Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Keluaran 13 >> 

Pentahbisan anak sulung dan Perayaan Roti Tidak Beragi

1TUHAN berfirman kepada Musa demikian,

2“Tahbiskanlah untuk-Ku semua anak sulung. Semua yang lahir pertama daripada rahim dalam kalangan orang Israel, baik manusia mahupun haiwan, Akulah pemiliknya.”

3Lalu berpesanlah Musa kepada orang Israel, “Peringatilah hari ini iaitu hari apabila kamu keluar dari Mesir, dari tempat perhambaan, kerana dengan kuasa tangan-Nya TUHAN telah membawa kamu keluar dari sana maka sesuatu apa-apa pun yang beragi tidak boleh kamu makan.

4Pada hari ini, dalam bulan Abib, kamu keluar.

5Kelak apabila TUHAN telah membawa kamu masuk ke negeri bani Kanaan, bani Het, bani Amori, bani Hewi, dan bani Yebus – negeri yang telah Dia janjikan dengan bersumpah kepada nenek moyangmu untuk dikurniakan kepadamu, iaitu negeri yang berlimpah-limpah susu dan madu – maka kamu harus melaksanakan ibadat ini pada bulan ini juga.

6Hendaklah kamu makan roti yang tidak beragi selama tujuh hari, dan pada hari ketujuh kamu harus mengadakan perayaan bagi TUHAN.

7Makanlah roti yang tidak beragi selama tujuh hari itu. Sesuatu yang beragi tidak boleh terlihat dalam kalangan kamu, dan begitu juga tidak boleh terlihat di mana-mana pun di seluruh daerahmu.

8Pada hari itu kamu harus memberitahu anak-anak lelakimu demikian, ‘Ibadat ini dilakukan untuk memperingati apa yang telah dilakukan TUHAN bagiku ketika aku keluar dari Mesir.’

9Perayaan itu akan menjadi satu peringatan bagimu – seperti tanda pada tanganmu dan peringatan pada dahimu – supaya hukum TUHAN ada di bibirmu, kerana TUHAN telah membawa kamu keluar dari Mesir dengan tangan yang kuat.

10Oleh yang demikian, patuhilah sentiasa ketetapan ini pada waktu yang sudah ditentukan, tahun demi tahun.

11Nanti, apabila TUHAN sudah membawa kamu masuk ke negeri orang Kanaan, seperti yang telah dijanjikan-Nya dengan bersumpah kepada nenek moyangmu, dan apabila negeri itu sudah dikurniakan-Nya kepadamu,

12maka kamu harus mentahbiskan untuk TUHAN semua yang lahir pertama daripada rahim. Semua yang lahir pertama daripada binatang yang kaupunyai, iaitu yang jantan, ialah milik TUHAN.

13Semua anak keldai yang lahir pertama harus kamu tebus dengan seekor anak domba. Jika kamu tidak menebusnya, maka kamu harus mematahkan lehernya. Semua anak sulung manusia antara anak-anak lelakimu harus kamu tebus.

14Nanti, pada kemudian hari kelak anakmu bertanya kepadamu, ‘Apakah ertinya ini?’ maka kamu harus mengatakan kepadanya, ‘Dengan kekuatan tangan-Nya, TUHAN telah membawa kami keluar dari Mesir, dari tempat perhambaan.

15Pada waktu Firaun berkeras hati enggan mengizinkan kami pergi, TUHAN menamatkan usia semua anak sulung di Tanah Mesir, daripada anak sulung manusia sampai anak sulung haiwan. Itulah sebabnya aku mempersembahkan kepada TUHAN semua binatang jantan yang lahir pertama daripada rahim, sedangkan semua anak sulung antara anak lelakiku pun kutebus.’

16Hal itu harus menjadi tanda pada tanganmu dan menjadi lambang di dahimu, kerana dengan kekuatan tangan-Nya TUHAN telah membawa kita keluar dari Mesir.”

Tiang awan dan tiang api

17Setelah Firaun mengizinkan bangsa itu pergi, Allah tidak memimpin mereka melalui jalan ke negeri orang Filistin meskipun itu jalan terdekat, kerana Allah berfirman, “Jangan-jangan bangsa ini menyesal apabila mereka menghadapi peperangan, lalu kembali ke Mesir.”

18Jadi, Allah membawa bangsa itu berputar melalui jalan di gurun yang menuju ke Laut Merah. Orang Israel keluar dari Tanah Mesir dengan bersenjata lengkap.

19Musa membawa tulang-tulang Yusuf, kerana Yusuf telah meminta orang Israel sungguh-sungguh bersumpah, katanya, “Allah pasti akan memperhatikan kamu. Pada waktu itu kamu harus membawa tulang-tulangku dari sini.”

20Mereka berangkat dari Sukot lalu berkhemah di Etam, di tepi gurun.

21TUHAN hadir di hadapan mereka. Pada siang hari Dia memimpin mereka dalam perjalanan dengan tiang awan, dan pada malam hari Dia menerangi mereka dengan tiang api, sehingga mereka dapat berjalan tidak kira pada hari siang ataupun malam.

22Pada siang harinya tiang awan tidak berganjak dari hadapan umat itu, demikian pula dengan tiang api pada malam harinya.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Keluaran 13 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel