Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  1 Raja-raja 2 >> 

Amanat terakhir Daud, raja Israel

1Apabila menjelang ajalnya, Daud beramanat kepada Salomo, anaknya, demikian,

2“Aku akan menempuh jalan kefanaan. Kuatkanlah hatimu dan berlakulah seperti lelaki.

3Peganglah kewajipanmu terhadap TUHAN, Allahmu, dengan hidup menurut jalan-Nya dan dengan berpegang teguh pada segala ketetapan-Nya, perintah-Nya, peraturan-Nya, serta peringatan-Nya seperti yang tertulis dalam Kitab Taurat Musa. Dengan demikian engkau akan berhasil dalam segala tindakanmu dan dalam segala tujuanmu,

4dan TUHAN akan melaksanakan firman yang disampaikan-Nya mengenai aku: ‘Jika anak-anakmu tetap hidup di hadapan-Ku dengan setia, dengan segenap hati, dan dengan segenap jiwa, maka tidak akan terputus keturunanmu yang duduk di atas takhta kerajaan Israel.’

5Apatah lagi, engkau juga tahu apa yang dilakukan Yoab, anak Zeruya, terhadapku, iaitu apa yang dilakukannya terhadap Abner anak Ner dan Amasa anak Yeter, kedua-duanya panglima tentera Israel. Dia membunuh mereka dan menumpahkan darah peperangan pada masa damai, sehingga darah peperangan melumuri ikat pinggang serta kasut kakinya.

6Maka bertindaklah selaras dengan kebijaksanaanmu dan jangan membiarkan orang yang beruban itu turun ke alam kubur dengan damai.

7Akan tetapi, kepada anak-anak Barzilai, orang Gilead itu, tunjukkanlah kasihmu. Biarlah mereka termasuk kalangan yang mendapat makanan dari mejamu, kerana demikianlah mereka menyambut aku ketika aku melarikan diri daripada Absalom, abangmu.

8Juga masih ada padamu Simei anak Gera, orang Benyamin dari Bahurim itu. Dialah yang melontarkan kutukan yang kejam terhadapku pada waktu aku pergi ke Mahanaim, tetapi kemudian dia datang menyongsong aku di tepi Sungai Yordan. Kepadanya aku telah bersumpah demi TUHAN, ‘Aku tidak akan menghukum mati engkau dengan pedang.’

9Sekarang, janganlah anggap dia tidak bersalah, kerana engkau seorang yang bijak. Engkau akan tahu apa yang patut kaulakukan terhadapnya. Turunkanlah orang beruban itu dalam keadaan berdarah ke alam barzakh.”

10Lalu Daud dibaringkan bersama-sama nenek moyangnya, dan dimakamkan di Kota Daud.

11Selama empat puluh tahun Daud bertakhta atas orang Israel. Tujuh tahun dia bertakhta di Hebron, dan tiga puluh tiga tahun di Yerusalem.

12Kemudian Salomo duduk di atas takhta Daud, ayahnya, dan kerajaannya sangat kukuh.

Raja Salomo mengukuhkan takhtanya

13Pada suatu waktu, datanglah Adonia, anak Hagit, menghadap Batsyeba, bonda Salomo. Tanya Batsyeba, “Apakah engkau datang dengan damai sejahtera?” Jawabnya, “Ya, secara berdamai.”

14Katanya pula, “Ada sesuatu yang hendak hamba katakan kepada bonda.” Kata Batsyeba, “Katakanlah.”

15Katanya, “Bonda maklum bahawa kerajaan itu sebenarnya milik hamba. Semua orang Israel pun mengharapkan hamba untuk menjadi raja. Akan tetapi, kerajaan itu beralih menjadi milik adik hamba kerana dia memperolehnya daripada TUHAN.

16Sekarang, hamba menyampaikan satu permintaan sahaja kepada bonda. Mohon jangan tolak permintaan hamba.” Kata Batsyeba kepadanya, “Katakanlah.”

17Maka katanya, “Kerana baginda tentu tidak akan menolak permintaan bonda, tolong minta kepada Raja Salomo supaya baginda memberikan Abisag, gadis Sunem itu, kepada hamba untuk menjadi isteri hamba.”

18Jawab Batsyeba, “Baiklah, aku akan berbicara kepada raja bagimu.”

19Lalu masuklah Batsyeba menghadap Raja Salomo untuk berbicara kepadanya bagi Adonia. Raja bangkit menyambut dia dan sujud memberi hormat kepadanya. Kemudian raja duduk di atas takhtanya. Disuruhnya orang meletakkan kerusi untuk bonda raja, lalu duduklah bonda raja di sebelah kanannya.

20Katanya, “Ibu hendak menyampaikan suatu permintaan kecil kepadamu. Mohon jangan tolak permintaan Ibu.” Kata raja kepadanya, “Sampaikanlah, Ibu, kerana aku tidak akan menolak permintaan Ibu.”

21Katanya, “Biarlah Abisag, gadis Sunem itu, diberikan kepada Adonia, abangmu, untuk menjadi isterinya.”

22Tetapi jawab Raja Salomo kepada ibunya, “Mengapa Ibu meminta Abisag, gadis Sunem itu, bagi Adonia? Mintalah juga kerajaan ini bagi dia, kerana dia saudaraku yang lebih tua – ya, bagi dia, bagi Imam Abyatar, dan bagi Yoab anak Zeruya.”

23Kemudian Raja Salomo bersumpah demi TUHAN, katanya, “Biarlah Allah mengazab aku, bahkan lebih lagi, jika permintaan ini tidak dibayar Adonia dengan nyawanya sendiri.

24Sekarang, demi TUHAN yang hidup, iaitu TUHAN yang mengukuhkan aku dan mendudukkan aku di atas takhta Daud, ayahku serta membangunkan sebuah keluarga bagiku seperti yang dijanjikan-Nya, sesungguhnya Adonia harus dihukum mati pada hari ini juga.”

25Raja Salomo memberikan perintah kepada Benaya anak Yoyada, lalu Benaya menyerang Adonia sehingga dia mati.

26Kepada Imam Abyatar, raja berkata, “Pergilah ke Anatot, tanah milikmu. Sesungguhnya, engkau patut dihukum mati, tetapi pada hari ini aku tidak akan membunuh engkau, kerana engkau pernah mengusung tabut Tuhan ALLAH di hadapan Daud, ayahku, dan kerana engkau pernah turut mengalami semua yang dideritai ayahku.”

27Demikianlah Salomo memecat Abyatar daripada jawatannya sebagai imam TUHAN, sehingga terlaksanalah firman yang disampaikan TUHAN mengenai keluarga Eli di Silo.

28Maka sampailah berita itu kepada Yoab yang sememangnya telah berpihak kepada Adonia, sekalipun dahulu dia tidak berpihak kepada Absalom. Maka larilah Yoab ke Khemah Suci TUHAN, lalu dipegangnyalah tanduk-tanduk mazbah.

29Kepada Raja Salomo diberitahukan bahawa Yoab telah lari ke Khemah Suci TUHAN dan telah berada di samping mazbah. Kemudian Salomo menyuruh Benaya anak Yoyada, katanya, “Pergilah, serang dia!”

30Benaya pun masuk ke dalam Khemah Suci TUHAN dan berkata kepada Yoab, “Beginilah titah raja, ‘Keluarlah!’ ” Jawabnya, “Tidak, di sinilah aku mahu mati.” Kemudian Benaya menyampaikan kata-kata itu kepada raja, katanya, “Beginilah kata Yoab dan beginilah jawabnya kepada hamba.”

31Kata raja kepadanya, “Lakukanlah seperti yang dikatakannya. Seranglah dia lalu kebumikanlah dia, supaya darah yang ditumpahkan Yoab dengan tidak semena-mena itu dijauhkan daripadaku dan daripada kaum keluargaku.

32TUHAN akan menanggungkan darahnya atas dirinya sendiri kerana dia telah menyerang dua orang yang lebih benar dan lebih baik daripadanya. Tanpa pengetahuan ayahku Daud, dia telah membunuh Abner anak Ner, panglima tentera Israel, dan Amasa anak Yeter, panglima tentera Yehuda, dengan pedang.

33Dengan demikian darah mereka akan ditanggungkan atas Yoab dan atas keturunannya untuk selama-lamanya. Tetapi bagi Daud, bagi keturunannya, bagi keluarganya, dan bagi takhtanya akan ada kedamaian daripada TUHAN untuk selama-lamanya.”

34Maka pergilah Benaya anak Yoyada. Lalu dia menyerang Yoab dan membunuhnya. Kemudian Yoab dikebumikan di rumahnya sendiri, di gurun.

35Selanjutnya, Benaya anak Yoyada diangkat oleh raja sebagai ketua tentera untuk menggantikan Yoab. Imam Zadok pun diangkat oleh raja untuk menggantikan Abyatar.

36Kemudian raja menyuruh agar Simei dipanggil. Kata raja kepadanya, “Binalah sebuah rumah bagimu di Yerusalem lalu tinggallah di situ. Jangan keluar ke mana-mana pun dari situ.

37Kerana camkanlah, pada hari engkau keluar dari situ lalu menyeberangi Sungai Kidron, engkau pasti dihukum mati. Darahmu akan ditanggungkan atas dirimu sendiri.”

38Kata Simei kepada raja, “Titah yang baik. Akan hamba lakukan apa yang Tuanku Raja titahkan itu.” Maka Simei pun tinggal di Yerusalem selama beberapa waktu.

39Akan tetapi, setelah tiga tahun berlalu, dua orang hamba Simei lari kepada Akhis anak Maakha, raja Gat. Kepada Simei dikhabarkan, “Ketahuilah, hamba-hamba tuan ada di Gat.”

40Simei pun segera memelanai keldainya dan pergi ke Gat, ke tempat Akhis, untuk mencari hamba-hambanya itu. Lalu Simei pulang dan membawa hamba-hambanya kembali dari Gat.

41Ketika dikhabarkan kepada Salomo bahawa Simei pergi dari Yerusalem ke Gat lalu kembali,

42maka raja menyuruh agar Simei dipanggil. Kata raja kepadanya, “Bukankah aku telah menyuruh engkau bersumpah demi TUHAN dan telah mengingatkan engkau demikian, ‘Camkanlah, bahawa pada waktu engkau keluar dan pergi ke mana-mana pun, engkau pasti dihukum mati’? Lalu jawabmu kepadaku, ‘Titah yang baik. Hamba akan mentaatinya.’

43Mengapakah engkau tidak memegang sumpah demi TUHAN itu dan mentaati perintah yang kuberikan kepadamu?”

44Raja berkata pula kepada Simei, “Dalam hatimu, engkau sendiri tahu akan segala kejahatan yang kaulakukan terhadap Daud, ayahku. TUHAN akan membalikkan kejahatanmu itu kepada dirimu sendiri.

45Tetapi Raja Salomo akan diberkati, dan takhta Daud akan dikukuhkan di hadapan TUHAN untuk selama-lamanya.”

46Raja pun memberikan perintah kepada Benaya anak Yoyada, lalu Benaya keluar lalu menyerang dia sehingga dia mati. Demikianlah kerajaan itu kukuh dalam tangan Salomo.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  1 Raja-raja 2 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel