Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  1 Samuel 1 >> 

Kelahiran Samuel

1Ada seorang lelaki suku Efraim bernama Elkana anak Yeroham anak Elihu anak Tohu anak Zuf dari Ramataim-Zofim di pergunungan Efraim.

2Dia beristeri dua, seorang bernama Hana dan yang seorang lagi bernama Penina. Penina mempunyai anak, tetapi Hana tidak.

3Setiap tahun lelaki itu pergi dari kotanya untuk beribadat dan mempersembahkan korban di hadapan TUHAN alam semesta di Silo. Kedua-dua orang anak Eli, iaitu Hofni dan Pinehas, ialah imam TUHAN di sana.

4Pada hari Elkana mempersembahkan korban, dia memberikan bahagian-bahagian korban itu kepada Penina, isterinya, serta kepada semua anaknya baik lelaki mahupun perempuan.

5Dia memberikan bahagian dua kali ganda kepada Hana kerana dia mengasihinya meskipun TUHAN menutup rahim isterinya itu.

6Hana sering disakiti dan dihina oleh madunya, Penina, kerana TUHAN menutup rahim Hana.

7Demikianlah keadaan itu berlangsung tahun demi tahun. Setiap kali Hana pergi ke Bait TUHAN, madunya menyakiti hatinya sehingga dia menangis dan tidak mahu makan.

8Elkana, suaminya, berkata kepadanya, “Hana, mengapakah engkau menangis? Mengapakah engkau tidak mahu makan? Mengapakah engkau susah hati? Bukankah aku lebih berharga bagimu daripada sepuluh orang anak lelaki?”

9Ada sekali, setelah mereka selesai makan dan minum di Silo, Hana pun berdiri. Pada ketika itu Imam Eli sedang duduk di sebuah kerusi berdekatan dengan ambang pintu Bait Suci TUHAN.

10Dengan hati yang pedih, berdoalah Hana kepada TUHAN sambil menangis tersedu-sedu.

11Bernazarlah Hana, katanya, “Ya TUHAN alam semesta, jika sungguh-sungguh Engkau memperhatikan kesengsaraan hamba-Mu ini dan mengingatiku serta tidak melupakan hamba-Mu ini, tetapi memberi hamba-Mu ini seorang anak lelaki, maka hamba akan menyerahkan dia kepada TUHAN seumur hidupnya dan pisau cukur tidak akan menyentuh kepalanya.”

12Ketika perempuan itu terus-menerus berdoa di hadapan TUHAN, Eli mengamat-amati mulut perempuan itu.

13Hana berkata-kata dalam hatinya dan hanya bibirnya sahaja bergerak-gerak, tetapi suaranya tidak kedengaran, maka Eli menyangka perempuan itu mabuk.

14Lalu kata Eli kepadanya, “Berapa lama lagi engkau akan mabuk? Lepaskanlah dirimu daripada mabukmu!”

15Tetapi Hana menjawab, “Tidak, tuanku, hamba seorang perempuan yang sedang bersusah hati. Hamba tidak minum baik air anggur mahupun minuman keras, tetapi hamba baru sahaja mencurahkan isi hati hamba di hadapan TUHAN.

16Janganlah anggap hambamu ini seorang perempuan yang nista. Atas sebab begitu besarnya keluh-kesah dan sakit hati hamba, maka hamba berdoa seperti ini sejak tadi.”

17Jawab Eli, “Pulanglah dengan sejahtera. Semoga Allah Israel mengabulkan permintaan yang kausampaikan kepada-Nya itu.”

18Kata Hana, “Semoga hambamu ini mendapat belas kasihan tuan.” Kemudian pulanglah perempuan itu lalu dia makan dan mukanya tidak muram lagi.

19Keesokan harinya, bangunlah mereka pagi-pagi lalu beribadat di hadapan TUHAN. Setelah itu, mereka pulang dan tiba di rumah mereka di Rama. Ketika Elkana meniduri Hana, isterinya, TUHAN mengingati perempuan itu.

20Seiring berlalunya masa, Hana mengandung lalu melahirkan seorang anak lelaki yang dinamainya Samuel. Katanya, “Kerana aku telah memintanya daripada TUHAN.”

21Pada waktu Elkana, lelaki itu, pergi lagi dengan seluruh keluarganya untuk mempersembahkan di hadapan TUHAN korban sembelihan tahunan dan korban nazarnya,

22Hana tidak ikut pergi. Katanya kepada suaminya, “Setelah anak ini sudah bercerai susu barulah aku akan membawanya, supaya dia menghadap hadirat TUHAN dan tinggal di sana untuk sepanjang hayatnya.”

23Elkana, suaminya, berkata kepadanya, “Lakukanlah apa yang kaupandang baik. Tinggallah sampai engkau menceraikan susunya. Semoga TUHAN melaksanakan firman-Nya.” Maka Hana tinggal di rumah dan menyusui anaknya sampai anak itu bercerai susu.

24Setelah anak itu bercerai susu, dia pun membawa dan menghantar anak itu ke Bait TUHAN di Silo. Dia juga membawa bersama-samanya seekor lembu berumur tiga tahun, satu efa tepung, dan sekantung kulit air anggur. Pada waktu itu anak itu masih kecil.

25Lembu jantan itu disembelih, lalu anak itu dibawa kepada Eli.

26Kata perempuan itu, “Ya tuanku, demi hidup tuan, hambalah perempuan yang dahulu berdiri di sini dekat tuan sambil berdoa kepada TUHAN.

27Untuk mendapat anak inilah hamba berdoa, dan TUHAN telah mengabulkan permintaan yang hamba sampaikan kepada-Nya.

28Oleh sebab itu hamba menyerahkan anak ini kepada TUHAN. Hidup sepanjang hayatnya terserah kepada TUHAN.” Anak itu pun beribadat kepada TUHAN di sana.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  1 Samuel 1 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel