Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Wahyu 6 >> 

Meterai-Meterai

1Kemudian aku melihat Anak Domba itu memecahkan meterai pertama daripada tujuh buah meterai itu. Lalu aku mendengar salah satu daripada empat makhluk itu berkata dengan suara yang mengguntur, "Mari!"

2Aku melihat, lalu nampak seekor kuda putih. Penunggangnya memegang sebuah busur dan dia diberikan sebuah mahkota. Dia mara sebagai seorang penakluk yang menang.

3Kemudian Anak Domba itu memecahkan meterai kedua, dan aku mendengar makhluk kedua berkata, "Mari!"

4Seekor kuda merah keluar. Penunggangnya diberikan kuasa untuk mendatangkan peperangan di bumi, sehingga manusia saling membunuh. Dia diberikan sebilah pedang yang besar.

5Kemudian Anak Domba itu memecahkan meterai ketiga, dan aku mendengar makhluk ketiga berkata, "Mari!" Aku melihat, lalu nampak seekor kuda hitam. Penunggangnya memegang sebuah dacing di tangan.

6Aku mendengar sesuatu yang kedengaran seperti suara dari tengah-tengah empat makhluk itu, berkata, "Satu kilogram gandum seharga upah sehari dan tiga kilogram barli seharga upah sehari juga. Tetapi jangan rosakkan pokok zaitun dan ladang anggur!"

7Kemudian Anak Domba itu memecahkan meterai keempat dan aku mendengar makhluk keempat berkata, "Mari!"

8Aku melihat, lalu nampak seekor kuda kuning pucat. Penunggangnya bernama Maut, dan Alam Maut mengikutinya dekat di belakang. Mereka diberikan kuasa untuk membunuh seperempat penduduk bumi dengan peperangan, kebuluran, wabak, dan binatang buas.

9Kemudian Anak Domba itu memecahkan meterai kelima. Di bawah mazbah aku nampak roh-roh orang yang mati terbunuh. Mereka dibunuh kerana mengisytiharkan firman Allah dengan setia melalui kesaksian mereka.

10Mereka berseru dengan suara lantang, "Ya Tuhan Yang Maha Kuasa, yang suci dan setia! Berapa lama lagi sebelum Engkau menghakimi penduduk bumi dan menghukum mereka kerana telah membunuh kami?"

11Setiap orang daripada mereka diberikan sehelai jubah putih. Lalu mereka disuruh berehat lebih lama lagi, sehingga cukup bilangan rakan seperjuangan dan saudara seiman yang akan dibunuh seperti mereka.

12Kemudian aku melihat Anak Domba itu memecahkan meterai keenam. Lalu berlakulah gempa bumi yang dahsyat. Matahari menjadi hitam seperti kain hitam yang kasar, dan bulan menjadi merah seperti darah.

13Bintang-bintang jatuh dari langit ke bumi, seperti buah ara yang belum matang gugur dari pokok semasa digoncang oleh angin keras.

14Langit menghilang seperti gulungan naskhah yang digulung, dan semua gunung serta pulau beralih tempat.

15Lalu raja-raja dunia, para penguasa, dan panglima, orang kaya dan orang berkuasa serta semua orang lain, baik abdi mahupun orang bebas, menyembunyikan diri di dalam gua-gua dan di celah-celah batu di gunung.

16Mereka berseru kepada gunung-gunung dan batu-batu itu, "Timpalah kami dan sembunyikanlah kami daripada pandangan Dia yang duduk di atas takhta dan daripada kemurkaan Anak Domba itu!

17Hari yang dahsyat sudah tiba; Allah dan Anak Domba akan menghukum kami dan tidak seorang pun akan terselamat."



Download Audio MP3 (Wahyu 6):
Mobile (Low Quality) - CD (High Quality)

 <<  Wahyu 6 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel