Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Lukas 11 >> 

Pengajaran Yesus tentang doa

1Yesus berdoa di suatu tempat dan setelah Dia berhenti, seorang daripada murid-Nya berkata, “Tuhan, ajarlah kami berdoa seperti Yohanes mengajar murid-muridnya.”

2Yesus berkata kepada mereka, “Apabila kamu berdoa, katakanlah: ‘Ya Bapa, Sucilah Nama-Mu; Datanglah kerajaan-Mu;

3Berilah kami makanan setiap hari;

4Ampunkanlah dosa-dosa kami, sebagaimana kami mengampuni setiap orang yang bersalah terhadap kami; janganlah biarkan kami tergoda.’ ”

5Yesus meneruskan kata-Nya, “Siapakah antara kamu yang akan pergi kepada sahabatnya pada lewat malam lalu berkata kepadanya, ‘Hai sahabat, pinjamilah aku tiga buku roti

6kerana seorang sahabatku telah singgah di rumahku dalam perjalanannya dan aku tiada makanan apa-apa untuk dihidangkan.’

7Sahabat itu menjawab dari dalam rumahnya, ‘Janganlah ganggu aku kerana pintu sudah dikunci dan kami semua telah pun masuk tidur. Aku tidak dapat bangun dan memberikan apa-apa.’ ”

8Yesus berkata, “Aku berkata kepadamu bahawa sungguhpun, dia tidak mahu bangun memberikan pinjaman itu kepadamu kerana kamu sahabatnya, tetapi dia akan bangun juga dan memberikan pinjaman seberapa banyak yang kamu perlukan kalau kamu tidak segan untuk terus meminta daripadanya.

9Oleh itu, Aku berkata kepadamu: Mintalah, dan kamu akan menerimanya; carilah, dan kamu akan mendapatnya; ketuklah pintu, dan pintu akan dibuka untukmu.

10Setiap orang yang meminta akan menerima, setiap orang yang mencari akan mendapat; dan setiap orang yang mengetuk, pintu akan dibuka untuknya.

11Bapa yang manakah antara kamu akan memberikan ular kepada anaknya yang meminta ikan,

12atau memberikan kala jengking kalau dipintanya telur?

13Kamu yang berdosa pun tahu memberikan yang baik kepada anakmu. Lebih-lebih lagi Bapamu yang di syurga: Dia akan memberikan Roh Kudus kepada mereka yang meminta daripada-Nya!”

Yesus dan Beelzebul

14Yesus menghalau roh iblis daripada seorang yang bisu. Setelah roh itu keluar, orang bisu itu pun mula bercakap. Orang ramai pun tercengang.

15Tetapi ada orang yang berkata, “Dia menghalau roh-roh iblis dengan kuasa Beelzebul, ketua roh iblis.”

16Orang lain menduga-Nya dengan meminta suatu tanda dari syurga.

17Yesus mengetahui isi hati mereka lalu berkata, “Kerajaan yang berpecah belah tidak akan tahan lama, dan keluarga yang berpecah belah akan hancur.

18Jika Iblis berpecah belah sesama sendiri, bagaimanakah kerajaannya dapat bertahan? Kamu berkata bahawa Aku menghalau roh-roh iblis dengan kuasa Beelzebul.

19Tetapi jika Aku menghalau roh-roh iblis dengan kuasa Beelzebul, maka dengan kuasa siapakah pula pengikut-pengikutmu menghalau roh-roh iblis? Oleh itu, merekalah yang akan menjadi hakimmu.

20Tetapi jika Aku menghalau roh-roh iblis dengan kuasa Allah, maka sesungguhnya kerajaan Allah sudah bertapak dalam kalanganmu.

21Apabila seorang yang gagah dan bersenjata lengkap mengawal rumahnya, harta bendanya selamat;

22tetapi apabila seorang yang lebih gagah menyerang dan mengalahkannya, yang lebih gagah itu akan merampas segala senjata yang diperlukan oleh tuan rumah itu lalu membahagikan harta yang dirampasnya.

23“Orang yang tidak berpihak kepada-Ku menentang-Ku; dan orang yang tidak mengumpulkan bersama-Ku mencerai-beraikan.”

Roh jahat kembali

24“Apabila roh jahat keluar daripada seseorang, roh itu akan menjelajahi kawasan yang tandus untuk mencari tempat berehat. Sekiranya tempat itu tidak ditemukannya, roh itu berkata, ‘Aku akan pulang ke rumah yang telah kutinggalkan.’

25Roh itu pun pulang dan mendapati rumah itu bersih dan kemas.

26Roh itu lalu pergi memanggil tujuh roh lain yang lebih durjana daripadanya. Semuanya memasuki tubuh orang itu dan menetap di situ. Akhirnya keadaan orang itu lebih teruk daripada dahulu.”

Kebahagiaan yang sejati

27Setelah Yesus berkata demikian, seorang perempuan antara orang ramai itu berkata, “Diberkatilah perempuan yang melahirkan dan menyusui Engkau.”

28Tetapi Yesus berkata, “Bahkan lebih diberkati lagi orang yang mendengar firman Allah dan mematuhinya.”

Meminta mukjizat dilakukan

29Semasa orang ramai mengerumuni Yesus, Dia berkata, “Betapa durjananya orang zaman ini! Mereka meminta tanda mukjizat daripada Allah tetapi satu tanda pun tidak akan ditunjukkan kecuali tanda Yunus

30kerana seperti Yunus telah menjadi tanda kepada orang Niniwe, demikian juga Anak Manusia menjadi tanda kepada orang zaman ini.

31Pada hari penghakiman, Ratu Syeba dari Selatan akan bangkit bersama orang dari zaman ini dan menuduh mereka pula, kerana dia telah datang dari hujung bumi untuk mendengar hikmah Raja Salomo; dan sekarang di sini ada yang lebih besar daripada Raja Salomo.

32Pada hari penghakiman, orang Niniwe akan bangkit bersama orang zaman ini dan menuduhnya pula kerana orang Niniwe itu bertaubat apabila mendengar perkhabaran Yunus; dan sekarang di sini ada yang lebih besar daripada Yunus.”

Pelita bagi tubuh

33“Tiada seorang pun yang memasang pelita lalu menyorokkannya di tempat tersembunyi atau di bawah pasu. Sebaliknya, dia meletakkannya di atas kaki pelita supaya orang yang masuk dapat melihat cahayanya.

34Matamu ialah pelita tubuhmu. Jika matamu terang, seluruh tubuhmu penuh dengan cahaya. Tetapi jika matamu kabur, seluruh tubuhmu pun menjadi gelap.

35Oleh itu, berjaga-jagalah supaya cahaya dalammu itu tidak menjadi gelap.

36Jika seluruh tubuhmu itu terang tanpa sebarang bahagian yang gelap, seluruh tubuhmu akan terang-benderang seperti sebuah pelita menerangi kamu dengan cahayanya.”

Yesus mengecam orang Farisi dan ahli Taurat

37Setelah Yesus habis bercakap, seorang Farisi menjemput Dia makan di rumahnya. Yesus pun pergi lalu duduk bertelekan di meja.

38Orang Farisi itu hairan apabila melihat Yesus tidak membasuh tangan-Nya sebelum makan.

39Oleh itu, Tuhan berkata kepadanya, “Kamu orang Farisi mencuci bahagian luar pinggan mangkuk, tetapi kamu penuh dengan ketamakan dan kezaliman dalam hatimu.

40Hai orang yang bodoh! Bukankah Dia yang menjadikan bahagian luar juga menjadikan bahagian dalam?

41Berikanlah makanan yang ada di dalam pinggan mangkuk itu kepada orang miskin dan segala-galanya akan menjadi bersih bagimu.

42Malangnya kamu, orang Farisi! Kamu membayar sepersepuluh daripada selasih, inggu dan herba lain kepada Allah, tetapi kamu mengabaikan keadilan dan kasih kepada Allah. Kamu haruslah membayar sepersepuluh itu tanpa mengabaikan perkara-perkara yang lain.

43Malangnya kamu orang Farisi! Kamu suka duduk di kerusi khas di saumaah dan diberi salam hormat di pasar.

44Malangnya kamu! Kamu umpama kubur-kubur yang tidak bernisan, yang dipijak-pijak tanpa disedari oleh orang yang berjalan di atasnya.”

45Seorang daripada ahli Taurat berkata kepada Yesus, “Guru menghina kami juga apabila Guru berkata sedemikian.”

46Yesus berkata, “Malangnya kamu ahli-ahli Taurat, kerana kamu meletakkan beban yang berat ke atas bahu orang lain, tetapi kamu sendiri tidak menghulurkan satu jari pun untuk menolong mereka memikul beban itu.

47Malangnya kamu! Kamu membina makam untuk nabi-nabi yang telah dibunuh oleh nenek moyangmu.

48Oleh itu, kamu menyetujui perbuatan nenek moyangmu itu; kerana mereka telah membunuh nabi-nabi itu tetapi kamu membina makam mereka pula.

49Dengan itu, kebijaksanaan Allah telah mengatakan, ‘Aku mengutus nabi-nabi dan rasul-rasul kepada mereka, yang sesetengahnya akan dibunuh atau dianiayai oleh mereka.’

50Jadi, orang zaman ini akan dihukum atas pembunuhan semua nabi sejak dunia dicipta,

51iaitu dari pembunuhan Habel hingga pembunuhan Zakharia di antara mazbah dengan rumah ibadat. Ya, Aku berkata kepadamu bahawa orang zaman ini akan dihukum atas pembunuhan semua nabi itu.

52Malangnya kamu, ahli-ahli Taurat! Kunci ilmu telah kamu ambil; kamu sendiri tidak mahu masuk tetapi kamu menghalang orang yang memasukinya.”

53Setelah Yesus keluar dari rumah itu, ahli-ahli Taurat dan orang Farisi mula mengecam Dia. Mereka menanya-Nya tentang banyak perkara,

54dan cuba memerangkap Dia dengan mencari kesalahan dalam sesuatu yang dikatakan-Nya.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Lukas 11 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel