Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Mazmur 119 >> 

1Diberkatilah orang yang tidak tercela jalannya, yang melangkah menurut hukum TUHAN.

2Diberkatilah mereka yang mematuhi peraturan-Nya, yang mencari-Nya dengan sepenuh hati.

3Mereka juga tidak melakukan dosa; mereka melangkah menurut jalan-Nya.

4Engkau telah memerintahkan kami supaya mematuhi ajaran-ajaran-Mu dengan bersungguh-sungguh.

5Oh, kalaulah cara-caraku ditujukan ke arah mematuhi ketetapan-Mu!

6Maka tidaklah aku malu apabila aku meneliti segala perintah-Mu.

7Aku akan memuji-Mu dengan tulus hati apabila kupelajari hukum-Mu yang benar.

8Aku akan mematuhi ketetapan-Mu; janganlah tinggalkan aku selama-lamanya.

9Bagaimanakah seorang pemuda menyucikan jalannya? Dengan berhati-hati menurut firman-Mu.

10Dengan sepenuh hatiku aku telah mencari-Mu; janganlah biarkan aku menyimpang daripada perintah-perintah-Mu.

11Firman-Mu telah kusimpan baik-baik dalam hatiku supaya aku tidak berdosa terhadap-Mu.

12Terpujilah Engkau, ya TUHAN; ajarlah aku ketetapan-Mu.

13Dengan bibirku telah kuisytiharkan segala hukum yang Kaufirmankan.

14Aku telah bergembira dengan cara peraturan-Mu seperti dengan segala kekayaan.

15Aku akan merenung ajaran-ajaran-Mu dan memikirkan cara-cara-Mu.

16Aku akan menikmati ketetapan-Mu; aku tidak akan melupakan firman-Mu.

17Limpahkanlah kurnia-Mu kepada hamba-Mu; supaya aku dapat hidup dan mematuhi firman-Mu.

18Bukakanlah mataku supaya aku dapat melihat hal-hal yang menakjubkan daripada hukum-Mu.

19Aku orang asing di bumi; janganlah sembunyikan perintah-perintah-Mu daripadaku.

20Jiwaku resah mengingini hukum-hukum-Mu setiap waktu.

21Engkau memarahi orang sombong yang dilaknati, yang menyimpang daripada perintah-perintah-Mu.

22Bebaskan aku daripada celaan dan hinaan, kerana aku telah mematuhi peraturan-Mu.

23Raja-raja juga duduk mengataku, tetapi hamba-Mu merenung ketetapan-Mu.

24Peraturan-Mu juga memberiku nikmat dan bimbingan.

25Jiwaku melekap ke debu; pulihkanlah aku menurut firman-Mu.

26Aku telah mengakui gerak-geriku dan Engkau telah menjawabku; ajarlah aku ketetapan-Mu.

27Biarlah aku mengerti jalan ajaran-ajaran-Mu; supaya aku merenung perbuatan-Mu yang menakjubkan.

28Jiwaku lebur ditekan kemuraman; teguhkanlah aku menurut firman-Mu.

29Bebaskan aku daripada jalan dusta; dan berilah aku hukum-Mu dengan limpah kasih kurnia.

30Aku telah memilih jalan kebenaran; hukum-hukum-Mu telah kuletakkan di hadapanku.

31Aku berpegang teguh pada peraturan-Mu; Ya TUHAN, jangan malukan aku.

32Aku akan terus-menerus mematuhi perintah-perintah-Mu, kerana Engkau melapangkan hatiku.

33Ajarlah aku, ya TUHAN, jalan ketetapan-Mu; aku akan mematuhinya hingga ke akhir.

34Berilah aku pengertian, aku akan mematuhi hukum-Mu; sesungguhnya, aku akan mentaatinya dengan sepenuh hatiku.

35Biarlah aku melangkah di jalan perintah-perintah-Mu, kerana aku bahagia dengannya.

36Cenderungkanlah hatiku kepada peraturan-Mu, bukan kepada ketamakan.

37Alihkanlah mataku daripada memandang segala yang tidak berfaedah; dan pulihkan aku di jalan-Mu.

38Tegakkan firman-Mu bagi hamba-Mu, yang sepenuh hari takut kepada-Mu.

39Palingkan daripadaku celaan yang kutakuti, kerana hukum-hukum-Mu baik.

40Sesungguhnya, aku merindui ajaran-ajaran-Mu! Pulihkan aku dalam perbenaran-Mu.

41Biarlah kasih setia-Mu juga datang kepadaku, ya TUHAN, penyelamatan-Mu menurut janji-Mu;

42dengan demikian aku akan mempunyai jawapan untuk orang yang mencelaku, kerana kusandarkan kepercayaan kepada firman-Mu.

43Janganlah singkirkan kata benar daripada mulutku, kerana aku berharap kepada hukum-Mu.

44Dengan demikian aku akan tetap mematuhi hukum-Mu, selama-lamanya.

45Dan aku akan melangkah dengan bebas, kerana aku mencari ajaran-ajaran-Mu.

46Aku akan berbicara tentang peraturan-Mu juga di hadapan raja-raja dan tidak akan malu,

47dan aku akan berbahagia dengan perintah-perintah-Mu yang kukasihi.

48Aku mengangkat tanganku kepada perintah-perintah-Mu yang dikasihi, dan aku akan merenung ketetapan-Mu.

49Ingatlah firman-Mu kepada hamba-Mu, dengannya Engkau telah memberiku harapan.

50Inilah yang melipurkan aku dalam kesakitanku: Firman-Mu memberiku hidup.

51Orang yang sombong mentertawakan aku, namun aku tidak berpaling daripada hukum-Mu.

52Aku ingat akan hukum-hukum-Mu dahulu, Ya TUHAN, dan aku melipurkan diriku.

53Kemarahan telah memenuhiku kerana orang zalim, yang meninggalkan hukum-Mu.

54Ketetapan-Mu telah menjadi nyanyianku dalam perjalanan ibadatku.

55Aku ingat akan nama-Mu pada waktu malam, Ya TUHAN, dan aku mematuhi hukum-Mu.

56Ini telah menjadi milikku: kerana aku telah mematuhi ajaran-ajaran-Mu.

57Engkaulah yang ada padaku, ya TUHAN; aku telah berjanji untuk mematuhi firman-Mu.

58Aku memohon keredaan-Mu dengan sepenuh hatiku; kasihanilah aku menurut firman-Mu.

59Aku memikirkan gerak-geriku lalu aku melangkah ke arah peraturan-Mu.

60Aku bertindak segera, aku tidak berlengah-lengah mematuhi perintah-perintah-Mu.

61Tali orang zalim telah mengikatku, tetapi aku tidak melupakan hukum-Mu.

62Pada tengah malam aku akan bangun untuk mengucap syukur kepada-Mu kerana hukum-hukum-Mu yang benar.

63Aku teman kepada semua yang takut kepada-Mu, dan mereka yang mematuhi ajaran-ajaran-Mu.

64Bumi ini, ya TUHAN, penuh dengan kasih-Mu; ajarlah aku ketetapan-Mu.

65Engkau telah memperlakukan hamba-Mu dengan baik, Ya TUHAN, menurut firman-Mu.

66Ajarlah aku pengetahuan dan pertimbangan yang baik, kerana aku percaya kepada perintah-perintah-Mu.

67Sebelum aku ditimpa kesusahan, aku menyeleweng, tetapi sekarang aku mematuhi firman-Mu.

68Engkau baik, dan berbuat baik; ajarlah aku ketetapan-Mu.

69Orang yang sombong telah berbuat dusta tentangku, tetapi aku akan mematuhi ajaran-ajaran-Mu dengan sepenuh hatiku.

70Hati mereka setebal lemak, tetapi aku bahagia dengan hukum-Mu.

71Kesusahan yang menimpaku baik bagiku kerananya aku mempelajari ketetapan-Mu.

72Hukum yang Kaufirmankan lebih baik bagiku daripada ribuan keping wang emas dan perak.

73Tangan-Mu telah menciptaku dan membentukku; berilah aku pengertian supaya aku dapat mempelajari perintah-perintah-Mu.

74Mereka yang takut kepada-Mu akan bersukacita apabila melihatku, kerana aku telah menyandarkan harapan kepada firman-Mu.

75Aku tahu, ya TUHAN, bahawa hukum-hukum-Mu benar, dan kerana kesetiaan-Mu Engkau telah menimpakan kesusahan ke atasku.

76Aku berdoa, biarlah kasih setia-Mu melipurkan aku, menurut janji-Mu kepada hamba-Mu.

77Limpahkanlah belas kasih-Mu kepadaku supaya aku dapat hidup, kerana hukum-Mu bahagiaku.

78Biarlah orang yang sombong menanggung malu kerana mereka telah menzalimiku dengan fitnah; tetapi aku akan merenung ajaran-ajaran-Mu.

79Biarlah mereka yang takut kepada-Mu berpaling kepadaku, mereka yang mengetahui peraturan-Mu.

80Biarlah hatiku tidak bercela terhadap ketetapan-Mu, supaya aku tidak menanggung malu.

81Jiwaku lesu merindui penyelamatan-Mu, tetapi kusandarkan harapan kepada firman-Mu.

82Mataku kabur mencari firman-Mu; dan aku berkata, “Bilakah Engkau akan melipurkan aku?”

83Kerana aku telah menjadi seperti kirbat yang diasapi, namun aku tidak melupakan ketetapan-Mu.

84Berapa lamakah hamba-Mu akan menunggu? Bilakah Engkau akan menghukum mereka yang menganiaya aku?

85Orang yang sombong telah menggali lubang untukku, ini tidak menurut hukum-Mu.

86Semua perintah-Mu benar; mereka bersalah menganiaya aku; tolonglah aku.

87Mereka hampir menamatkan riwayatku di bumi ini, tetapi aku tidak meninggalkan ajaran-ajaran-Mu.

88Pulihkan aku dengan kasih sayang-Mu, supaya aku mematuhi peraturan yang Kaufirmankan.

89Untuk selama-lamanya, ya TUHAN; firman-Mu bertapak di syurga.

90Kesetiaan-Mu kekal zaman-berzaman; Engkau mengasaskan bumi dan ia tetap ada.

91Segalanya berterusan hari ini menurut peraturan-Mu, kerana semuanya hamba-Mu.

92Kalaulah tidak kerana hukum-Mu bahagiaku, tentulah aku binasa menanggung penderitaan.

93Aku tidak akan melupakan ajaran-ajaran-Mu selama-lamanya, kerana dengannya Engkau telah memberiku hidup.

94Aku milik-Mu, selamatkanlah aku; kerana aku telah mencari ajaran-ajaran-Mu.

95Orang zalim menantiku untuk memusnahkanku, tetapi aku akan memikirkan peraturan-Mu.

96Aku telah melihat kemuncak segala kesempurnaan; tetapi perintah-Mu maha luas.

97Oh, betapa kucintai hukum-Mu! Aku merenungnya sepanjang hari.

98Engkau, melalui perintah-perintah-Mu, menjadikan aku lebih bijaksana daripada musuhku, kerana perintah-perintah-Mu sentiasa bersamaku.

99Aku mempunyai pengertian yang lebih dalam daripada semua guruku, kerana peraturan-Mu menjadi renunganku.

100Aku mengerti lebih daripada penatuaku, kerana aku mematuhi ajaran-ajaran-Mu.

101Aku telah mengawal kakiku daripada setiap jalan kejahatan supaya aku dapat mematuhi firman-Mu.

102Aku tidak menyimpang daripada hukum-hukum-Mu, kerana Engkau sendiri telah mengajarku.

103Betapa manisnya kata-kata-Mu bagiku, lebih manis daripada madu bagi lidahku!

104Melalui ajaran-ajaran-Mu aku mendapat pengertian; oleh itu, aku membenci setiap jalan yang palsu.

105Firman-Mu lampu bagi kakiku dan cahaya bagi jalanku.

106Aku telah bersumpah dan menegaskan, bahawa aku akan mematuhi hukum-hukum-Mu yang benar.

107Aku menanggung kesusahan yang amat berat; pulihkanlah aku, ya TUHAN, menurut firman-Mu.

108Aku berdoa, terimalah puji-pujianku yang kupersembahkan dengan sepenuh kerelaan, ya TUHAN, dan ajarlah aku hukum-hukum-Mu.

109Nyawaku sentiasa terancam, namun aku tidak melupakan hukum-Mu.

110Orang zalim telah memasang jerat untukku, namun aku tidak menyimpang daripada ajaran-ajaran-Mu.

111Peraturan-Mu telah kuambil sebagai warisan selama-lamanya; kerana ia menggembirakan hatiku.

112Aku telah mencenderungkan hatiku untuk menjalankan ketetapan-Mu selama-lamanya, hingga ke akhir.

113Aku membenci orang yang curang, tetapi aku mencintai hukum-Mu.

114Engkaulah perlindunganku dan perisaiku; aku menyandarkan harapan kepada firman-Mu.

115Pergilah daripadaku, hai orang yang berbuat jahat, kerana aku akan mematuhi perintah-perintah Allahku!

116Teguhkanlah aku menurut firman-Mu, supaya aku dapat hidup; dan jangan biarkan aku malu kerana harapanku.

117Tegakkanlah aku, maka aku akan selamat; dan aku akan sentiasa mentaati ketetapan-Mu.

118Engkau menolak kesemua mereka yang menyimpang daripada ketetapan-Mu, kerana mereka memperdaya dan itu adalah pendustaan.

119Engkau menyingkirkan semua orang zalim di bumi seperti barang tidak berguna; oleh itu, aku mencintai peraturan-Mu.

120Tubuhku gementar kerana takut kepada-Mu; dan aku takut akan penghakiman-Mu.

121Aku telah melakukan keadilan dan kebenaran; janganlah tinggalkan aku di tangan penindasku.

122Jadilah penjamin hamba-Mu; jangan biarkan orang sombong menindasku.

123Mataku kabur mencari penyelamatan-Mu, dan mencari firman-Mu yang benar.

124Perlakukan hamba-Mu berdasarkan kasih setia-Mu dan ajarlah aku ketetapan-Mu.

125Aku hamba-Mu; berilah aku pengertian supaya aku dapat mengetahui peraturan-Mu.

126Sudah sampai masanya Engkau bertindak, ya TUHAN, kerana mereka menganggap hukum-Mu batal.

127Justeru aku mencintai perintah-perintah-Mu lebih daripada emas, ya, daripada emas tulen,

128justeru semua ajaran-Mu tentang semua perkara kuanggap benar, aku membenci setiap jalan yang palsu.

129Peraturan-Mu menakjubkan; oleh itu jiwaku mematuhinya.

130Kedatangan firman-Mu membawa cahaya; memberi pengertian kepada orang yang tulus.

131Aku membuka mulut dan tercungap-cungap, kerana aku merindui perintah-perintah-Mu.

132Pandanglah aku dan kasihanilah aku, sebagaimana yang biasa Kaulakukan kepada mereka yang mencintai nama-Mu.

133Pandulah langkahku dengan firman-Mu; dan jangan biarkan dosa menguasaiku.

134Lepaskan aku daripada penindasan manusia, supaya aku mematuhi ajaran-ajaran-Mu.

135Limpahkanlah sinar wajah-Mu ke atas hamba-Mu dan ajarlah aku ketetapan-Mu.

136Air mataku mengalir laksana sungai, kerana manusia tidak mematuhi hukum-Mu.

137Maha Benar Engkau, ya TUHAN, dan adil semua penghakiman-Mu.

138Peraturan-Mu yang telah Kauperintahkan benar dan sungguh setia.

139Semangatku telah membakar hatiku, kerana musuhku telah melupakan firman-Mu.

140Janji-Mu sudah teruji, dan hamba-Mu mencintainya.

141Aku daif dan dihina, namun aku tidak melupakan ajaran-ajaran-Mu.

142Keadilan-Mu kekal selama-lamanya dan hukum-Mu benar.

143Kesusahan dan kekhuatiran telah menyelubungiku, namun perintah-perintah-Mu bahagiaku.

144Peraturan-Mu benar selama-lamanya; berilah aku pengertian, maka aku akan hidup.

145Aku berseru dengan sepenuh hatiku; dengarlah aku, ya TUHAN, Aku akan mematuhi ketetapan-Mu.

146Aku berseru kepada-Mu; selamatkanlah aku, maka aku akan mematuhi peraturan-Mu.

147Aku bangun sebelum fajar menyingsing, lalu berseru memohon pertolongan; aku menyandarkan harapan kepada firman-Mu.

148Aku bercekang mata sepanjang malam, supaya dapat merenung janji-Mu.

149Dengarlah suaraku dengan kasih-Mu; Ya TUHAN, pulihkanlah hidupku menurut hukum-Mu.

150Mereka yang mengikut jalan kejahatan semakin dekat, mereka telah menjauhi hukum-Mu.

151Namun Engkau dekat, ya TUHAN, dan semua perintah-Mu ialah kebenaran.

152Tentang peraturan-Mu, aku telah tahu dari dahulu bahawa Engkau mengasaskannya untuk selama-lamanya.

153Pertimbangkanlah kesakitanku dan lepaskanlah aku, kerana aku tidak melupakan hukum-Mu.

154Belalah dan tebuslah aku; pulihkanlah hidupku menurut janji-Mu.

155Penyelamatan jauh daripada orang zalim, kerana mereka tidak mencari ketetapan-Mu.

156Sungguh limpah belas kasih-Mu, ya TUHAN; pulihkanlah hidupku menurut hukum-hukum-Mu.

157Besar bilangan penganiayaku dan musuhku, namun aku tidak berpaling daripada peraturan-Mu.

158Aku melihat orang yang khianat dan aku berasa meluat, kerana mereka tidak mematuhi firman-Mu.

159Pertimbangkanlah betapa aku mencintai ajaran-ajaran-Mu; pulihkanlah hidupku, ya TUHAN, dengan kasih-Mu.

160Seluruh firman-Mu benar; dan seluruh hukum-Mu yang benar kekal selama-lamanya.

161Raja-raja menganiaya aku tanpa sebab, tetapi hatiku mengagumi firman-Mu.

162Aku bergembira dengan janji-Mu umpama orang yang menjumpai harta yang amat bernilai.

163Aku benci dan jijik kepada pendustaan tetapi aku mencintai hukum-Mu.

164Tujuh kali sehari aku memuji-Mu kerana hukum-hukum-Mu yang benar.

165Sungguh besar kesejahteraan mereka yang mencintai hukum-Mu, dan tiada suatu pun menyebabkan mereka tergelincir.

166Ya, TUHAN, aku mengharapkan penyelamatan-Mu, dan aku menjalankan perintah-perintah-Mu.

167Jiwaku mematuhi peraturan-Mu, dan aku sungguh mencintainya.

168Aku mematuhi ajaran-ajaran-Mu dan peraturan-Mu, kerana semua langkahku terbentang di hadapan-Mu.

169Biarlah seruanku datang ke hadirat-Mu, ya TUHAN; berilah aku pengertian menurut firman-Mu.

170Biarlah permohonanku datang ke hadirat-Mu; selamatkanlah aku menurut janji-Mu.

171Bibirku akan melafazkan pujian, kerana Engkau mengajarku ketetapan-Mu.

172Lidahku akan bertutur tentang firman-Mu, kerana semua perintah-Mu ialah kebenaran.

173Biarlah tangan-Mu menolongku, kerana aku telah memilih ajaran-ajaran-Mu.

174Aku merindui penyelamatan-Mu, ya TUHAN, dan hukum-Mu kebahagiaanku.

175Biarlah jiwaku hidup, maka ia akan memuji-Mu, dan biarlah hukum-hukum-Mu menolongku.

176Aku telah tersesat seperti domba yang hilang. Carilah hamba-Mu, kerana aku tidak melupakan perintah-perintah-Mu.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Mazmur 119 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel