Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  2 Tawarikh 18 >> 

Allah berhadapan dengan nabi sesat

1Ketika kekayaan dan kemuliaan Yosafat sudah melimpah ruah, dia menjadi besan Ahab.

2Selang beberapa tahun, pergilah dia mendapatkan Ahab di Samaria. Ahab menyembelih banyak domba dan lembu untuknya serta untuk rombongan yang menyertainya. Seterusnya Ahab mengajak dia pergi menyerang Ramot-Gilead.

3Kata Ahab, raja Israel, kepada Yosafat, raja Yehuda, “Mahukah tuan berangkat bersama-samaku ke Ramot-Gilead?” Jawabnya kepadanya, “Aku ini sehati dengan tuan, dan rakyatku dengan rakyat tuan. Kami akan menyertai tuan dalam peperangan ini.”

4Namun demikian, kata Yosafat kepada raja Israel, “Sebaiknya cari petunjuk TUHAN dahulu.”

5Lalu raja Israel mengumpulkan nabi seramai empat ratus orang dan bertanya kepada mereka, “Bolehkah kami pergi berperang melawan Ramot-Gilead, atau haruskah aku membatalkannya?” Jawab mereka, “Pergilah, kerana Allah akan menyerahkannya ke dalam tangan Raja.”

6Tetapi kata Yosafat, “Tidak adakah lagi di sini seorang nabi TUHAN, supaya kita dapat mencari petunjuk daripadanya?”

7Kata raja Israel kepada Yosafat, “Masih ada seorang lagi yang dapat disuruh untuk meminta petunjuk TUHAN, tetapi aku membenci dia kerana dia tidak pernah menubuatkan hal yang baik tentang aku, melainkan hal yang buruk belaka. Dia ialah Mikha anak Yimla.” Kata Yosafat, “Janganlah Raja berkata demikian.”

8Kemudian raja Israel memanggil seorang pegawai istananya dan berkata, “Jemputlah Mikha anak Yimla dengan segera.”

9Pada waktu itu, dengan menyarung pakaian kebesaran, raja Israel dan Yosafat, raja Yehuda, duduk di atas takhta masing-masing di tempat pembantingan, di depan pintu gerbang Samaria, sementara semua nabi itu bernubuat di hadapan mereka.

10Zedekia anak Kenaana membuat bagi dirinya tanduk-tanduk daripada besi lalu berkata, “Beginilah firman TUHAN, ‘Dengan inilah tuanku akan menanduk orang Aram sampai mereka tumpas.’ ”

11Semua nabi pun bernubuat demikian, kata mereka, “Majulah ke Ramot-Gilead dan raihlah kejayaan, kerana TUHAN akan menyerahkannya ke dalam tangan Raja.”

12Sementara itu utusan yang pergi memanggil Mikha berkata kepada Mikha, “Ketahuilah, nabi-nabi itu bersatu hati mengatakan hal yang baik kepada raja. Jadi, hendaklah kata-katamu sama dengan kata-kata seorang daripada kalangan mereka. Katakanlah hal yang baik.”

13Jawab Mikha, “Demi TUHAN yang hidup, sesungguhnya apa yang difirmankan Allahku, itulah yang akan kukatakan.”

14Setelah dia sampai di hadapan raja, berkatalah raja kepadanya, “Mikha, bolehkah kami pergi berperang ke Ramot-Gilead, atau haruskah aku membatalkannya?” Jawabnya, “Majulah dan raihlah kejayaan. Mereka akan diserahkan ke dalam tangan tuanku.”

15Tetapi kata raja kepadanya, “Sampai berapa kali aku harus menyuruh engkau bersumpah untuk tidak mengatakan apa-apa kepadaku selain kebenaran dalam nama TUHAN?”

16Kata Mikha, “Aku melihat semua orang Israel tercerai-berai di gunung-gunung seperti domba yang tidak bergembala. Lalu TUHAN berfirman, ‘Mereka ini tidak bertuan. Biarlah mereka pulang ke rumah masing-masing dengan selamat.’ ”

17Kemudian raja Israel berkata kepada Yosafat, “Bukankah sudah kukatakan kepadamu bahawa dia tidak pernah menubuatkan hal yang baik tentang aku, melainkan hal yang buruk belaka?”

18Mikha berkata lagi, “Oleh sebab itu dengarlah firman TUHAN. Aku telah melihat TUHAN duduk di atas takhta-Nya, sementara seluruh angkatan syurga berdiri di sebelah kanan dan kiri-Nya.

19Lalu TUHAN berfirman, ‘Siapakah yang mahu memujuk Ahab, raja Israel, supaya dia maju dan tewas di Ramot-Gilead?’ Maka yang satu berkata begini dan yang lain berkata begitu.

20Kemudian tampillah suatu roh, lalu berdiri di hadapan TUHAN. Katanya, ‘Aku akan memujuk dia.’ Firman TUHAN kepadanya, ‘Dengan apa?’

21Jawabnya, ‘Aku akan keluar dan menjadi roh dusta di dalam mulut semua nabinya.’ Firman-Nya, ‘Engkau akan memujuk dia dan berjaya. Pergilah dan berbuatlah demikian!’

22Sekarang ketahuilah, TUHAN telah mengizinkan roh dusta ditaruh di dalam mulut para nabi Tuanku itu. TUHAN telah menetapkan malapetaka terhadap Tuanku.”

23Kemudian Zedekia anak Kenaana mendekati dan menampar pipi Mikha. Katanya, “Bagaimanakah mungkin roh daripada TUHAN itu berpindah daripadaku untuk berbicara kepadamu?”

24Jawab Mikha, “Sesungguhnya, engkau akan mengetahuinya pada hari itu, ketika engkau masuk ke suatu bilik yang terdalam untuk bersembunyi.”

25Maka raja Israel memerintahkan, “Tangkap Mikha dan bawa dia kembali kepada Amon, pembesar kota itu, dan kepada Yoas, anak raja.

26Katakanlah, ‘Beginilah perintah raja: Masukkan orang ini ke dalam penjara. Beri dia roti dan air serba sedikit sampai aku kembali dengan selamat.’ ”

27Kata Mikha, “Jika Tuanku betul-betul kembali dengan selamat, bererti TUHAN tidak berfirman melalui aku.” Lalu dia berkata, “Dengarlah, wahai bangsa-bangsa sekalian!”

Ahab tewas dalam peperangan di Ramot-Gilead

28Kemudian pergilah raja Israel dan Yosafat, raja Yehuda, ke Ramot-Gilead.

29Kata raja Israel kepada Yosafat, “Aku akan memasuki medan perang itu dengan menyamar diri. Tetapi engkau, kenakanlah pakaian kebesaranmu.” Maka menyamarlah raja Israel, kemudian mereka masuk ke medan perang.

30Sementara itu raja Aram telah memberikan perintah kepada para panglima pasukan ratanya demikian, “Jangan berperang melawan sesiapa pun, kecil ataupun besar, tetapi lawanlah raja Israel sahaja!”

31Pada waktu para panglima pasukan rata itu melihat Yosafat, mereka berkata, “Itu raja Israel.” Mereka berputar untuk berperang melawan dia, tetapi Yosafat berteriak dan TUHAN menolong dia. Allah membawa mereka pergi daripadanya.

32Oleh itu, para panglima pasukan rata itu menyedari bahawa dia bukanlah raja Israel, berhentilah mereka mengejar dia.

33Akan tetapi, ada seseorang menarik busur panah secara sembarangan sahaja lalu memanah raja Israel di antara sambungan baju zirahnya. Kemudian raja berkata kepada pengemudi ratanya, “Putar arah! Bawa aku keluar daripada pertempuran ini, kerana aku terluka!”

34Peperangan bertambah sengit pada hari itu, tetapi raja Israel tetap ditopang berdiri di dalam rata berhadapan dengan orang Aram sampai petang. Pada waktu matahari terbenam, dia pun meninggal.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  2 Tawarikh 18 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel