Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Mazmur 105 >> 

1Bersyukurlah kepada TUHAN, serulah nama-Nya; beritahulah bangsa-bangsa tentang perbuatan-Nya.

2Menyanyilah untuk-Nya, nyanyikan mazmur untuk-Nya; katakanlah segala hasil kerja-Nya yang menakjubkan.

3Muliakanlah nama-Nya yang suci; biarlah hati mereka sukacita, mereka yang mencari TUHAN.

4Carilah TUHAN dan kekuatan-Nya; carilah wajah-Nya selama-lamanya.

5Ingatlah perbuatan-Nya yang menakjubkan, mukjizat-Nya, dan hukum-hukum yang difirmankan-Nya,

6Wahai benih Abraham hamba-Nya, kamu anak cucu Yakub, orang pilihan-Nya.

7Dia TUHAN Allah kita; hukum-hukum-Nya di seluruh bumi.

8Dia ingat akan perjanjian-Nya selama-lamanya, firman yang diperintahkan-Nya, bagi seribu keturunan,

9perjanjian yang telah dibuat-Nya dengan Abraham, dan sumpah-Nya kepada Ishak.

10Dan mengesahkannya kepada Yakub sebagai ketetapan, kepada Israel sebagai perjanjian yang kekal selama-lamanya:

11“Kepadamu Aku akan memberi Tanah Kanaan sebagai bahagian warisanmu.”

12Ketika mereka hanya sebilangan kecil, cuma segelintir, dan orang asing di situ,

13apabila mereka pergi daripada satu bangsa kepada satu bangsa, daripada satu kerajaan kepada yang lain.

14Dia tidak membenarkan sesiapa pun menyakiti mereka; ya, Dia memarahi raja-raja kerana mereka:

15“Jangan sentuh umat yang Kuurapi; dan jangan sakiti nabi-nabi-Ku.”

16Dia juga mengadakan kebuluran di tanah itu, Dia memusnahkan semua bekalan makanan;

17Dia menghantar kepada mereka seorang bernama Yusuf – yang telah dijual sebagai hamba.

18Mereka menyakitkan kakinya dengan belenggu, dan mengikatnya dengan rantai besar,

19hingga sampai masa terjadi apa yang telah dikatakan-Nya, dan firman TUHAN membuktikan dia benar.

20Raja menghantar orang untuk mengeluarkannya dari penjara, pemerintah bangsa itu membebaskannya.

21Dia menjadikan Yusuf ketua rumahnya, dan penguasa segala miliknya,

22untuk mengarahkan putera-puteranya sekehendak hatinya dan mengajarkan kebijaksanaan kepada para tua-tuanya.

23Kemudian Israel datang ke Mesir; dan Yakub tinggal di tanah asing Ham.

24Lalu TUHAN menambah umat-Nya dengan ramainya; dan menjadikan mereka lebih perkasa daripada musuh mereka.

25Dia memalingkan hati mereka supaya membenci umat-Nya, memperdaya hamba-hamba-Nya.

26Maka Dia menghantar hamba-Nya Musa, dan Harun yang telah dipilih-Nya.

27Mereka menunjukkan tanda-tanda-Nya dalam kalangan mereka, dan melakukan mukjizat di tanah Ham.

28Kemudian Dia menghantar kegelapan menyelubungi segala-galanya – kerana mereka memberontak terhadap firman-Nya.

29Dia menukarkan perairan mereka menjadi darah, dan membunuh ikan mereka.

30Tanah mereka dipenuhi katak, sampai ke bilik istana raja-raja mereka.

31Dia berfirman, maka datanglah lalat yang banyak, dan agas di seluruh wilayah mereka.

32Dia mengubah hujan menjadi hujan batu, dan mencurahkan api bernyala-nyala di tanah mereka.

33Dia juga menumbangkan pokok anggur dan pokok ara serta menghancurkan pokok-pokok di wilayah mereka.

34Dia berfirman, maka datanglah belalang, belalang muda yang tidak terkira banyaknya;

35yang memakan semua tanaman di tanah mereka, dan buah-buahan di kawasan mereka.

36Dia juga membunuh semua anak lelaki sulung di tanah mereka, yang pertama daripada seluruh kekuatan mereka.

37Dia membawa umat-Nya keluar dengan perak dan emas, dan tiada yang lemah antara suku-suku-Nya.

38Apabila mereka pergi orang Mesir bersukacita, kerana takut akan mereka.

39Dia memayungi umat-Nya dengan awan untuk berteduh, dan memberikan api untuk menerangi mereka pada waktu malam.

40Mereka memohon, lalu Dia membawakan burung puyuh dan mengenyangkan mereka dengan roti syurga.

41Dia membukakan batu pejal, maka air terpancar; lalu mengalir di tempat-tempat gersang seperti sungai.

42Kerana Dia ingat akan janji-Nya yang suci dan hamba-Nya Abraham.

43Dia membawa keluar umat-Nya dengan bahagia, kaum pilihan-Nya dengan sorak-sorai kegembiraan;

44Dia memberi kepada mereka tanah orang asing, dan mereka mewarisi usaha bangsa-bangsa lain –

45supaya mereka mematuhi ajaran-ajaran-Nya dan mentaati hukum-hukum-Nya. Pujilah TUHAN!


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Mazmur 105 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel