Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Roma 12 >> 

Hidup untuk Allah

1Saudara-saudaraku! Kerana Allah sangat baik kepada kita, aku menggesa kamu supaya mempersembahkan diri sebagai suatu korban yang hidup, yang khas untuk Allah, dan yang menyenangkan hati-Nya. Demikianlah seharusnya kamu beribadat kepada Allah.

2Janganlah ikut kebiasaan dunia, tetapi biarlah Allah membaharui cara kamu berfikir, sehingga kamu dapat mengetahui kehendak Allah -- iaitu apa yang baik dan yang menyenangkan hati-Nya, serta yang sempurna.

3Kerana kurnia Allah yang sudah dianugerahkan-Nya kepadaku, aku menasihati kamu semua: Janganlah anggap diri kamu lebih daripada yang sepatutnya, tetapi nilailah diri masing-masing dengan rendah hati menurut kebolehan yang dikurniakan oleh Allah, kerana kamu percaya kepada Yesus.

4Tubuh kita mempunyai banyak anggota, dan setiap anggota tubuh mempunyai tugas yang berlainan.

5Begitu juga halnya dengan kita. Sungguhpun bilangan kita banyak, tetapi kita satu tubuh kerana kita bersatu dengan Kristus. Kita semua dihubungkan satu dengan yang lain sebagai anggota-anggota daripada satu tubuh.

6Oleh itu kita harus menggunakan kurnia-kurnia yang berlainan, menurut rahmat-Nya yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita. Jika kita mempunyai kurnia untuk mengkhabarkan berita daripada Allah, kita harus melakukannya menurut kebolehan yang dikurniakan oleh Allah kepada kita.

7Jika kita mempunyai kurnia untuk menolong orang lain, kita harus menolong mereka. Jika kita mempunyai kurnia untuk mengajar, kita harus mengajar.

8Jika kita mempunyai kurnia untuk menggalakkan orang lain, kita harus melakukannya. Sesiapa yang mempunyai kurnia untuk berkongsi milik dengan orang lain, harus melakukannya dengan murah hati. Sesiapa yang mempunyai kurnia untuk menjadi pemimpin, harus memimpin dengan tekun. Sesiapa yang mempunyai kurnia untuk menunjukkan belas kasihan kepada orang lain, harus melakukannya dengan sukacita.

9Kamu harus mengasihi orang lain dengan ikhlas. Kamu harus membenci apa yang jahat, tetapi berpegang kepada apa yang baik.

10Kamu harus saling mengasihi dengan mesra sebagai saudara dalam keluarga Kristus. Hendaklah kamu saling mendahului untuk memberikan hormat.

11Jangan malas, tetapi bekerjalah dengan rajin. Abdikanlah diri kepada Tuhan dengan semangat daripada Roh Allah.

12Kerana kamu berharap kepada Tuhan, bersukacitalah. Bersabarlah semasa mengalami kesusahan dan berdoalah sentiasa.

13Hendaklah kamu berkongsi milik dengan saudara seiman yang memerlukan bantuan, dan sambutlah saudara seiman yang tidak kamu kenal ke rumah.

14Berdoalah kepada Allah supaya Dia memberkati orang yang menganiaya kamu. Mintalah Allah memberkati mereka, dan janganlah minta Allah mengutuk mereka.

15Bersukacitalah dengan mereka yang bersukacita, dan menangislah dengan mereka yang menangis.

16Hendaklah kamu semua hidup rukun. Janganlah bersikap sombong, janganlah tolak tugas yang dipandang rendah. Janganlah anggap diri kamu lebih bijak daripada yang sebenarnya.

17Jika seseorang berbuat jahat terhadap kamu, janganlah balas dia dengan kejahatan. Berusahalah untuk melakukan apa yang dianggap baik oleh semua orang.

18Dengan sedaya upaya, berusahalah untuk hidup damai dengan semua orang.

19Saudara-saudaraku! Jangan sekali-kali balas dendam; biarlah Allah yang membalas dendam. Di dalam Alkitab tertulis, "Aku akan membalas kejahatan mereka. Aku akan menghukum mereka, firman Tuhan."

20Janganlah balas dendam, tetapi lakukanlah apa yang tertulis di dalam Alkitab, "Jika musuhmu lapar, berilah dia makan; jika dia dahaga, berilah dia minuman. Kerana dengan berbuat demikian, kamu akan membuat dia malu."

21Janganlah biarkan diri kamu dikalahkan oleh kejahatan, tetapi kalahkanlah kejahatan dengan kebaikan.



Download Audio MP3 (Roma 12):
Mobile (Low Quality) - CD (High Quality)

 <<  Roma 12 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel