Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Mazmur 38 >> 

Doa Orang yang Menderita

1Mazmur Daud, ketika mempersembahkan korban peringatan. (38-2) Ya TUHAN, jangan hukum aku walaupun Engkau murka.

2(38-3) Panah-Mu melukai tubuhku; tangan-Mu memukul aku.

3(38-4) Aku sakit parah kerana kemarahan-Mu; seluruh badanku sakit kerana dosaku.

4(38-5) Aku lemas dalam banjir dosaku; dosaku terlalu berat bagiku.

5(38-6) Kerana perbuatanku yang bodoh, luka-lukaku bernanah dan busuk.

6(38-7) Aku menjadi bongkok, aku tersungkur; aku berdukacita sepanjang hari.

7(38-8) Demam membakar badanku, dan aku sakit tenat.

8(38-9) Aku remuk-redam dan kehabisan tenaga; aku mengeluh kerana hatiku susah.

9(38-10) Ya Tuhan, Engkau tahu keinginanku; Engkau mendengar segala keluhanku.

10(38-11) Jantungku berdebar-debar, tenagaku hilang, dan mataku sudah menjadi suram.

11(38-12) Sahabat dan jiranku tidak mahu menghampiri aku kerana kudisku; bahkan keluargaku pun turut menjauhi aku.

12(38-13) Orang yang hendak membunuh aku memasang perangkap untukku, dan mereka yang ingin menyakiti aku mengancam hendak membinasakan aku; sepanjang hari mereka berkomplot menentang aku.

13(38-14) Aku umpama orang pekak yang tidak dapat mendengar, umpama orang bisu yang tidak dapat bercakap.

14(38-15) Aku umpama orang yang tidak menjawab, kerana tidak dapat mendengar.

15(38-16) Tetapi aku berharap kepada-Mu, ya TUHAN; dan Engkau, ya Tuhan, Allahku, akan mengabulkan doaku.

16(38-17) Jangan biarkan musuhku mentertawakan penderitaanku; jangan biarkan mereka berasa megah kerana kejatuhanku!

17(38-18) Aku hampir jatuh, dan sentiasa kesakitan.

18(38-19) Aku mengakui dosaku; hatiku cemas memikirkan kesalahanku.

19(38-20) Musuh-musuhku sihat dan kuat; banyak orang yang membenci aku tanpa sebab.

20(38-21) Mereka yang membalas kebaikan dengan kejahatan, menentang aku kerana aku berusaha melakukan yang benar.

21(38-22) Jangan tinggalkan aku, ya TUHAN, jangan jauhi aku, ya Allahku!

22(38-23) Tolonglah aku sekarang, ya Tuhan penyelamatku!



 <<  Mazmur 38 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel