Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Yeremia 6 >> 

Yerusalem Dikepung oleh Musuh

1Hai orang Benyamin, larilah untuk menyelamatkan diri! Tinggalkanlah Yerusalem! Bunyikan trompet di Tekoa dan nyalakan api isyarat di Bet-Kerem! Bencana dan malapetaka hampir tiba dari utara.

2Kota Sion indah sekali, tetapi kota itu akan dimusnahkan;

3raja-raja dengan tentera mereka akan berkhemah di sana. Mereka akan memasang perkhemahan di sekeliling kota itu, masing-masing di tempat yang disukai.

4Mereka akan berkata, "Bersiaplah untuk menyerang Yerusalem! Bersiaplah! Kita akan menyerbunya pada waktu tengah hari!" Tetapi kemudian mereka akan berkata, "Sudah terlambat! Hari sudah mulai gelap, bayang-bayang sudah mula memanjang.

5Kita akan menyerbu pada waktu malam, dan menghancurkan kubu-kubu kota itu."

6TUHAN Yang Maha Kuasa telah memerintah raja-raja itu untuk menebang pokok dan membuat tambak untuk mengepung Yerusalem. TUHAN berfirman, "Aku akan menghukum kota ini kerana banyak sekali penindasan berlaku di situ.

7Sebagaimana mata air tetap mengeluarkan air, begitu pula kota itu tetap menghasilkan kejahatan. Aku mendengar tentang keganasan dan kemusnahan di kota itu; Aku nampak penyakit dan luka di situ.

8Hai penduduk Yerusalem, biarlah kesusahan itu menjadi amaran bagi kamu! Jika kamu tidak mengendahkan amaran itu, Aku akan meninggalkan kamu; Aku akan mengubah kota kamu menjadi gurun yang tidak didiami orang."

Umat Israel Suka Memberontak

9TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman kepadaku, "Israel akan disapu habis seperti ladang anggur yang buah anggurnya telah dipetik semua. Oleh itu, sementara masih ada masa, selamatkanlah orang yang masih hidup."

10Aku menjawab, "Siapakah yang akan mendengar aku jika aku memberikan amaran kepada mereka? Mereka degil dan tidak mahu mendengar perkhabaran-Mu; mereka mentertawakan perkhabaran-Mu yang kusampaikan.

11Kemurkaan-Mu terhadap mereka juga membara dalam diriku, ya TUHAN! Aku tidak dapat menahannya lagi." Kemudian TUHAN berfirman, "Lampiaskanlah kemurkaan-Ku terhadap anak-anak di jalan-jalan raya dan kepada orang muda yang sedang berkumpul. Suami isteri akan ditangkap, dan orang yang sudah lanjut usia pun akan ditangkap.

12Rumah mereka akan diberikan kepada orang lain, begitu juga ladang dan isteri mereka. Aku akan menghukum penduduk negeri ini.

13Semua orang yang besar mahupun yang kecil, mencari keuntungan dengan cara yang tidak jujur. Bahkan nabi dan imam pun menipu orang.

14Mereka menganggap luka-luka umat-Ku sebagai luka kecil sahaja. Mereka berkata, ‘Semuanya baik dan aman.’ Tetapi sebenarnya sama sekali tidak baik dan tidak aman.

15Adakah mereka malu kerana melakukan semua perbuatan yang keji itu? Tidak, mereka sama sekali tidak tahu malu; mereka sudah tebal muka. Oleh sebab itu mereka akan jatuh seperti orang lain; riwayat mereka akan tamat apabila Aku menghukum mereka. Aku, TUHAN telah berfirman."

Israel Menolak Pimpinan Allah

16TUHAN berfirman kepada umat-Nya, "Berdirilah di persimpangan jalan dan perhatikanlah baik-baik! Tanyakanlah jalan-jalan purba, dan yang manakah jalan terbaik. Kemudian ikutilah jalan itu, maka kamu akan hidup dengan tenteram." Tetapi mereka berkata, "Tidak, kami tidak mahu mengikuti jalan itu!"

17Kemudian TUHAN melantik penjaga-penjaga untuk mendengarkan bunyi isyarat trompet. Tetapi mereka berkata, "Kami tidak mahu mendengarkan."

18Oleh itu TUHAN berfirman, "Dengarlah hai bangsa-bangsa! Kamu harus tahu apa yang akan berlaku terhadap umat-Ku.

19Dengarlah, hai bumi! Umat-Ku tidak mahu menerima ajaran-Ku dan tidak taat kepada-Ku. Oleh itu, Aku mendatangkan malapetaka kepada mereka sebagai hukuman terhadap segala rancangan mereka.

20Apakah gunanya kemenyan dari Syeba yang dibawa mereka kepada-Ku, atau rempah-rempah dari negeri jauh? Aku tidak mahu menerima persembahan mereka. Aku tidak suka akan korban-korban mereka.

21Oleh itu, Aku akan menyebabkan mereka tersandung dan jatuh. Bapa dan anak, kawan dan jiran akan mati."

Serangan dari Utara

22TUHAN berfirman, "Orang akan datang dari suatu negeri di utara; suatu bangsa yang kuat di negeri jauh sedang bersiap untuk berperang.

23Mereka bersenjatakan panah dan pedang; mereka bengis dan tidak kenal ampun. Bunyi derap kuda mereka yang sedang dipacu bagaikan bunyi laut yang bergelora. Mereka sudah bersiap untuk menyerang Yerusalem."

24Penduduk Yerusalem berkata, "Kami telah mendengar berita itu dan kami patah semangat. Kami dicekam perasaan takut dan kesakitan seperti wanita yang bersalin.

25Kami tidak berani berjalan di jalan raya atau pergi ke ladang, kerana di mana-mana musuh yang bersenjata menimbulkan ketakutan."

26TUHAN berfirman kepada umat-Nya, "Pakailah kain guni dan berguling-gulinglah dalam abu. Berkabunglah dan merataplah dengan pedih seperti orang meratapi kematian anak lelaki yang tunggal, kerana pembinasa akan menyerang kamu dengan tiba-tiba."

27Kemudian TUHAN berfirman kepada Yeremia, "Ujilah umat-Ku, seperti engkau menguji logam. Selidikilah kelakuan mereka!

28Mereka semua pemberontak yang keras kepala, sekeras gangsa dan besi. Mereka berkelakuan buruk dan berjalan ke mana-mana untuk menyebarkan berita yang menjahatkan orang lain.

29Peleburan sudah sangat panas, tetapi kotoran logam tidak juga menjadi cair dan hilang. Sia-sia sahaja umat-Ku terus-menerus diuji untuk dimurnikan, kerana mereka yang jahat tidak disingkirkan.

30Mereka akan dinamakan tahi leburan yang tidak berguna, kerana Aku, TUHAN, telah membuang mereka."



 <<  Yeremia 6 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel