Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  1 Raja-raja 16 >> 

1Maka kepada Yehu anak Hanani datanglah firman TUHAN yang menentang Baesa, demikian bunyinya,

2“Aku telah mengangkat engkau daripada debu dan menjadikan engkau pemimpin atas umat-Ku Israel, tetapi engkau hidup mengikuti jejak Yerobeam dan menyebabkan umat-Ku Israel berdosa pula, sehingga mereka membangkitkan murka-Ku dengan dosa-dosa mereka itu.

3Sesungguhnya, Aku akan menyingkirkan Baesa dan keluarganya. Aku akan menjadikan keluargamu sama seperti keluarga Yerobeam anak Nebat.

4Setiap orang daripada Baesa yang mati di kota akan dimakan anjing, dan setiap orangnya yang mati di padang akan dimakan burung di udara.”

5Riwayat Baesa selebihnya, apa yang dilakukannya serta kejayaannya, bukankah semuanya tertulis dalam kitab hikayat raja-raja Israel?

6Lalu Baesa dibaringkan bersama dengan nenek moyangnya dan dimakamkan di Tirza. Maka Ela, anaknya, menaiki takhta menggantikannya.

7Dengan perantaraan nabi Yehu anak Hanani turunlah juga firman TUHAN yang menentang Baesa dan keluarganya sehubungan dengan segala kejahatan yang telah dilakukannya di mata TUHAN, dan juga kerana dia telah membunuh Yerobeam. Baesa membangkitkan murka-Nya dengan perbuatan tangannya dan menjadi sama seperti keluarga Yerobeam.

Ela, raja Israel

8Pada tahun kedua puluh enam zaman pemerintahan Asa, raja Yehuda, Ela anak Baesa menaiki takhta atas Israel di Tirza. Dia bertakhta selama dua tahun.

9Kemudian Zimri, pegawainya yang menjadi panglima atas separuh daripada ratanya, bersekongkol melawannya. Suatu kali, ketika dia berada di Tirza dan sedang minum-minum sampai mabuk di rumah Arza, kepala istananya di Tirza,

10datanglah Zimri menyerang lalu membunuhnya. Peristiwa itu terjadi pada tahun kedua puluh tujuh zaman pemerintahan Asa, raja Yehuda. Maka Zimri pun menaiki takhta untuk menggantikan Ela.

11Sebaik sahaja Zimri menaiki takhta dan duduk di atas takhtanya, dia membunuh seluruh keluarga Baesa. Tidak ditinggalkannya seorang lelaki pun, baik kerabat mahupun sahabat Baesa.

12Demikianlah Zimri memusnahkan seluruh keluarga Baesa, selaras dengan firman yang disampaikan TUHAN dengan perantaraan nabi Yehu untuk menentang Baesa.

13Hal itu terjadi kerana semua dosa Baesa dan dosa Ela, anaknya, baik yang dilakukan mereka sendiri mahupun yang menyebabkan orang Israel berdosa, sehingga mereka membangkitkan murka TUHAN, Allah Israel, dengan berhala-berhala mereka.

14Riwayat Ela selebihnya dan semua yang dilakukannya, bukankah semuanya tertulis dalam kitab hikayat raja-raja Israel?

Zimri, raja Israel

15Pada tahun kedua puluh tujuh zaman pemerintahan Asa, raja Yehuda, Zimri bertakhta selama tujuh hari di Tirza. Pada waktu itu tenteranya sedang berkhemah mengepung Gibeton, wilayah orang Filistin.

16Ketika pasukan yang sedang berkhemah itu mendengar khabar yang mengatakan, “Zimri telah bersekongkol melawan raja serta membunuhnya,” maka pada hari itu juga semua orang Israel di perkhemahan menobatkan Omri, panglima tentera mereka, menjadi raja atas Israel.

17Omri maju dari Gibeton berserta semua orang Israel, lalu mengepung Tirza.

18Apabila Zimri melihat bahawa kota itu telah direbut, masuklah dia ke dalam puri istana raja lalu membakar habis istana itu bersama dirinya. Maka matilah dia

19kerana dosa-dosa yang telah dilakukannya. Dia mengerjakan apa yang jahat di mata TUHAN serta hidup mengikuti jejak Yerobeam. Diikutinya dosa Yerobeam yang menyebabkan orang Israel turut berdosa.

20Riwayat Zimri selebihnya dan persekongkolan yang diadakannya, bukankah semuanya tertulis dalam kitab hikayat raja-raja Israel?

Omri, raja Israel

21Maka berpecahlah rakyat Israel menjadi dua puak. Sebahagian rakyat mengikuti Tibni anak Ginat dan hendak menobatkannya untuk menjadi raja, manakala sebahagian yang lain mengikuti Omri.

22Akan tetapi, rakyat yang mengikuti Omri lebih kuat daripada rakyat yang mengikuti Tibni anak Ginat. Maka Tibni pun mati, dan Omri menjadi raja.

23Omri menaiki takhta atas Israel pada tahun ketiga puluh satu zaman pemerintahan Asa, raja Yehuda. Dia bertakhta selama dua belas tahun iaitu enam tahun daripadanya di Tirza.

24Dibelinya Gunung Samaria daripada Semer dengan harga dua talenta perak dan dibinanya sebuah kota di atas gunung itu. Kemudian dinamainya kota itu Samaria, menurut nama Semer, pemilik gunung itu.

25Omri melakukan apa yang jahat di mata TUHAN. Kejahatan yang dilakukannya lebih besar daripada semua orang yang mendahuluinya.

26Dia hidup mengikuti segala jejak Yerobeam anak Nebat dan mengikuti dosa Yerobeam yang menyebabkan orang Israel turut sama berdosa, sehingga mereka membangkitkan murka TUHAN, Allah Israel, dengan berhala-berhala mereka.

27Riwayat Omri selebihnya, apa yang dilakukannya serta kejayaan yang dicapainya, bukankah semuanya tertulis dalam kitab hikayat raja-raja Israel?

28Lalu Omri dibaringkan bersama nenek moyangnya dan dimakamkan di Samaria. Maka Ahab, anaknya, menaiki takhta menggantikannya.

Raja Ahab menyembah Baal

29Ahab anak Omri menaiki takhta atas Israel pada tahun ketiga puluh lapan zaman pemerintahan Asa, raja Yehuda. Ahab anak Omri bertakhta atas Israel di Samaria selama dua puluh dua tahun,

30dan Ahab anak Omri melakukan apa yang jahat di mata TUHAN, lebih daripada semua orang yang mendahuluinya.

31Seolah-olah kehidupannya dalam dosa-dosa Yerobeam anak Nebat itu perkara yang ringan sahaja, dia juga memperisteri Izebel, anak Etbaal, raja Sidon, lalu pergi beribadat kepada Baal dan sujud menyembahnya.

32Dia mendirikan mazbah bagi Baal di kuil Baal yang dibinanya di Samaria.

33Kemudian Ahab membuat patung Asyera bahkan banyak hal yang lain sehingga dia membangkitkan murka TUHAN, Allah Israel, lebih daripada semua Raja Israel yang pernah ada sebelum dirinya.

34Pada zamannya, seorang bernama Hiel dari Betel membina kembali Kota Yerikho. Dia meletakkan dasarnya dengan nyawa Abiram, anak sulungnya, dan mendirikan pintu-pintu gerbangnya dengan nyawa Segub, anak bongsunya, selaras dengan firman yang disampaikan TUHAN dengan perantaraan Yosua anak Nun.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  1 Raja-raja 16 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel