Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Bilangan 29 >> 

Perayaan Peniupan Nafiri

1Pada hari pertama pada bulan ketujuh adakanlah perhimpunan jemaah yang suci, dan janganlah lakukan apa-apa kerja biasa. Itulah hari apabila hendaklah kamu meniup nafiri.

2Persembahkanlah korban bakaran, iaitu korban yang keharumannya diredai TUHAN, berupa seekor lembu jantan muda, seekor domba jantan, dan tujuh ekor anak domba jantan berumur setahun yang tidak bercacat cela.

3Bagi persembahan bahan makanan persembahkanlah tepung terbaik yang dicampurkan dengan minyak zaitun sebanyak tiga persepuluh efa untuk lembu jantan, dua persepuluh efa untuk domba jantan,

4dan sepersepuluh efa untuk setiap anak domba yang tujuh ekor itu.

5Persembahkanlah juga seekor kambing jantan sebagai korban penghapus dosa untuk mengadakan pendamaian bagimu.

6Semua itu sebagai tambahan bagi korban bakaran bulan baru dengan persembahan bahan makanannya, dan korban bakaran yang tetap dengan persembahan bahan makanan serta persembahan minumannya menurut peraturan yang berkuat kuasa, iaitu korban yang dibakar, yang keharumannya diredai TUHAN.

Hari Pendamaian

7Pada hari kesepuluh pada bulan ketujuh ini juga, adakanlah pula perhimpunan jemaah yang suci. Rendahkanlah dirimu dengan berpantang, dan jangan lakukan apa-apa pekerjaan pun.

8Persembahkanlah korban bakaran yang keharumannya diredai TUHAN, iaitu seekor lembu jantan muda, seekor domba jantan, dan tujuh ekor anak domba jantan berumur setahun. Semuanya hendaklah tidak bercacat cela.

9Bagi persembahan bahan makanan persembahkanlah tepung terbaik yang dicampurkan dengan minyak zaitun sebanyak tiga persepuluh efa untuk lembu jantan itu, dua persepuluh efa untuk domba jantan yang seekor itu,

10dan sepersepuluh efa untuk setiap anak domba yang tujuh ekor itu.

11Persembahkanlah juga seekor kambing jantan sebagai korban penghapus dosa, selain korban penghapus dosa untuk mengadakan pendamaian dan korban bakaran yang tetap dengan persembahan bahan makanan serta persembahan minumannya.

Perayaan Pondok Daun

12Pada hari kelima belas pada bulan ketujuh juga, adakanlah lagi perhimpunan jemaah yang suci, dan janganlah lakukan apa-apa pekerjaan biasa kamu. Hendaklah kamu raikan perayaan untuk TUHAN selama tujuh hari.

13Persembahkanlah korban bakaran, iaitu korban yang dibakar yang keharumannya diredai TUHAN, berupa tiga belas ekor lembu jantan muda, dua ekor domba jantan, empat belas ekor anak domba jantan berumur setahun. Semuanya hendaklah tidak bercacat cela.

14Bagi persembahan bahan makanan persembahkanlah tepung terbaik yang dicampurkan dengan minyak zaitun sebanyak tiga persepuluh efa untuk setiap lembu jantan daripada yang tiga belas ekor itu, dua persepuluh efa untuk setiap domba jantan yang dua ekor itu,

15dan sepersepuluh efa untuk setiap anak domba yang empat belas ekor itu.

16Persembahkanlah juga seekor kambing jantan sebagai korban penghapus dosa, selain korban bakaran yang tetap dengan persembahan bahan makanan dan persembahan minumannya.

17Pada hari kedua, persembahkanlah dua belas ekor lembu jantan muda, dua ekor domba jantan, empat belas ekor anak domba jantan berumur setahun yang tidak bercacat cela,

18bersama-sama persembahan bahan makanan dan persembahan minuman untuk lembu, domba, serta anak-anak domba jantan itu menurut jumlah yang selaras dengan peraturan.

19Persembahkanlah juga seekor kambing jantan sebagai korban penghapus dosa, selain korban bakaran yang tetap dengan persembahan bahan makanan dan persembahan minumannya.

20Pada hari ketiga, persembahkanlah sebelas ekor lembu jantan, dua ekor domba jantan, empat belas ekor anak domba jantan berumur setahun yang tidak bercacat cela,

21berserta persembahan bahan makanan dan persembahan minuman untuk lembu, domba, dan anak-anak domba jantan itu menurut jumlah yang selaras dengan peraturan.

22Persembahkanlah juga seekor kambing jantan sebagai korban penghapus dosa, selain korban bakaran yang tetap dengan persembahan bahan makanan dan persembahan minumannya.

23Pada hari keempat persembahkanlah sepuluh ekor lembu jantan, dua ekor domba jantan, empat belas ekor anak domba jantan berumur setahun yang tidak bercacat cela,

24berserta persembahan bahan makanan dan persembahan minuman untuk lembu, domba, dan anak-anak domba jantan itu menurut jumlah yang selaras dengan peraturan.

25Persembahkanlah juga seekor kambing jantan sebagai korban penghapus dosa, selain korban bakaran yang tetap dengan persembahan bahan makanan dan persembahan minumannya.

26Pada hari kelima persembahkanlah sembilan ekor lembu jantan, dua ekor domba jantan, empat belas ekor anak domba berumur setahun yang tidak bercacat cela,

27berserta persembahan bahan makanan dan persembahan minuman untuk lembu, domba, dan anak-anak domba jantan itu menurut jumlah yang selaras dengan peraturan.

28Persembahkanlah juga seekor kambing jantan sebagai korban penghapus dosa, selain korban bakaran yang tetap dengan persembahan bahan makanan dan persembahan minumannya.

29Pada hari keenam persembahkanlah lapan ekor lembu jantan, dua ekor domba jantan, empat belas ekor anak domba jantan berumur setahun yang tidak bercacat cela,

30berserta persembahan bahan makanan dan persembahan minuman untuk lembu, domba, dan anak-anak domba jantan itu menurut jumlah yang selaras dengan peraturan.

31Persembahkanlah juga seekor kambing jantan sebagai korban penghapus dosa, selain korban bakaran yang tetap dengan persembahan bahan makanan dan persembahan minumannya.

32Pada hari ketujuh persembahkanlah tujuh ekor lembu jantan, dua ekor domba jantan, empat belas ekor anak domba jantan berumur setahun yang tidak bercacat cela,

33berserta persembahan bahan makanan dan persembahan minuman untuk lembu, domba, dan anak-anak domba jantan itu menurut jumlah yang selaras dengan peraturannya.

34Persembahkanlah juga seekor kambing jantan sebagai korban penghapus dosa, selain korban bakaran yang tetap dengan persembahan bahan makanan dan persembahan minumannya.

35Pada hari kelapan adakanlah perhimpunan ramai, dan jangan lakukan apa-apa kerja biasa kamu.

36Persembahkanlah korban bakaran, iaitu korban yang dibakar yang keharumannya diredai TUHAN, berupa seekor lembu jantan, seekor domba jantan, tujuh ekor anak domba berumur setahun yang tidak bercacat cela,

37berserta persembahan bahan makanan dan persembahan minuman untuk lembu, domba, dan anak-anak domba jantan itu menurut jumlah yang selaras dengan peraturan.

38Persembahkanlah juga seekor kambing jantan sebagai korban penghapus dosa, selain korban bakaran yang tetap dengan persembahan bahan makanan dan persembahan minumannya.

39Hendaklah semua itu kamu persembahkan kepada TUHAN pada hari-hari perayaan kamu sebagai korban bakaranmu, persembahan bahan makananmu, persembahan minumanmu, dan korban kedamaianmu, selain korban nazarmu dan korban sukarela kamu.’ ”

40Musa pun menyampaikan kepada orang Israel segala sesuatu yang diperintahkan TUHAN kepadanya.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Bilangan 29 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel