Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Kejadian 48 >> 

Yakub memberkati Manasye dan Efraim

1Maka setelah berlakunya pelbagai peristiwa itu ada orang memberitahu Yusuf, “Ketahuilah, ayah tuan sedang sakit.” Lalu Yusuf pergi kepadanya dengan membawa bersama-sama kedua-dua anaknya, Manasye dan Efraim.

2Apabila Yakub diberitahu, “Anakmu Yusuf datang mengunjungimu,” Israel mengerahkan seluruh tenaganya untuk duduk di tempat tidurnya.

3Berkatalah Yakub kepada Yusuf, “Allah Yang Maha Kuasa pernah menampakkan diri kepadaku di Lus, di Tanah Kanaan. Allah memberkati aku

4dan berfirman kepadaku, ‘Sesungguhnya, Aku akan membuat kamu beranak cucu dan melipatgandakan keturunanmu. Aku akan menjadikan kamu satu golongan bangsa, dan Aku akan mengurniakan negeri ini kepada keturunanmu kelak sebagai milik mereka yang kekal.’

5Maka sekarang, kedua-dua anakmu yang dilahirkan di Tanah Mesir sebelum aku datang kepadamu di Mesir, menjadi milikku. Sebagaimana Ruben dan Simeon ialah milikku, Efraim dan Manasye juga akan menjadi milikku.

6Tetapi para anakmu yang lahir selepas mereka berdua ini, mereka ialah milikmu. Dalam hal warisan pusaka, mereka akan disebut berdasarkan nama kedua-dua abang mereka.

7Ketika aku dalam perjalanan dari Padan-Aram, aku kesedihan atas kematian Rahel di Tanah Kanaan, tidak beberapa jauh jaraknya dari Efrata. Lalu aku memakamkan dia di sana, di sisi jalan menuju Efrata (iaitu Betlehem).”

8Apabila Israel melihat anak Yusuf, dia bertanya, “Siapakah mereka ini?”

9Jawab Yusuf kepada ayahnya, “Inilah anakku, yang dikurniakan Allah kepadaku di sini.” Kata Yakub, “Bawalah mereka dekat denganku, supaya aku dapat mendoakan keberkatan bagi mereka.”

10Ketika itu, atas sebab usianya yang lanjut, penglihatan kedua-dua belah mata Israel sudah kabur. Jadi, dia tidak dapat melihat dengan jelas. Yusuf mendekatkan mereka kepada Yakub, lalu Yakub mencium serta memeluk mereka.

11Kata Israel kepada Yusuf, “Aku tidak menyangka aku akan melihat wajahmu lagi, tetapi kini Allah malah mengizinkan aku melihat keturunanmu.”

12Yusuf menarik mereka dari celah lutut Yakub, lalu dia bersujud memberi hormat.

13Lalu Yusuf memegang kedua-duanya. Efraim dipegang dengan tangan kanannya di sebelah kiri Israel, dan Manasye dipegang dengan tangan kirinya di sebelah kanan Israel. Lalu dia mendekatkan mereka dengan Yakub.

14Tetapi Israel menghulurkan tangan kanannya dan meletakkannya di atas kepala Efraim, anak yang bongsu, dan tangan kirinya di atas kepala Manasye. Dia sengaja menyilangkan tangannya meskipun Manasye anak yang sulung.

15Lalu dia mendoakan keberkatan bagi Yusuf, katanya, “Semoga Allah, yang di hadirat-Nya para bapa pendahuluku, Abraham dan Ishak, menjalani hidup mereka, Allah yang telah menjadi gembalaku sepanjang hidupku sampai hari ini,

16Malaikat yang telah menebus aku daripada segala yang jahat, memberkati para anak muda ini. Semoga namaku dan nama para bapa pendahuluku, Abraham dan Ishak, disebut-sebut oleh mereka. Semoga mereka bertambah ramai di bumi ini.”

17Yusuf yang terlihat bahawa ayahnya meletakkan tangan kanannya di atas kepala Efraim, menganggap hal itu tidak baik. Lalu dia memegang tangan ayahnya untuk memindahkannya dari atas kepala Efraim ke atas kepala Manasye.

18Kata Yusuf kepada ayahnya, “Janganlah begitu, ayah, kerana Manasye inilah yang sulung. Letakkanlah tangan kanan ayah ke atas kepalanya.”

19Tetapi ayahnya menolak dan berkata, “Aku tahu, anakku, aku tahu. Dia juga akan kelak menjadi sebuah bangsa, dan dia juga akan menjadi besar. Meskipun begitu, adiknya akan menjadi lebih besar daripadanya dan keturunannya akan menjadi segolongan bangsa.”

20Lalu dia mendoakan keberkatan bagi mereka pada hari itu juga, katanya, “Dengan menyebut namamulah orang Israel akan saling memohonkan berkat, sedemikian, ‘Semoga Allah menjadikan kamu seperti Efraim dan seperti Manasye!’ ” Demikianlah Yakub menempatkan Efraim lebih dahulu daripada Manasye.

21Kemudian Israel berkata kepada Yusuf, “Ketahuilah, ajalku hampir tiba, tetapi Allah akan menyertai kamu dan membawa kamu kembali ke negeri nenek moyangmu.

22Untukmu kuberikan satu bahagian lebih besar daripada bahagian para saudaramu, iaitu lereng gunung yang telah kurebut daripada tangan bani Amori dengan pedangku dan panahku.”


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Kejadian 48 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel