Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Mikha 2 >> 

Kesudahan Orang yang Menindas Orang Miskin

1Alangkah malangnya orang yang merancang kejahatan sementara berbaring di tempat tidur pada waktu malam. Apabila fajar menyingsing mereka melaksanakan rancangan jahat itu kerana mereka dapat berbuat demikian.

2Apabila mereka mengingini ladang, mereka merampas ladang orang lain. Apabila mereka mengingini rumah, mereka merebut rumah orang lain. Tiada keluarga sesiapa pun, atau harta sesiapa pun yang selamat.

3Oleh itu TUHAN berfirman, "Aku bercadang mendatangkan bencana kepada kamu. Kamu tidak akan dapat melarikan diri daripadanya. Kamu akan ditimpa kesusahan, maka kamu tidak akan dapat bersikap angkuh lagi.

4Pada masa itu kelak, orang akan menggunakan kisah tentang kamu sebagai bahan sindiran. Mereka akan menyanyikan lagu perkabungan ini: Kami sudah hancur sama sekali! TUHAN telah mengambil negeri kami lalu memberikannya kepada orang yang menawan kami."

5Oleh itu apabila tanah itu dikembalikan kepada umat TUHAN, tiada sesiapa pun antara kamu yang akan mendapat bahagian.

6Orang berkhutbah kepadaku dan berkata, "Jangan berkhutbah kepada kami. Jangan berkhutbah tentang semua itu. Allah tidak mungkin mempermalukan kita.

7Adakah kamu berfikir bahawa Israel telah dikutuk? Adakah TUHAN hilang sabar? Benarkah Dia akan melakukan perkara seperti itu? Tidakkah Dia berfirman dengan lemah lembut kepada orang yang berbuat benar?"

8TUHAN menjawab, "Kamu menyerang umat-Ku seolah-olah mereka musuh. Orang lelaki pulang dari peperangan dan menyangka bahawa mereka selamat di rumah. Tetapi kamu sedang menunggu untuk mencuri jubah yang dipakai mereka.

9Kamu mengusir kaum wanita umat-Ku dari rumah yang disukai mereka; kamu merampas berkat-Ku selama-lamanya daripada anak-anak mereka.

10Bangunlah dan pergilah dari sini. Tiada lagi tempat yang selamat di sini. Dosa kamu telah mendatangkan malapetaka yang dahsyat ke tempat ini.

11Kamu menghendaki nabi yang suka berdusta serta menipu, dan yang berkata, ‘Aku bernubuat bahawa kamu akan mendapat wain dan minuman keras yang berlimpah-limpah.’

Janji tentang Penyelamatan

12Tetapi Aku akan mengumpulkan kamu semua, hai umat-Ku Israel yang masih hidup. Aku akan mengumpulkan kamu bagaikan domba-domba yang pulang ke kandang. Umpama padang rumput yang penuh dengan domba, sekali lagi negeri kamu akan penuh dengan orang."

13Allah akan membuka jalan bagi mereka dan membawa mereka keluar dari pembuangan. Mereka akan merempuh keluar dari pintu gerbang kota dan membebaskan diri. TUHAN sendiri, yang menjadi raja mereka akan memimpin mereka keluar.



 <<  Mikha 2 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel