Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Rut 2 >> 

Rut bertemu dengan Boas

1Di sebelah suaminya, Elimelekh, Naomi mempunyai seorang kaum kerabat bernama Boas yang kaya raya.

2Maka Rut, bani Moab itu, berkata kepada Naomi, “Izinkan aku pergi ke ladang mengutip bulir-bulir barli di belakang orang yang murah hati kepadaku.” Dan jawab Naomi, “Pergilah, anakku.”

3Berangkatlah dia ke ladang lalu mengutip barli di belakang para penuai; dan kebetulan pula, Rut sampai di tempat ladang milik Boas, yang berasal daripada kaum Elimelekh.

4Maka datanglah Boas dari Betlehem lalu berkata kepada para penuai itu, “Semoga TUHAN menyertai kamu.” Jawab mereka kepadanya, “Semoga TUHAN memberkati tuan!”

5Lalu Boas bertanya kepada pekerjanya yang mengawas para penuai, “Pekerja siapakah perempuan ini?”

6Ketua pekerja para penuai itu pun menjawab, “Perempuan bani Moab ini pulang bersama-sama Naomi dari bumi Moab.

7Dan dia meminta, ‘Harap izinkan aku mengutip bulir-bulir barli ini di belakang para penuai.’ Lalu datanglah dia, dan sejak pagi tadi dia terus bekerja sampai sekarang dan hanya sebentar dia berhenti rehat di rumah.”

8Lalu Boas berkata kepada Rut, “Dengarlah baik-baik, anakku! Jangan engkau pergi mengutip bulir-bulir di ladang lain dan jangan engkau pergi dari sini, tetapi tinggal di sini bersama-sama para pekerja perempuanku.

9Tetapkan matamu pada ladang yang sedang dituai dan ikutlah di belakang para penuai itu. Aku juga sudah berpesan agar para pekerja lelaki tidak mengganggu kamu. Jika kamu haus, pergilah ke tempayan dan minumlah air yang dicedok oleh para pekerja itu.”

10Rut segera tunduk dengan mukanya menghadap ke tanah dan berkata kepada Boas, “Mengapa saya menerima ihsan besar sebegini daripada tuan yang prihatin terhadap saya walhal saya seorang asing?”

11Boas menjawab, “Sudah dilaporkan kepadaku dengan lengkap segala sesuatu yang engkau lakukan demi mertuamu susulan kematian suamimu, dan bagaimana kamu meninggalkan ibu bapa dan tanah tumpah darahmu lalu pergi kepada suatu kaum yang tidak kamu kenal sebelum ini.

12Semoga TUHAN membalas jasa baikmu dan semoga kepadamu pahala sepenuhnya dianugerahkan TUHAN, Allah Israel, yang di bawah sayap-Nya kamu datang berlindung.”

13Berkatalah pula Rut, “Saya telah dilayan dengan belas ihsan daripada tuan, kerana tuan telah menenangkan hati saya serta bercakap dengan baik kepada saya walaupun saya bukan salah seorang pekerja perempuan tuan.”

14Ketika waktu makan, berkatalah Boas kepadanya, “Marilah makan daripada hidangan roti ini dan celupkan bahagian rotimu ke dalam cuka ini.” Lalu duduklah Rut di sisi para penuai itu, dan Boas mengunjukkan bertih gandum kepadanya; lalu Rut makanlah sampai kenyang, namun masih ada baki makanannya.

15Apabila dia bangun untuk mengutip lagi, Boas memberikan perintah kepada para pekerjanya, “Biarlah dia mengutip sekalipun di antara berkas-berkas tuaian dan janganlah menghina dia.

16Cabutkan juga sedikit-sedikit daripada gemal-gemal tuaian dan biarkan dikutipnya. Jangan cela dia.”

17Maka Rut mengutip bijirin di ladang sampai petang dan selepas diiriknya hasil kutipannya ada kira-kira satu efa barli.

18Maka dia membawa pulang hasil usahanya ke dalam kota dan Naomi melihat hasil kutipannya. Kemudian Rut mengeluarkan baki makanannya dan memberikannya kepada mertuanya.

19Bertanyalah mertuanya, “Di manakah kamu mengutip hari ini? Di manakah kamu bekerja? Semoga diberkatilah orang yang telah memperhatikan kamu itu!” Rut pun menceritakan kepada mertuanya bahawa dia bekerja dengan seseorang. Katanya, “Hari ini aku bekerja dengan seorang yang namanya Boas.”

20Naomi memberitahu menantunya, “Semoga dia diberkati TUHAN kerana kebaikan-Nya tidak akan meninggalkan baik orang yang hidup mahupun yang telah mati.” Seterusnya Naomi berkata, “Orang itu kaum kerabat kita yang dekat, dan dialah salah seorang penebus kita.”

21Lalu berkata Rut, perempuan Moab itu, “Lagipun dia berkata kepadaku, ‘Hendaklah kamu tetap bersama-sama para pekerjaku sehingga mereka menyelesaikan keseluruhan penuaianku.’ ”

22Berkatalah Naomi kepada Rut, menantunya, “Baik juga anakku keluar bersama-sama para pekerja perempuannya supaya tiada orang di ladang lain kelak mencederakan kamu.”

23Maka Rut berada dekat dengan para pekerja perempuan Boas untuk mengutip bulir-bulir sehingga berakhir musim menuai barli dan musim menuai gandum. Dia juga tinggal dengan mertuanya.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Rut 2 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2021
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran