Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Kejadian 42 >> 

Saudara Yusuf pergi ke Mesir

1Yakub mendengar khabar bahawa di Mesir ada gandum. Maka berkatalah Yakub kepada anak-anaknya, “Mengapa kamu berpandangan sesama sendiri sahaja?”

2Katanya lagi, “Aku mendengar bahawa di Mesir ada gandum. Pergilah ke sana dan belilah gandum untuk kita dari sana, supaya kita tetap hidup dan tidak mati.”

3Maka pergilah sepuluh orang saudara Yusuf ke Mesir untuk membeli gandum.

4Namun begitu, Yakub tidak membenarkan Benyamin, adik Yusuf, untuk pergi bersama-sama abang-abangnya kerana fikirnya, “Semoga tiada kemalangan menimpanya.”

5Maka para anak Israel adalah antara orang ramai yang datang untuk membeli gandum, kerana bencana kebuluran melanda Tanah Kanaan dengan teruk.

6Yusuf telah menjadi pembesar di bumi itu dan dialah yang menjual gandum kepada seluruh rakyat negeri itu. Jadi, setibanya para saudara Yusuf di sana, sujudlah mereka kepadanya memberi hormat.

7Ketika Yusuf melihat para saudaranya, dia memang mengenali mereka tetapi dia tetap berpura-pura sebagai seorang yang asing dan berkata-kata kepada mereka dengan kasar. Tanyanya kepada mereka, “Dari manakah kamu datang?” Jawab mereka, “Dari Tanah Kanaan, hendak membeli bahan makanan.”

8Meskipun Yusuf mengenali para saudaranya, mereka tidak mengenalinya.

9Maka teringatlah Yusuf akan mimpi-mimpinya dahulu tentang mereka. Lalu katanya kepada mereka, “Kamu ini pengintip! Kamu datang untuk melihat-lihat kelemahan negeri ini.”

10Jawab mereka kepada Yusuf, “Bukan, tuanku. Hamba-hambamu ini datang untuk membeli bahan makanan.

11Kami semua ini anak-anak daripada seorang ayah, dan kami ini orang jujur. Hamba-hambamu ini bukan pengintip.”

12Tetapi Yusuf berkata kepada mereka, “Tidak! Kamu datang untuk melihat-lihat kelemahan negeri ini!”

13Jawab mereka, “Hamba-hambamu ini dua belas orang bersaudara, anak-anak daripada seorang ayah yang tinggal di Tanah Kanaan. Adik bongsu kami ada bersama-sama ayah kami sekarang, sedangkan yang seorang lagi sudah tidak ada.”

14Kata Yusuf kepada mereka, “Seperti sudah kukatakan kepadamu tadi, kamu ini pengintip!

15Demi hidup Firaun, kamu harus diuji demikian: Kamu tidak boleh pergi dari sini kecuali jika adikmu yang bongsu datang ke mari.

16Suruhlah seorang daripada kamu pergi menjemput adikmu, sementara yang lain ditahan di sini. Dengan demikian kesahihan kata-katamu dapat diuji. Jika tidak, maka demi hidup Firaun, pastilah kamu ini pengintip!”

17Kemudian dia memasukkan mereka ke dalam tahanan selama tiga hari.

18Pada hari ketiga berkatalah Yusuf kepada mereka, “Aku orang yang takut kepada Allah. Lakukanlah hal ini, maka kamu akan terus hidup:

19Jika kamu memang orang jujur, biarkan seorang daripada kamu bersaudara tinggal terkurung di rumah tahanan, sementara yang lain pergi membawa gandum untuk keluargamu yang sedang kelaparan.

20Tetapi kemudian bawalah adikmu yang bongsu itu kepadaku, supaya kata-katamu terbukti benar dan kamu tidak mati.” Mereka pun menyetujuinya.

21Kata mereka sesama sendiri, “Sesungguhnya, kita menanggung dosa kita terhadap adik kita. Kita lihat betapa menderita hatinya ketika dia memohon belas kasihan kita, tetapi kita tidak mahu mendengarkannya. Itulah sebabnya penderitaan ini menimpa kita pula.”

22Lalu Ruben menjawab mereka, “Bukankah sudah kukatakan kepada kamu, ‘Jangan berbuat dosa terhadap anak itu’? Tetapi kamu tidak mahu mendengar! Sekarang lihatlah, darahnya dituntut daripada kita.”

23Mereka tidak tahu bahawa Yusuf mengerti percakapan mereka, kerana selama itu ada seorang jurubahasa yang bertugas antara mereka.

24Maka berpalinglah Yusuf daripada mereka lalu menangis. Kemudian dia kembali lagi dan berbicara dengan mereka. Dia mengambil Simeon daripada antara mereka lalu membelenggunya di hadapan mata mereka.

25Setelah itu, Yusuf memberikan perintah agar karung-karung mereka diisi gandum, dan agar wang mereka dikembalikan ke dalam karung masing-masing. Selain itu, dia pun memberikan perintah agar mereka diberi bekal untuk perjalanan mereka. Maka demikianlah yang dilaksanakan.

26Mereka memuatkan gandum itu ke atas keldai-keldai mereka lalu pergi dari situ.

27Ketika seorang daripada mereka membuka karungnya untuk memberikan makan keldainya di tempat bermalam, dilihatnya wangnya di mulut karung itu.

28Katanya kepada para saudaranya, “Wangku dikembalikan! Lihat, ada di dalam karungku!” Maka cemaslah hati mereka, dan dengan gementar mereka berpandang-pandangan sesama sendiri lalu berkata, “Apa gerangan yang dilakukan Allah terhadap kita?”

29Sesampainya mereka di tempat Yakub, ayah mereka, di Tanah Kanaan, mereka menceritakan kepadanya segala sesuatu yang terjadi kepada mereka. Kata mereka,

30“Orang yang berkuasa atas negeri itu berkata-kata dengan kasar terhadap kami. Disangkanya kami orang yang sedang mengintip negeri itu.

31Jawab kami kepadanya, ‘Kami ini orang jujur, bukan pengintip.

32Kami ini dua belas orang bersaudara, anak-anak daripada seorang ayah. Seorang sudah tidak ada, dan yang bongsu sekarang bersama-sama ayah kami di Tanah Kanaan.’

33Tetapi orang yang berkuasa atas negeri itu berkata kepada kami, ‘Melalui hal ini aku akan tahu sama ada kamu orang jujur: tinggalkanlah seorang saudaramu denganku, kemudian ambillah makanan untuk keluargamu yang sedang kelaparan dan pergilah.

34Kemudian bawalah adikmu yang bongsu kepadaku, supaya aku tahu bahawa kamu bukan pengintip melainkan orang jujur. Setelah itu, aku akan mengembalikan saudaramu kepadamu, dan kamu pun boleh berniaga di negeri ini.’ ”

35Ketika mereka hendak mengosongkan karung mereka, kelihatan kantung wang masing-masing ada di dalam karung. Melihat kantung-kantung wang itu, mereka dan juga ayah mereka menjadi sangat ketakutan.

36Lalu Yakub, ayah mereka, berkata kepada mereka, “Kamu membuat aku kehilangan anak-anakku. Yusuf sudah tidak ada, demikian pula Simeon. Sekarang, Benyamin pun hendak kamu ambil. Akulah yang menanggung semua ini!”

37Kemudian Ruben berkata kepada ayahnya, “Bunuhlah kedua-dua orang puteraku jika aku tidak membawanya kembali kepada ayah. Serahkanlah dia ke dalam tanganku, maka aku akan membawanya kembali kepada ayah.”

38Tetapi jawabnya, “Anakku itu tidak boleh pergi bersama-sama kamu, kerana abangnya sudah mati, dan dia sendirilah yang masih hidup. Jika kemalangan menimpanya dalam perjalanan yang kamu tempuh, maka kamu akan membuat aku yang beruban ini turun ke alam kubur dalam dukacita.”


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Kejadian 42 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel