Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Yesaya 26 >> 

Allah Akan Memberi Umat-Nya Kemenangan

1Masanya akan tiba apabila orang menyanyikan lagu ini di tanah Yehuda: Kota kita kuat! Allah yang membela temboknya!

2Bukalah pintu-pintu gerbang kota, supaya masuk bangsa-bangsa yang setia, yang rakyatnya melakukan kehendak Allah.

3Engkau, TUHAN, memberikan kedamaian dan kesejahteraan kepada orang yang teguh hati, kerana mereka percaya kepada-Mu.

4Percayalah kepada TUHAN selama-lamanya; Dia akan sentiasa melindungi kita.

5Dia telah merendahkan orang yang sombong; Dia memusnahkan kota kukuh yang didiami mereka, dan meruntuhkan temboknya sehingga rata dengan tanah.

6Orang yang miskin dan sengsara akan memijak-mijaknya.

7Jalan yang ditempuh orang baik itu lurus, kerana Engkau, TUHAN, meluruskannya bagi mereka.

8Kami menurut kehendak-Mu dan berharap kepada-Mu; hanya Engkau yang kami rindui.

9Jiwaku merindukan Engkau pada waktu malam; aku mencari Engkau dengan segenap hati. Apabila Engkau menghakimi bumi kelak, penduduknya akan mengetahui makna keadilan.

10Walaupun orang jahat diperlakukan dengan baik, namun mereka tidak juga berbuat yang adil. Bahkan di negeri umat yang jujur, mereka tetap berlaku curang, dan tidak mengakui keagungan-Mu.

11Musuh-Mu tidak tahu bahawa Engkau akan menghukum mereka. Ya TUHAN, permalukanlah mereka, dan biarlah mereka menderita. Biarlah mereka menanggung hukuman yang Engkau sediakan bagi mereka. Biarlah mereka melihat betapa besarnya kasih-Mu bagi umat-Mu.

12Ya TUHAN, Engkau akan menjadikan kami makmur; segala yang kami capai itu adalah hasil perbuatan-Mu bagi kami.

13Ya TUHAN, Allah kami, kami pernah dikuasai orang lain, tetapi hanya Engkaulah TUHAN kami.

14Kini mereka sudah mati dan tidak akan hidup lagi; arwah mereka pun tidak akan bangkit kembali, kerana Engkau telah menghukum dan membinasakan mereka. Mereka tidak diingat lagi oleh sesiapa.

15Ya TUHAN, Engkau telah menambahkan jumlah bangsa kami, dan meluaskan kawasan wilayah kami, kerana itu Engkau dipermuliakan.

16Ya TUHAN, Engkau menghukum umat-Mu, dan dalam kesengsaraan, mereka berseru kepada-Mu.

17Ya TUHAN, Engkau menyebabkan kami berteriak kesakitan seperti perempuan yang hendak bersalin.

18Kami mengandung, dan kami menggeliat kesakitan, tetapi kami tidak melahirkan apa-apa. Kami tidak mendapat kemenangan bagi dunia; kami juga tidak menambah penduduknya.

19Umat-Mu yang sudah mati akan hidup semula! Mayat mereka akan bangkit semula. Semua yang sudah dimasukkan ke dalam kubur, akan bangun dan bernyanyi dengan sukacita. Seperti embun yang berkilau-kilau menyegarkan bumi, demikian juga TUHAN akan menghidupkan mereka yang sudah lama mati.

Pengadilan dan Pemulihan

20Masuklah ke dalam rumah kamu, hai bangsaku, dan tutuplah pintu. Bersembunyilah seketika, sehingga kemurkaan Allah sudah reda.

21TUHAN akan datang dari tempat kediaman-Nya di syurga untuk menghukum manusia di bumi kerana dosa mereka. Pembunuhan yang dilakukan secara rahsia di bumi akan terbongkar, dan kubur pun tidak lagi menyembunyikan mereka yang telah dibunuh.



 <<  Yesaya 26 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel