Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Yeremia 3 >> 

Israel Tidak Setia

1TUHAN berfirman, "Apabila seorang suami menceraikan isterinya, lalu perempuan itu menjadi isteri orang lain, maka bekas suaminya tidak boleh mengambil dia kembali sebagai isteri, kerana perbuatan itu akan menajiskan seluruh negeri ini. Engkau Israel, sudah mempunyai banyak sekali kekasih, dan sekarang engkau mahu kembali kepada-Ku pula!

2Cuba tengok ke atas, ke puncak-puncak bukit! Tempat manakah yang belum pernah kaudatangi untuk melacurkan diri? Engkau duduk di pinggir jalan menantikan orang yang mahu berasmara; engkau bagaikan orang Arab yang mengadang mangsa di gurun. Engkau menajiskan negeri ini dengan perzinaan dan kejahatanmu.

3Itulah sebabnya hujan tidak turun, dan hujan pada musim bunga tidak datang. Engkau mirip pelacur; engkau tidak tahu malu.

4Tetapi sekarang engkau berkata kepada-Ku, ‘Engkaulah bapaku. Engkau mengasihi aku sejak aku kecil.

5Engkau tidak akan terus-menerus murka kepadaku; Engkau tidak akan marah kepadaku selama-lamanya.’ Hai Israel, itulah yang engkau katakan tetapi engkau juga melakukan segala kejahatan itu."

Israel dan Yehuda Mesti Bertaubat

6Pada masa pemerintahan Raja Yosia, TUHAN berfirman kepadaku, "Sudahkah engkau nampak perbuatan Israel, perempuan yang tidak setia itu? Dia meninggalkan Aku dan melacurkan diri di atas setiap bukit tinggi dan di bawah setiap pokok hijau.

7Aku berfikir bahawa selepas dia melakukan semua itu, dia akan kembali kepada-Ku. Tetapi dia tidak kembali, dan Yehuda, saudaranya yang tidak setia, nampak semua perbuatannya itu.

8Yehuda juga nampak bahawa Aku menceraikan Israel dan menghalaunya, kerana dia telah meninggalkan Aku dan menjadi pelacur. Tetapi Yehuda yang tidak setia, saudara Israel itu, tidak takut. Malah Yehuda ikut menjadi pelacur

9dan sama sekali tidak berasa malu. Dia menajiskan negeri dan dia berzina kerana memuja batu dan pokok kayu.

10Setelah melakukan semua itu, Yehuda yang tidak setia itu berpura-pura kembali kepada-Ku, kerana hatinya tidak ikhlas. Aku, TUHAN, telah berfirman."

11Kemudian TUHAN memberitahu aku bahawa walaupun Israel telah meninggalkan Dia, ternyata Israel lebih baik daripada Yehuda yang tidak setia itu.

12TUHAN menyuruh aku pergi menyampaikan perkara ini kepada Israel, "Hai Israel yang tidak setia, kembalilah kepada-Ku. Aku penuh belas kasihan dan tidak murka; Aku tidak akan murka kepadamu selama-lamanya.

13Hanya mengakulah bahawa engkau bersalah dan telah memberontak terhadap TUHAN, Allahmu. Mengakulah bahawa di bawah setiap pokok hijau engkau telah mencurahkan cintamu kepada tuhan-tuhan bangsa lain, dan tidak mentaati perintah-Ku. Aku, TUHAN telah berfirman.

14Hai umat yang tidak setia, kembalilah kepada-Ku; kamu milik-Ku. Aku akan mengambil kamu, seorang dari setiap kota, dan dua orang daripada setiap puak, lalu Aku akan membawa kamu kembali ke Bukit Sion.

15Aku akan memberi kamu pemimpin-pemimpin yang taat kepada-Ku. Mereka akan memimpin kamu dengan kebijaksanaan dan pengertian.

16Kemudian apabila kamu telah bertambah banyak di negeri ini, orang tidak akan bercakap tentang Tabut Perjanjian-Ku lagi. Mereka tidak akan memikirkan atau mengingatnya lagi; malah mereka tidak akan memerlukannya atau membuat Tabut Perjanjian yang lain.

17Pada masa itu kota Yerusalem akan disebut ‘Takhta TUHAN’, dan semua bangsa akan berkumpul di kota itu untuk menyembah Aku. Mereka tidak akan lagi mengikut kemahuan hati mereka yang degil dan jahat itu.

18Israel akan bergabung dengan Yehuda, lalu bersama-sama datang dari negeri pembuangan di sebelah utara. Mereka akan kembali ke negeri yang telah Kuberikan sebagai tanah pusaka kepada nenek moyang kamu."

Umat Allah Menyembah Berhala

19TUHAN berfirman, "Hai Israel, Aku ingin menerima engkau sebagai anak-Ku, dan memberi engkau negeri yang menyenangkan hati, negeri yang terbaik di seluruh dunia. Aku ingin engkau memanggil Aku ‘Bapaku’, dan tidak sekali-kali berpaling daripada-Ku lagi.

20Tetapi seperti isteri yang tidak setia, engkau pun tidak setia kepada-Ku. Aku, TUHAN telah berfirman."

21Suara terdengar di atas puncak-puncak bukit; suara umat Israel yang menangis dan merayu, kerana mereka telah berdosa, dan lupa akan TUHAN, Allah mereka.

22Kembalilah, kamu semua yang telah meninggalkan TUHAN; Dia akan menyembuhkan kamu dan menjadikan kamu setia. Kamu berkata, "Sekarang kami datang kepada TUHAN kerana Dia Allah kami.

23Sia-sia sahaja kami menyembah berhala di atas puncak-puncak bukit! Pertolongan untuk Israel hanya datang daripada TUHAN, Allah kami.

24Tetapi penyembahan kepada Baal, berhala yang memalukan itu, telah menyebabkan kami kehilangan anak-anak, baik lelaki mahupun perempuan, serta ternakan lembu dan domba, iaitu segala sesuatu yang telah diusahakan oleh nenek moyang kami sejak dahulu kala.

25Oleh itu, biarlah kami menanggung malu dan biarlah kami menjadi hina. Kami dan nenek moyang kami selalu berdosa terhadap TUHAN, Allah kami; kami tidak pernah taat kepada perintah-Nya."



 <<  Yeremia 3 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel