1Pujilah TUHAN! Kerana menyanyikan pujian kepada Allah kita itu baik, serta menyenangkan, dan pujian itu indah!
2TUHAN membina semula Yerusalem; Dia mengumpulkan umat Israel yang tersingkir.
3Dia menyembuhkan mereka yang patah hati dan membalut luka mereka.
4Dia menghitung bintang-bintang Dia memanggil setiap satu dengan namanya.
5Maha Besar Tuhan kita dan Maha Kuasa; pengertian-Nya tidak ada batasan.
6TUHAN mengangkat tinggi mereka yang rendah hati; Dia menghumbankan orang zalim ke tanah.
7Menyanyilah kepada TUHAN dengan mengucapkan kesyukuran; nyanyikan pujian dengan iringan kecapi kepada Allah kita.
8Dia melitupi langit dengan awan; Dia menyediakan hujan untuk bumi; Dia menumbuhkan rumput di atas gunung.
9Dia memberi makanan kepada haiwan dan kepada anak-anak gagak yang menciap.
10Dia tidak menikmati kekuatan kuda, Dia tidak berkenan akan manusia kerana kegagahannya;
11TUHAN meredai mereka yang takut kepada-Nya, mereka yang berharapkan kasih setia-Nya.
12Sanjunglah TUHAN, wahai Yerusalem; pujilah Allahmu, wahai Sion,
13kerana Dia telah mengukuhkan palang-palang pintu pagarmu; Dia telah memberkati anak-anak di dalammu.
14Dia menjadikan sempadan-sempadanmu aman dan memenuhimu dengan gandum terbaik.
15Dia menghantarkan perintah-Nya ke bumi; firman-Nya sampai dalam seketika.
16Dia memberi salji seperti bulu domba; Dia menaburkan air beku seperti abu.
17Dia melemparkan hujan batu-Nya. Siapa yang dapat menghadapi kedinginan-Nya?
18Dia menghantarkan firman-Nya lalu mencairkan semuanya; Dia membuat angin-Nya bertiup dan air mengalir.
19Dia mengisytiharkan firman-Nya kepada Yakub, ketetapan dan hukum-Nya kepada Israel.
20Dia tidak melakukan yang demikian kepada bangsa lain; dan hukum-hukum-Nya tidak diketahui oleh mereka. Pujilah TUHAN!