpin bangsa; digali dengan tongkat diraja, dan dengan tongkat tanda kuasa mereka." Dari kawasan gurun mereka pergi ke Matana,

19dan dari sana mereka pergi ke Nahaliel, dan dari Nahaliel ke Bamot,

20dan dari Bamot ke lembah di tanah Moab, di bawah puncak Gunung Pisga yang menghala ke kawasan gurun.

Kemenangan atas Raja Sihon dan Raja Og

21Kemudian umat Israel mengutus utusan-utusan kepada Raja Sihon, penguasa orang Amori. Para utusan itu berkata,

22"Benarkanlah hamba semua melalui negeri tuanku. Hamba sekalian dan ternakan hamba semua tidak akan menyimpang ke ladang atau ke kebun anggur tuanku. Hamba sekalian tidak akan minum air dari perigi tuanku. Hamba semua akan mengikut jalan raya sehingga hamba sekalian keluar dari tanah tuanku."

23Tetapi Raja Sihon tidak membenarkan umat Israel melintasi tanah baginda. Raja Sihon mengumpulkan tenteranya lalu pergi ke Yahas untuk menyerang umat Israel di kawasan gurun itu.

24Tetapi dalam pertempuran itu umat Israel membunuh banyak askar Amori. Oleh itu umat Israel menduduki negeri mereka, dari Sungai Arnon sampai ke Sungai Yabok di utara, iaitu sempadan kawasan orang Amon, kerana pertahanan di sempadan Amon sangat kuat.

25Demikianlah umat Israel merebut semua kota orang Amori, termasuk Hesybon dan semua pekan di sekelilingnya, lalu mereka menetap di situ.

26Hesybon ialah ibu kota Raja Sihon, penguasa negeri Amori. Dia pernah mengalahkan raja Moab dan menduduki seluruh tanahnya sampai ke Sungai Arnon.

27Itulah sebabnya para pujangga bersyair begini, "Datanglah ke Hesybon, ke kota Raja Sihon. Kami ingin melihat kota ini dibangun dan dipulihkan.

28Sekali peristiwa di kota ini, tentera Raja Sihon mara bagaikan api yang menghancurkan kota Ar di Moab, dan menelan bukit-bukit di sepanjang Arnon.

29Hai orang Moab, alangkah malangnya kamu! Hai pemuja Kamos, binasalah kamu! Tuhan kamu membiarkan kaum lelaki menjadi pelarian, dan kaum wanita menjadi tawanan raja Amori.

30Tetapi kini keturunan mereka binasa, di sepanjang jalan dari Hesybon ke Dibon, dari Nasyim ke Nofah dekat Medeba."

31Dengan demikian umat Israel menetap di tanah orang Amori.

32Musa mengutus orang mencari jalan yang terbaik untuk menyerang kota Yaezer. Umat Israel merebut kota itu serta pekan-pekan di sekelilingnya, dan mengusir orang Amori yang tinggal di situ.

33Kemudian umat Israel membelok lalu mengikut jalan ke Basan. Tetapi Raja Og dari Basan, berangkat dengan tenteranya dan menyerang mereka di Edrei.

34TUHAN berfirman kepada Musa, "Jangan takut kepadanya. Aku akan memberikan kemenangan kepadamu. Engkau akan mengalahkan raja itu, segenap rakyatnya, dan merebut tanah serta negerinya. Perlakukanlah raja itu sebagaimana engkau memperlakukan Raja Sihon, raja Amori yang memerintah di Hesybon."

35Oleh itu umat Israel membunuh Raja Og, putera-puteranya, dan semua rakyatnya. Mereka tidak membiarkan seorang pun hidup. Kemudian mereka menduduki tanah itu.



 <<  Bilangan 21 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel