Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  2 Samuel 21 >> 

Umat Gibeon membalas dendam

1Pada zaman Daud berlakulah kebuluran selama tiga tahun berturut-turut. Oleh itu, Daud mencari petunjuk daripada TUHAN. Lalu TUHAN berfirman, “Hal itu berlaku kerana Saul dan keluarganya berhutang darah kerana dahulunya dia pernah membunuh umat Gibeon.”

2Kemudian raja memanggil orang Gibeon untuk berbicara dengan mereka. Orang Gibeon itu tidak termasuk orang Israel, melainkan saki-baki orang Amori. Orang Israel telah mengikat perjanjian dengan bersumpah kepada mereka, tetapi Saul berikhtiar membunuh mereka dengan penuh semangatnya membela kepentingan orang Israel dan Yehuda.

3Tanya Daud kepada orang Gibeon, “Apakah yang dapat kulakukan bagimu, dan dengan apa dapat kuadakan perdamaian, supaya kamu dapat memohonkan berkat bagi harta pusaka TUHAN?”

4Jawab orang Gibeon kepadanya, “Perkara yang ada antara kami dengan Saul dan keluarganya bukanlah perkara emas atau perak. Kami pun tidak ada niat membunuh sesiapa di Israel.” Lalu berkatalah Daud, “Apa yang kamu katakan, akan kulakukan bagimu.”

5Kata mereka kepada raja, “Raja Saul hendak membinasakan kami semua supaya kami lenyap dari seluruh Israel.

6Serahkanlah kepada kami tujuh orang anak lelaki orang itu. Kami akan menggantung mereka di hadapan TUHAN di Gibea, kota Saul, pilihan TUHAN itu.” Kata raja, “Mereka akan kuserahkan.”

7Tetapi raja berasa sayang kepada Mefiboset anak Yonatan anak Saul, kerana ada sumpah demi TUHAN antara mereka, iaitu antara Daud dengan Yonatan anak Saul.

8Jadi, raja mengambil kedua-dua anak lelaki Rizpa anak Aya yang dilahirkannya bagi Saul, iaitu Armoni dan Mefiboset, dan kelima-lima orang anak lelaki Merab anak Saul yang dilahirkannya bagi Adriel anak Barzilai, orang Mehola itu.

9Diserahkannya mereka ke tangan orang Gibeon yang seterusnya menggantung mereka di bukit, di hadapan TUHAN. Matilah ketujuh-tujuh orang itu bersama-sama. Mereka dihukum mati pada hari pertama musim menuai, iaitu pada permulaan musim menuai barli.

10Kemudian Rizpa anak Aya mengambil kain perkabungan dan membentangkannya bagi dirinya di atas batu pejal. Sejak permulaan musim menuai sampai air hujan tercurah dari langit ke atas jenazah mereka, tidak dibiarkannya burung-burung di udara hinggap ke atas jenazah mereka pada siang hari, ataupun binatang-binatang liar pada malam hari.

11Ketika diberitahukan kepada Daud apa yang dilakukan oleh Rizpa anak Aya, gundik Saul itu,

12pergilah Daud mengambil tulang-belulang Saul dan tulang-belulang Yonatan, anaknya, daripada warga Yabesh-Gilead. Dulu orang Yabesh-Gilead mencuri tulang-tulang itu dari tanah lapang di Bet-Sean, tempat orang Filistin menggantung mereka pada waktu orang Filistin membunuh Saul di Gilboa.

13Dari sana Daud membawa tulang-belulang Saul dan tulang-belulang Yonatan, anaknya. Maka tulang-belulang orang yang digantung itu turut dikumpulkan.

14Kemudian tulang-belulang Saul dan Yonatan, anaknya, dikebumikan di Tanah Benyamin, di Zela, dalam kubur Kish, ayahnya. Segala sesuatu yang diperintahkan oleh raja pun dilaksanakan, dan setelah itu Allah mengabulkan doa untuk negeri itu.

Rentetan peperangan melawan orang Filistin

15Ketika terjadi lagi peperangan antara orang Filistin dengan orang Israel, berangkatlah Daud bersama anak buahnya. Mereka memerangi orang Filistin sampai Daud menjadi letih lesu.

16Yisbi-Benob, seorang daripada keturunan raksasa yang menyandang sebilah pedang baru dan yang berat tombaknya tiga ratus syikal gangsa, bermaksud membunuh Daud.

17Tetapi Abisai anak Zeruya datang membantu Daud lalu menyerang dan menumpaskan orang Filistin itu. Setelah itu, anak buah Daud mendesaknya, “Jangan lagi tuanku maju berperang bersama-sama kami, supaya jangan tuanku memadamkan pelita yang menerangi Israel.”

18Setelah itu, terjadi lagi peperangan dengan orang Filistin di Gob. Pada waktu itu Sibkhai, orang Husa, menewaskan Saf, yang termasuk keturunan raksasa.

19Kemudian terjadi lagi peperangan dengan orang Filistin di Gob. Elhanan anak Yaare-Oregim, orang Betlehem, menewaskan Goliat, orang Gat, yang batang tombaknya seperti kayu penggulung para tukang tenun.

20Selanjutnya peperangan terjadi lagi di Gat. Di sana ada seorang yang tinggi perawakannya. Kedua-dua belah tangan dan kakinya berjari enam. Jadi, jarinya berjumlah dua puluh empat. Dia juga termasuk keturunan raksasa.

21Ketika orang itu mencemuh orang Israel, maka Yonatan anak Simea, abang Daud, menewaskannya.

22Keempat-empat orang itu keturunan raksasa di Gat. Mereka tewas di tangan Daud dan di tangan anak buahnya.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  2 Samuel 21 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel