Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Lukas 12 >> 

Amaran untuk Orang Munafik

1Sedang beribu-ribu orang berasak-asak sehingga kaki mereka saling terpijak, mula-mula Yesus berkata kepada para pengikut-Nya, "Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi, maksud-Ku kemunafikan mereka.

2Apa yang tersembunyi akan dinyatakan dan tiap-tiap rahsia akan didedahkan.

3Apa yang kamu ucapkan pada waktu malam akan terdengar pada siang hari dan apa yang kamu bisikkan di telinga orang di dalam bilik yang tertutup akan diumumkan dari atas rumah."

Takutlah akan Allah

4"Ingatlah, sahabat-sahabat-Ku! Janganlah takut akan mereka yang mengambil nyawa, tetapi kemudian tidak berkuasa berbuat apa-apa lagi.

5Biarlah Aku tunjukkan siapa yang mesti kamu takuti. Takutlah akan Allah, kerana Dia berkuasa mengambil nyawa orang, dan Dia juga berkuasa membuang orang itu ke dalam neraka! Percayalah, Allah yang harus kamu takuti!

6Bukankah lima ekor burung pipit dijual seharga dua sen? Meskipun demikian tidak seekor pun dilupakan oleh Allah.

7Sebenarnya rambut di kepala kamu pun telah dihitung semuanya. Oleh itu, janganlah takut kerana bagi Allah kamu lebih berharga daripada burung pipit!"

Mengakui Kristus di Hadapan Khalayak Ramai

8"Ingatlah bahawa sesiapa yang mengaku dirinya pengikut-Ku di hadapan umum, akan diakui juga oleh Anak Manusia di hadapan malaikat-malaikat Allah.

9Tetapi sesiapa yang tidak mengaku dirinya pengikut-Ku di hadapan umum, akan tidak diakui juga oleh Anak Manusia di hadapan malaikat-malaikat Allah.

10Sesiapa yang menentang Anak Manusia dengan kata-katanya, dapat diampuni; tetapi sesiapa yang mengkufuri Roh Allah tidak dapat diampuni.

11Apabila kamu didakwa di rumah ibadat atau di hadapan gabenor atau penguasa, janganlah khuatir tentang bagaimana kamu harus membela diri atau apa yang harus kamu katakan.

12Roh Allah akan mengajar kamu apa yang harus kamu katakan pada waktu itu."

Perumpamaan tentang Hartawan yang Bodoh

13Seorang daripada orang ramai berkata kepada Yesus, "Guru, suruhlah saudara saya berikan sebahagian daripada harta peninggalan bapa kami kepada saya."

14Yesus berkata kepadanya, "Saudara, siapa memberikan kuasa kepada-Ku untuk menjadi hakim, ataupun membahagikan harta antara kamu berdua?"

15Seterusnya Yesus berkata kepada mereka semua, "Berjaga-jagalah dan berwaspadalah! Janganlah tamak! Hidup seseorang tidak terdiri daripada kekayaannya, walaupun hartanya banyak sekali."

16Kemudian Yesus menceritakan perumpamaan ini kepada mereka. Dia berkata, "Seorang hartawan mempunyai tanah yang menghasilkan tuaian yang banyak.

17Dia mula berfikir dalam hati, ‘Aku tidak mempunyai tempat untuk menyimpan segala hasil tanahku. Apakah yang harus aku lakukan?’

18‘Inilah yang akan aku lakukan,’ katanya kepada dirinya sendiri, ‘Aku akan merombak gudang-gudangku lalu mendirikan yang lebih besar. Dengan demikian aku dapat menyimpan hasil tanahku dan segala hartaku yang lain di situ.

19Setelah itu barulah aku berkata kepada diriku sendiri, kamu sungguh bertuah! Kamu mempunyai segala yang baik bagi keperluanmu selama bertahun-tahun. Nikmatilah hidup! Makan, minum, dan bersukacitalah!’

20Tetapi Allah berkata kepadanya, ‘Hai bodoh! Malam ini juga engkau mesti menyerahkan nyawamu! Lalu siapakah yang akan mendapat segala harta yang telah engkau kumpulkan untuk dirimu sendiri itu?’"

21Lalu Yesus mengakhiri cerita-Nya dengan berkata, "Demikianlah halnya dengan orang yang mengumpulkan harta untuk diri sendiri, padahal tidak kaya di sisi Allah."

Percayalah kepada Allah

22Lalu Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, "Itulah sebabnya Aku berkata kepada kamu: Janganlah khuatir tentang hidup kamu, tentang apa yang akan kamu makan, atau apa yang akan kamu pakai.

23Hidup itu lebih berharga daripada makanan, dan tubuh lebih berharga daripada pakaian.

24Perhatikanlah burung gagak yang tidak menanam benih, tidak menuai tuaian dan tidak mempunyai gudang atau jelapang, tetapi dipelihara oleh Allah! Kamu jauh lebih berharga daripada burung!

25Siapakah antara kamu yang dengan kekhuatiran dapat memanjangkan umur walaupun sedikit?

26Jika kamu tidak dapat menguasai perkara sekecil itu, mengapa kamu khuatir akan perkara-perkara lain?

27Lihatlah bunga bakung yang tumbuh di padang; bunga itu tidak bekerja dan tidak menenun. Tetapi ketahuilah, Raja Salomo dengan segala kekayaannya tidak berpakaian seindah bunga itu!

28Jika Allah menghiasi rumput di padang yang ada pada hari ini tetapi keesokan harinya dibakar di dapur, tidakkah Dia akan memastikan kamu berpakaian? Alangkah lemahnya iman kamu!

29Oleh itu, janganlah khuatir dan janganlah selalu fikirkan apa yang hendak kamu makan dan minum.

30(Orang yang tidak mengenal Allah selalu memikirkan hal-hal itu.) Bapa kamu tahu bahawa kamu memerlukan semua itu.

31Sebaliknya, utamakanlah Pemerintahan Allah dengan melakukan apa yang dikehendaki oleh Allah, maka semua itu akan diberikan oleh Allah kepada kamu."

Harta di Syurga

32"Janganlah takut, hai kamu yang kecil bilangan, kerana Bapa kamu berkenan membenarkan kamu menikmati Pemerintahan-Nya.

33Juallah segala milik kamu, dan berikan wangnya kepada orang miskin. Bagi diri kamu, buatlah dompet yang tidak dapat rosak dan simpanlah harta kamu di syurga. Di situ harta kamu tidak akan berkurang, kerana pencuri tidak dapat masuk dan gegat tidak dapat merosakkannya.

34Lakukanlah hal itu, kerana perhatian kamu sentiasa tertumpu kepada harta kamu."

Hamba yang Berjaga-jaga

35"Bersiap-siaplah untuk menghadapi apa sahaja. Kamu harus sentiasa siap sedia dengan pelita yang menyala.

36Hendaklah kamu seperti hamba yang sedang menantikan tuan mereka balik daripada jamuan perkahwinan. Apabila tuan itu balik dan mengetuk pintu, dengan segera mereka akan membuka pintu.

37Alangkah bahagianya hamba-hamba yang didapati berjaga dan siap sedia ketika tuan mereka kembali! Percayalah, tuan itu akan menanggalkan jubah, dan menyuruh hamba-hambanya duduk lalu melayani mereka.

38Alangkah bahagianya hamba-hamba itu jika didapati bersiap sedia, meskipun tuan mereka balik pada tengah malam atau lebih lambat lagi!

39Ingatlah! Jika tuan rumah mengetahui saatnya pencuri akan datang, dia tidak akan membiarkan pencuri masuk ke dalam rumahnya.

40Kamu pun harus sentiasa bersiap sedia, kerana Anak Manusia akan datang pada saat yang tidak kamu sangka."

Hamba yang Setia dan Hamba yang Tidak Setia

41Petrus bertanya, "Adakah Tuhan menujukan perumpamaan ini kepada kami atau kepada semua orang?"

42Tuhan menjawab, "Siapakah hamba yang setia dan bijak? Dialah orang yang ditunjuk oleh tuannya menjadi pengurus rumah tangganya. Tuannya juga menyuruh dia memberikan makanan kepada hamba-hamba yang lain pada waktu yang ditentukan.

43Alangkah bahagianya orang yang didapati sedang menjalankan tugas apabila tuannya kembali!

44Ketahuilah bahawa tuan itu akan mempercayakan segala hartanya kepada hamba itu.

45Tetapi jika hamba itu berkata dalam hati, ‘Masih lama lagi tuan saya akan kembali.’ Lalu dia mula memukul semua hamba yang lain, baik lelaki mahupun wanita, dan dia makan minum sehingga mabuk.

46Pada hari dan masa yang tidak diduganya, tuannya kembali. Tuan itu akan mencencang hambanya dan membiarkan dia merasai nasib orang yang tidak taat kepada Allah.

47Hamba yang mengetahui kehendak tuannya, tetapi tidak bersiap sedia untuk melakukan kehendak tuannya, akan disebat dengan keras.

48Tetapi hamba yang tidak mengetahui kehendak tuannya, lalu melakukan sesuatu yang salah sehingga dia mesti disebat, akan disebat dengan ringan sahaja. Kepada orang yang telah diberikan banyak, daripadanya akan dituntut banyak juga. Orang yang telah diberikan lebih banyak, daripadanya akan dituntut lebih banyak juga."

Yesus Menyebabkan Orang Berpihak-pihak

49"Aku datang untuk membawa hukuman Allah yang seperti api akan membakar penduduk bumi. Alangkah baiknya jika api itu sudah menyala!

50Masih ada penderitaan berat yang mesti Aku alami. Alangkah resahnya hati-Ku selagi perkara itu belum berakhir!

51Adakah kamu menyangka Aku datang ke dunia ini untuk membawa kedamaian? Tidak, bukan kedamaian, tetapi perpecahan.

52Mulai dari sekarang, keluarga yang terdiri daripada lima orang akan berlawanan: tiga lawan dua dan dua lawan tiga.

53Bapa akan melawan anak lelaki dan anak lelaki akan melawan bapa. Ibu akan melawan anak perempuan dan anak perempuan akan melawan ibu. Ibu mentua akan melawan menantu perempuan dan menantu perempuan akan melawan ibu mentua."

Mengenali Tanda Zaman

54Yesus juga berkata kepada orang ramai, "Apabila kamu melihat awan naik di sebelah barat, dengan segera kamu berkata, ‘Hari akan hujan,’ dan benar-benar hari hujan.

55Apabila kamu berasa angin selatan bertiup, kamu berkata, ‘Hari akan panas,’ dan benar-benar hari panas.

56Hai orang munafik! Kamu dapat meramal cuaca dengan melihat tanda-tanda di langit dan di bumi, tetapi mengapakah kamu tidak dapat memahami tanda zaman ini?"

Berdamailah dengan Musuh

57"Mengapakah kamu tidak membuat keputusan sendiri tentang apa yang benar?

58Jika ada orang hendak mendakwa kamu di mahkamah, berusahalah sebaik-baiknya untuk menyelesaikan perkara itu sebelum kamu tiba di mahkamah. Jika tidak, orang itu akan menyeret kamu ke hadapan hakim, lalu hakim akan menyerahkan kamu kepada polis, dan polis akan memasukkan kamu ke dalam penjara.

59Percayalah, kamu tidak akan keluar dari penjara sebelum kamu membayar denda kamu."



Download Audio MP3 (Lukas 12):
Mobile (Low Quality) - CD (High Quality)

 <<  Lukas 12 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel