Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Kejadian 11 >> 

Menara Babel

1Pada mulanya, orang di seluruh dunia hanya mempunyai satu bahasa dan mereka menggunakan kata-kata yang sama.

2Apabila mereka mengembara ke sebelah timur, mereka tiba di suatu dataran di Babilonia, lalu menetap di situ.

3Mereka bercakap sesama sendiri, "Mari kita membuat batu bata dan membakarnya sampai keras." Demikianlah mereka mempunyai batu bata untuk dijadikan bahan binaan, serta tar sebagai bahan pelekat.

4Mereka berkata, "Mari kita bina kota dengan sebuah menara yang puncaknya sampai ke langit, supaya kita termasyhur dan tidak tercerai-cerai di seluruh bumi."

5Kemudian TUHAN turun untuk melihat kota dan menara yang dibina oleh manusia.

6Dia berfirman, "Mereka ini satu bangsa dengan satu bahasa, dan hal ini baru permulaan rancangan mereka. Tidak lama lagi mereka akan sanggup melakukan apa sahaja yang dikehendaki mereka.

7Marilah Kita turun dan kacau bahasa mereka supaya mereka tidak memahami satu sama lain."

8Demikianlah TUHAN mencerai-beraikan mereka ke seluruh bumi. Maka mereka berhenti membina kota itu.

9Kota itu dinamakan Babel kerana di situlah TUHAN mengacau bahasa manusia, dan dari situlah TUHAN mencerai-beraikan manusia ke seluruh bumi.

Keturunan Sem

10Inilah keturunan Sem. Dua tahun selepas banjir itu, ketika Sem berumur 100 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Arpakhsad.

11Selepas itu, Sem hidup selama 500 tahun lagi dan mendapat anak-anak lain.

12Ketika Arpakhsad berumur 35 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Selah.

13Selepas itu Arpakhsad hidup selama 403 tahun lagi dan mendapat anak-anak lain.

14Ketika Selah berumur 30 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Eber.

15Selepas itu Selah hidup selama 403 tahun lagi dan mendapat anak-anak lain.

16Ketika Eber berumur 34 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Peleg.

17Selepas itu Eber hidup selama 430 tahun lagi dan mendapat anak-anak lain.

18Ketika Peleg berumur 30 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Reu.

19Selepas itu Peleg hidup selama 209 tahun lagi dan mendapat anak-anak lain.

20Ketika Reu berumur 32 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Serug.

21Selepas itu Reu hidup selama 207 tahun lagi dan mendapat anak-anak lain.

22Ketika Serug berumur 30 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Nahor.

23Selepas itu Serug hidup selama 200 tahun lagi dan mendapat anak-anak lain.

24Ketika Nahor berumur 29 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Terah.

25Selepas itu Nahor hidup selama 119 tahun lagi dan mendapat anak-anak lain.

26Ketika Terah berumur 70 tahun, dia mendapat tiga orang anak lelaki, iaitu Abram, Nahor, dan Haran.

Keturunan Terah

27Inilah keturunan Terah. Terah ialah bapa Abram, Nahor, dan Haran. Haran mempunyai seorang anak lelaki bernama Lot.

28Haran meninggal di Ur, kampung halamannya di Babilonia, ketika bapanya masih hidup.

29Abram berkahwin dengan Sarai, dan Nahor berkahwin dengan Milka, anak perempuan Haran. Haran mempunyai anak lelaki lain bernama Yiska.

30Sarai tidak mempunyai anak kerana dia mandul.

31Terah meninggalkan kota Ur di Babilonia bersama dengan Abram anaknya, Lot cucunya, dan Sarai menantunya, iaitu isteri Abram. Terah bermaksud pergi ke negeri Kanaan tetapi setibanya di Haran, mereka menetap di sana.

32Di tempat itu Terah meninggal ketika berumur 205 tahun.



 <<  Kejadian 11 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel