Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Hosea 10 >> 

1Orang Israel seperti pokok anggur yang berbuah lebat. Semakin makmur mereka, semakin banyak mazbah yang didirikan mereka. Semakin banyak hasil bumi mereka, semakin indah pula tugu-tugu berhala yang dibuat mereka.

2Hati mereka penuh dengan tipu daya dan sekarang mereka harus menderita akibat dosa mereka. Allah akan merobohkan mazbah-mazbah mereka dan memusnahkan tugu-tugu berhala mereka.

3Tidak lama lagi mereka akan berkata, "Kita tidak mempunyai raja kerana kita tidak takut kepada TUHAN. Apa gunanya seorang raja bagi kita?"

4Mereka hanya mengucapkan kata-kata kosong dan membuat janji palsu serta mengikat perjanjian yang tidak berguna. Keadilan telah diputarbalikkan sehingga ketidakadilan menjalar di seluruh negeri bagaikan tanaman beracun di ladang yang telah dibajak.

5Penduduk kota Samaria akan takut dan berkabung kerana kehilangan lembu emas di Betel. Mereka dan para imam yang mengabdikan diri kepada lembu emas akan menangis. Mereka akan meraung apabila kemuliaan patung berhala itu lenyap.

6Berhala itu akan dibawa ke Asyur untuk dipersembahkan kepada raja yang agung. Israel akan dihina dan dipermalukan kerana nasihat yang telah diturutinya.

7Raja Samaria akan binasa seperti potongan kayu yang dihanyutkan air.

8Tempat-tempat orang Israel menyembah berhala di puncak bukit di Betel akan dimusnahkan. Semak berduri serta rumput akan meliputi mazbah-mazbah mereka. Lalu orang akan berseru kepada gunung-gunung, "Sembunyikanlah kami!" dan kepada bukit-bukit, "Timpalah kami!"

TUHAN Menjatuhkan Hukuman kepada Israel

9TUHAN berfirman, "Orang Israel belum lagi berhenti berdosa terhadap Aku sejak mereka berdosa di Gibea. Oleh itu mereka akan ditimpa peperangan di Gibea.

10Aku akan menyerang orang yang berdosa ini dan menghukum mereka. Bangsa-bangsa akan bersekutu untuk melawan mereka, dan mereka akan dihukum kerana dosa mereka yang banyak itu.

11Dahulu Israel seperti lembu muda yang terlatih, dan sentiasa sedia mengirik gandum. Aku tidak perlu memasang kok pada tengkoknya yang elok itu. Tetapi sekarang Aku telah membuat keputusan untuk memaksanya bekerja berat. Aku menyuruh Yehuda membajak dan Israel menarik garu.

12Aku berfirman, ‘Bukalah tanah baru untuk kamu sendiri, taburlah benih keadilan, dan tuailah berkat yang dihasilkan oleh kesungguhan cinta kamu kepada Aku. Sudah tiba masanya kamu kembali kepada-Ku, TUHAN kamu; Aku akan datang dan mencurahkan berkat kepada kamu.’

13Tetapi sebaliknya kamu menanam kejahatan dan menuai ketidakadilan. Kamu terpaksa makan hasil dusta kamu. Oleh sebab kamu mengharapkan kereta kuda kamu, dan tentera kamu yang besar,

14maka kamu akan ditimpa peperangan dan segala kubu kamu akan dimusnahkan. Keadaannya akan menjadi seperti hari Raja Salman memusnahkan kota Bet-Arbel dalam peperangan, dan membinasakan ibu-ibu bersama dengan anak-anak mereka.

15Hal itu akan berlaku kepada kamu, hai penduduk Betel, kerana kamu telah melakukan kejahatan yang besar. Sebaik sahaja peperangan bermula, raja Israel akan mati."



 <<  Hosea 10 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2021
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Single Panel

Laporan Masalah/Saran