Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Ulangan 28 >> 

Berkat bagi Orang yang Taat

1"Jika kamu taat kepada TUHAN, Allah kamu, dan setia melakukan segala perintah-Nya yang aku berikan kepada kamu hari ini, maka Dia akan menjadikan kamu bangsa yang paling masyhur di dunia.

2Taatilah TUHAN, Allah kamu, maka segala berkat ini akan diberikan kepada kamu:

3Diberkatilah kota dan ladang kamu.

4Diberkatilah kamu sehingga anak kamu banyak, hasil tanaman kamu berlimpah-limpah, dan lembu serta domba kamu banyak.

5Diberkatilah tuaian gandum kamu, dan makanan yang kamu buat daripadanya.

6Diberkatilah segala usaha kamu.

7TUHAN akan mengalahkan musuh apabila mereka menyerang kamu. Mereka akan melancarkan serangan dengan teratur, tetapi kemudian lari bertempiaran.

8TUHAN, Allah kamu akan memberkati usaha kamu dan memenuhi gudang-gudang kamu dengan gandum. Dia akan memberkati kamu di tanah yang diberikan-Nya kepada kamu.

9Jika kamu taat kepada TUHAN, Allah kamu dan melakukan segala perintah-Nya, Dia akan menjadikan kamu umat-Nya sendiri seperti yang sudah dijanjikan-Nya.

10Kemudian semua bangsa di dunia akan tahu bahawa TUHAN sudah memilih kamu menjadi umat-Nya sendiri, dan mereka akan takut terhadap kamu.

11TUHAN akan mengurniai kamu anak yang banyak. Ternakan kamu akan banyak, dan hasil tanaman kamu berlimpah-ruah di tanah yang telah dijanjikan TUHAN kepada nenek moyang kamu untuk diberikan kepada kamu.

12TUHAN akan menurunkan hujan pada musimnya dari tempat-tempat penyimpanan hujan di langit; Dia akan memberkati segala usaha kamu supaya kamu dapat memberi pinjaman kepada banyak bangsa, tetapi kamu sendiri tidak usah meminjam apa-apa daripada sesiapa pun.

13TUHAN, Allah kamu akan menjadikan kamu pemimpin antara bangsa-bangsa dan bukan pengikut. Kamu akan sentiasa berjaya dan tidak pernah gagal, jika kamu taat dengan setia kepada segala perintah TUHAN yang aku berikan kepada kamu hari ini.

14Tetapi jangan sekali-kali langgar perintah itu dengan apa cara pun, dan jangan sembah tuhan-tuhan lain."

Akibat Tidak Taat

15"Tetapi jika kamu tidak taat kepada TUHAN, Allah kamu dan tidak setia melakukan segala perintah dan hukum-Nya yang aku berikan kepada kamu hari ini, maka semua kutuk ini akan menimpa kamu:

16Terkutuklah kota dan ladang kamu.

17Terkutuklah tuaian gandum kamu, dan makanan yang kamu buat daripada gandum itu.

18Terkutuklah kamu sehingga anak kamu sedikit sahaja, hasil tanaman kamu sedikit, dan lembu serta domba kamu tidak banyak.

19Terkutuklah segala usaha kamu.

20Jika kamu berbuat jahat dan menolak TUHAN, Dia akan mendatangkan bencana, kekacauan, dan kesusahan dalam segala usaha kamu, sehingga dalam waktu yang singkat sahaja, kamu akan binasa sama sekali.

21Dia akan mendatangkan penyakit demi penyakit kepada kamu, sehingga tidak seorang pun di kalangan kamu tinggal di tanah yang akan kamu duduki itu.

22TUHAN akan menghukum kamu dengan penyakit-penyakit yang berjangkit, bengkak-bengkak, dan demam. TUHAN akan mendatangkan kemarau dan angin panas sehingga tuaian kamu rosak. Bencana-bencana itu akan terus menimpa kamu sehingga kamu mati.

23Hujan tidak akan turun dan tanah kamu akan menjadi keras seperti besi.

24TUHAN tidak akan menurunkan hujan, melainkan ribut debu dan ribut pasir sehingga kamu habis binasa.

25TUHAN akan membiarkan kamu dikalahkan oleh musuh. Kamu akan melancarkan serangan terhadap musuh dengan teratur, tetapi kemudian lari bertempiaran. Semua bangsa di dunia akan ngeri melihat kejadian yang menimpa kamu.

26Apabila kamu mati, burung dan binatang liar akan datang lalu makan mayat kamu. Tiada seorang pun akan mengusir burung dan binatang itu.

27TUHAN akan mendatangkan bisul pada tubuh kamu seperti yang dilakukan-Nya kepada orang Mesir dahulu. Kulit kamu akan diliputi kudis dan keruping yang gatal, tetapi tidak ada ubatnya.

28TUHAN akan menyebabkan kamu hilang akal, dan menjadikan kamu buta, serta bingung.

29Pada siang hari, kamu akan meraba-raba seperti orang buta, dan kamu tidak dapat mencari jalan. Apa pun yang kamu buat, kamu tidak akan berjaya. Kamu akan sentiasa ditindas dan dirompak, dan tiada seorang pun akan menolong kamu.

30Kamu akan bertunang dengan seorang gadis, tetapi orang lain akan berkahwin dengannya. Kamu akan membina rumah, tetapi kamu tidak akan mendiaminya. Kamu akan menanam pokok anggur, tetapi kamu tidak akan makan buahnya.

31Lembu kamu akan disembelih di depan mata kamu, tetapi kamu tidak akan makan sedikit pun dagingnya. Keldai kamu akan diseret sementara kamu memandangnya, dan keldai itu tidak akan dikembalikan kepada kamu. Domba kamu akan diberikan kepada musuh, dan tidak seorang pun dapat menolong kamu.

32Di depan mata kamu, anak-anak kamu, baik lelaki mahupun perempuan, akan diberikan sebagai hamba kepada orang bangsa asing. Tiap-tiap hari, mata kamu pedih mencari anak-anak kamu, tetapi usaha kamu itu sia-sia, kerana mereka tidak akan kembali.

33Bangsa asing akan merampas segala hasil tanaman yang sudah kamu usahakan dengan susah payah. Kamu sendiri tidak akan menerima suatu apa pun, melainkan penindasan yang terus-menerus dan kekejaman.

34Penderitaan akan menyebabkan kamu hilang akal.

35TUHAN akan meliputi kaki kamu dengan kudis yang menyakitkan, dan tidak dapat sembuh. Bisul akan meliputi kamu dari hujung kaki sampai ke hujung rambut.

36TUHAN akan membuang kamu dan raja kamu ke negeri asing, tempat yang tidak pernah menjadi kediaman kamu ataupun nenek moyang kamu. Di sana kamu akan mengabdi kepada tuhan-tuhan yang dibuat daripada kayu dan batu.

37Di negeri-negeri tempat TUHAN mencerai-beraikan kamu, orang akan terkejut melihat perkara yang terjadi kepada kamu. Mereka akan mengolok-olok dan mempermalukan kamu.

38Kamu akan menanam banyak benih, tetapi menuai sedikit sahaja kerana belalang akan makan hasil tanaman kamu.

39Kamu akan menanam anggur dan memelihara ladang anggur itu, tetapi kamu tidak akan memetik buah anggur ataupun meminum wain, kerana ulat akan makan pokok-pokok anggur.

40Pokok-pokok zaitun akan tumbuh di seluruh negeri kamu, tetapi kamu tidak akan mendapat minyaknya kerana buahnya akan gugur.

41Kamu akan mempunyai anak lelaki dan perempuan, tetapi kamu akan kehilangan mereka kerana mereka dibawa pergi sebagai tawanan perang.

42Semua pokok dan tanaman kamu akan dimakan serangga.

43Orang bangsa asing yang tinggal di negeri kamu akan semakin berkuasa, sedangkan kamu semakin kehilangan kuasa.

44Mereka akan mempunyai wang untuk dipinjamkan kepada kamu, sedangkan kamu tidak mempunyai apa-apa untuk dipinjamkan kepada mereka. Akhirnya, mereka akan memerintah kamu.

45Segala malapetaka itu akan menimpa kamu sehingga kamu binasa, kerana kamu tidak taat kepada TUHAN, Allah kamu dan tidak mematuhi semua hukum yang diberikan-Nya kepada kamu.

46Bencana-bencana itu akan menjadi bukti hukuman TUHAN atas kamu dan keturunan kamu selama-lamanya.

47TUHAN, Allah kamu sudah memberkati kamu dalam segala hal, tetapi kamu tidak mengabdi kepada-Nya dengan hati yang suka dan gembira.

48Oleh itu kamu akan mengabdi kepada musuh yang akan dikirim oleh TUHAN untuk melawan kamu. Kamu akan lapar, dahaga, dan bertelanjang; kamu kekurangan segala-galanya. TUHAN akan menindas kamu dengan kejam sehingga kamu binasa.

49TUHAN akan mendatangkan suatu bangsa dari hujung bumi untuk melawan kamu, bangsa yang bahasanya tidak kamu fahami. Seperti burung helang, mereka akan menyambar kamu.

50Mereka kejam dan tidak menaruh belas kasihan terhadap sesiapa pun, baik orang tua mahupun anak-anak.

51Mereka akan mengambil ternakan dan hasil tanaman kamu, tetapi kamu akan mati kelaparan. Mereka tidak akan meninggalkan gandum, wain, minyak zaitun, lembu, ataupun domba bagi kamu, dan kamu akan mati.

52Mereka akan menyerang tiap-tiap kota di tanah yang diberikan oleh TUHAN, Allah kamu kepada kamu, dan tembok-tembok tinggi serta kukuh yang kamu harap-harapkan itu akan roboh.

53Apabila musuh mengepung kota kamu, kamu akan putus asa kerana kelaparan sehingga kamu makan anak-anak yang diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu.

54Bahkan seorang lelaki bangsawan yang paling luhur budinya, akan menjadi begitu terdesak apabila kotanya dikepung, sehingga dia makan anak-anaknya sendiri kerana tidak ada lagi makanan lain. Dia tidak mahu membahagikannya dengan saudaranya sekalipun, atau isteri yang dikasihinya, atau dengan anak-anaknya yang masih hidup.

55(28:54)

56Bahkan seorang wanita bangsawan yang paling luhur budinya, dan yang sangat kaya sehingga belum pernah berjalan kaki ke mana-mana tempat, akan berlaku demikian juga. Apabila musuh mengepung kotanya, dia akan menjadi begitu terdesak kerana kelaparan, sehingga dengan sembunyi-sembunyi dia akan makan bayi yang baru dilahirkannya, dan juga uri bayi itu. Dia tidak mahu membahagikannya dengan suami yang dikasihinya, atau dengan anak-anaknya yang masih hidup.

57(28:56)

58Jika kamu tidak setia mentaati segala hukum Allah yang tertulis di dalam kitab ini, dan tidak menghormati TUHAN, Allah kamu yang agung dan menakjubkan,

59Dia akan mendatangkan penyakit yang tidak dapat disembuhkan dan wabak yang tidak dapat dihentikan, kepada kamu dan keturunan kamu.

60Dia akan menimpa kamu dengan semua penyakit dahsyat yang kamu takuti di Mesir dahulu. Kamu tidak akan sembuh daripada penyakit itu.

61TUHAN akan mendatangkan segala macam penyakit dan wabak yang tidak disebut di dalam kitab ini, yang mengandungi hukum dan ajaran Allah. Kemudian kamu akan dibinasakan.

62Meskipun kamu menjadi sebanyak bintang di langit, tetapi hanya sedikit sahaja orang di kalangan kamu akan terselamat, kerana kamu tidak taat kepada TUHAN, Allah kamu.

63Sebagaimana TUHAN suka menjadikan kamu makmur dan menambahkan bilangan kamu, demikian juga Dia suka membinasakan dan memusnahkan kamu. Kamu akan dicabut dari tanah yang tidak lama lagi kamu duduki.

64TUHAN akan mencerai-beraikan kamu di kalangan bangsa-bangsa di seluruh muka bumi. Di sana kamu akan mengabdi kepada tuhan-tuhan yang dibuat daripada kayu dan batu, tuhan-tuhan yang tidak pernah kamu sembah atau disembah nenek moyang kamu.

65Di kalangan bangsa-bangsa itu, kamu tidak akan mendapat ketenteraman dan tidak ada tempat yang dapat kamu sebut milik kamu; TUHAN akan menyebabkan kamu sangat gelisah, putus asa, dan cemas.

66Hidup kamu akan selalu terancam bahaya. Siang malam kamu akan dipenuhi kengerian, dan kamu sentiasa takut akan kematian.

67Apa sahaja yang kamu lihat akan menyebabkan hati kamu berdebar-debar kerana takut. Setiap pagi kamu akan mengharapkan malam, dan setiap malam kamu akan mengharapkan pagi.

68TUHAN akan mengirim kamu kembali ke Mesir dengan kapal, meskipun Dia sudah berfirman bahawa kamu tidak akan ke sana lagi. Di sana kamu akan cuba menjual diri sebagai hamba kepada musuh, tetapi tidak seorang pun yang mahu membeli kamu."



 <<  Ulangan 28 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel