Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Yeremia 27 >> 

Disuruh memikul kuk Babel

1Pada permulaan pemerintahan Zedekia anak Yosia, raja Yehuda, datanglah firman daripada TUHAN kepada Yeremia.

2Beginilah firman TUHAN kepadaku, “Buatlah tali pengikat dan kuk, lalu pasanglah pada tengkukmu.

3Kemudian kirimlah pesan kepada raja Edom, raja Moab, raja bani Amon, raja Tirus, dan raja Sidon dengan perantaraan para utusan yang datang ke Yerusalem untuk menghadap Zedekia, raja Yehuda.

4Suruhlah orang itu menyatakan kepada tuan mereka, ‘Beginilah firman TUHAN alam semesta, Allah Israel: “Inilah yang harus kamu sampaikan kepada tuan-tuanmu:

5Akulah yang menjadikan bumi serta manusia dan binatang yang ada di atas muka bumi dengan kuasa-Ku yang besar dan lengan-Ku yang terhulur. Aku menyerahkannya kepada orang yang sesuai pada pandangan-Ku.

6Sekarang, Aku menyerahkan seluruh negeri ini ke dalam tangan Nebukadnezar, raja Babel, hamba-Ku itu. Bahkan binatang liar pun telah Kuserahkan supaya takluk kepadanya.

7Segala bangsa akan takluk kepadanya, kepada anaknya, dan kepada cucunya, sampailah tiba waktu negerinya sendiri jatuh. Pada waktu itu, banyak bangsa dan raja besar akan menaklukkannya.

8Jika ada bangsa atau kerajaan yang tidak mahu takluk kepada Nebukadnezar, raja Babel, dan yang tidak mahu merelakan tengkuknya dikenakan kuk raja Babel, maka bangsa itu akan Kuhukum dengan pedang, bencana kebuluran, dan wabak penyakit,” demikianlah firman TUHAN, “sampai Aku menghancurkan mereka dengan perantaraannya.

9Mengenai kamu, jangan dengarkan nabimu, penenungmu, tukang mimpimu, peramalmu, atau tukang sihirmu yang berkata kepadamu, ‘Kamu tidak akan takluk kepada raja Babel.’

10Mereka menyampaikan nubuat dusta kepadamu sehingga kamu akan dijauhkan dari tanahmu. Aku akan menghalau kamu sehingga kamu binasa.

11Tetapi bangsa yang mahu merelakan tengkuknya dikenakan kuk raja Babel dan takluk kepadanya akan Kubiarkan tinggal di tanahnya sendiri, demikianlah firman TUHAN. Mereka akan menggarapnya dan tinggal di situ.” ’ ”

12Kepada Zedekia, raja Yehuda, kusampaikan pula segala firman itu. Kataku, “Relakanlah tengkukmu dikenakan kuk raja Babel. Takluklah kepadanya dan kepada bangsanya supaya kamu hidup.

13Mengapa engkau dan rakyatmu harus mati oleh pedang, bencana kebuluran, dan wabak penyakit seperti yang difirmankan TUHAN tentang bangsa yang tidak mahu takluk kepada raja Babel?

14Jangan dengarkan perkataan para nabi yang berkata kepadamu, ‘Kamu tidak akan takluk kepada raja Babel,’ kerana mereka menyampaikan nubuat dusta kepadamu.

15‘Aku tidak mengutus mereka,’ demikianlah firman TUHAN, ‘tetapi mereka menyampaikan nubuat dusta atas nama-Ku, sehingga Aku menghalau kamu dan kamu pun binasa bersama-sama para nabi yang menyampaikan nubuat kepadamu itu.’ ”

16Aku pun berbicara kepada para imam dan kepada seluruh rakyat itu demikian, “Beginilah firman TUHAN: Jangan dengarkan perkataan para nabimu yang menyampaikan nubuat kepadamu, ‘Sesungguhnya, segala alat kelengkapan Bait TUHAN akan segera dikembalikan dari Babel.’ Mereka menyampaikan nubuat dusta kepadamu.

17Jangan dengarkan mereka. Takluklah kepada raja Babel, supaya kamu hidup. Mengapa kota ini harus menjadi reruntuhan?

18Jika mereka memang nabi dan jika firman TUHAN ada pada mereka, biarlah mereka bermohon kepada TUHAN alam semesta, supaya saki-baki alat kelengkapan yang masih ada di Bait TUHAN, di istana raja Yehuda, dan di Yerusalem tidak dibawa pergi ke Babel.

19Kerana beginilah firman TUHAN alam semesta, mengenai tiang-tiang, kolam, alas-alasnya, serta alat kelengkapan selebihnya yang tersisa di kota ini,

20yang tidak diambil oleh Nebukadnezar, raja Babel, ketika dia membuang Yekhonya anak Yoyakim, raja Yehuda, dari Yerusalem ke Babel berserta semua bangsawan Yehuda dan Yerusalem –

21sungguh, beginilah firman TUHAN alam semesta, Allah Israel, mengenai kelengkapan – segala saki-baki alat kelengkapan di Bait TUHAN, di istana raja Yehuda, dan di Yerusalem:

22‘Semua itu akan dibawa ke Babel dan akan tinggal di sana sampai hari Aku mendatanginya lagi,’ demikianlah firman TUHAN. ‘Kemudian Aku akan membawa semua itu dan mengembalikannya ke tempat ini.’ ”


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yeremia 27 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel