Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Yoel 2 >> 

Kedatangan hari TUHAN

1“Tiuplah sangkakala di Sion, bunyikanlah penggera di gunung-Ku yang suci!” Biarlah seluruh penduduk negeri gementar, kerana hari TUHAN bakal mendatang, kerana hari itu sudah dekat –

2suatu hari kegelapan dan kekelaman, suatu hari yang berawan dan pekat lantaran bala tentera belalang itu mara seperti kegelapan meliputi pergunungan – belum pernah ada yang sedemikian sejak dahulukala dan tidak akan ada lagi setelahnya sepanjang tahun-tahun turun-temurun.

3Di depan mereka api melahap, di belakang mereka nyala api menghanguskan. Di depan mereka negeri itu seperti Taman Eden, tetapi di belakang mereka gurun yang sunyi sepi. Tiada satu apa-apa pun yang terselamat daripadanya.

4Rupa mereka seperti rupa kuda. Seperti pasukan berkuda, demikianlah mereka berlari.

5Seperti berdegam-degumnya rata di atas puncak-puncak gunung, demikianlah mereka melompat-lompat, seperti gemeretak nyala api yang melahap tunggul jerami, seperti bangsa yang kuat mengatur barisan perang.

6Bangsa-bangsa gementar di hadapan mereka, semua muka berubah menjadi pucat.

7Mereka mara menyerang seperti para kesateria, mereka memanjat tembok seperti para pejuang. Setiap orang menempuh jalannya dan tidak menyimpang daripada jalurnya.

8Mereka tidak dorong-mendorong, masing-masing berkawad mengikut jalannya. Mereka menghambur menerobos senjata musuh, namun barisan mereka tidak terputus.

9Mereka menyerbu ke dalam kota, mereka berlari di atas tembok-tembok. Mereka memanjat ke dalam rumah-rumah, mereka masuk melalui jendela seperti pencuri.

10Bumi gempa di hadapan mereka, langit bergoncang. Matahari dan bulan menggelap, bintang-bintang menghilangkan cahayanya.

11TUHAN memperdengarkan suara-Nya di depan tentera-Nya. Pasukan-Nya besar sekali dan pelaksana firman-Nya kuat. Hari TUHAN itu besar dan sangat hebat, siapakah yang dapat menanggungnya?

Seruan untuk bertaubat

12“Sekarang juga,” demikianlah firman TUHAN, “kembalilah kepada-Ku dengan seluruh hatimu, dengan berpuasa, dengan menangis, dan dengan meratap.”

13Koyakkanlah hatimu, bukan pakaianmu, dan kembalilah kepada TUHAN, Allahmu, kerana Dia pengasih dan penyayang, panjang sabar dan melimpah-ruah kasih-Nya, dan sentiasa mengampuni dan tidak suka menghukum.

14Siapa tahu Dia sudi berpaling dan berbelas kasihan, serta meninggalkan berkat, iaitu persembahan bahan makanan dan persembahan minuman bagi TUHAN, Allahmu.

15Tiuplah nafiri di Sion, laksanakanlah puasa yang suci, adakan perhimpunan jemaah yang suci.

16Kumpulkanlah umat, sucikanlah jemaah itu. Himpunkanlah para tua-tua, kumpulkanlah kanak-kanak bahkan juga anak-anak yang menyusu. Biarlah pengantin lelaki keluar dari biliknya dan pengantin perempuan dari bilik tidurnya.

17Biarlah para imam, iaitu para petugas TUHAN, menangis di antara serambi dengan mazbah, serta berkata, “Ya TUHAN, sayangilah umat-Mu. Janganlah menjadikan harta pusaka-Mu suatu celaan, suatu ibarat di antara bangsa. Mengapakah orang harus berkata antara suku-suku bangsa, ‘Di manakah Allah mereka?’ ”

Belas ihsan TUHAN

18Maka TUHAN menjadi cemburu kerana tanah-Nya lalu berbelas kasihan kepada umat-Nya.

19TUHAN menjawab dan berfirman kepada umat-Nya, “Sesungguhnya, Aku akan mengirimkan kepadamu gandum, air anggur, dan minyak, sehingga kamu akan kenyang dengan semuanya itu. Aku tidak akan lagi menjadikan kamu suatu celaan antara bangsa-bangsa.

20Tentera dari utara itu akan Kujauhkan daripadamu dan akan Kuhalaukan ke tanah yang gersang dan sunyi sepi, barisan depannya ke Laut Timur dan barisan belakangnya ke Laut Barat. Bau busuknya dan bau hanyirnya akan naik, sebab dia telah melakukan hal-hal yang besar.

21Jangan takut, wahai tanah, bergembiralah dan bersukacitalah, kerana TUHAN telah melakukan hal yang besar.

22Jangan takut, wahai binatang-binatang liar, kerana padang-padang rumput di gurun telah bersemi. Pokok menghasilkan buahnya, pokok ara dan pokok anggur memberikan kekayaannya.

23Wahai bani Sion, bergembiralah dan bersukacitalah kerana TUHAN, Allahmu, kerana Dia mengurniakan kepadamu hujan awal musim dengan adilnya. Dia menurunkan hujan bagimu, hujan awal musim ataupun hujan akhir musim seperti dahulu.

24Tempat-tempat pembantingan tuaian akan dipenuhi gandum, tempat-tempat pemerasan akan berkelimpahan air anggur dan minyak.

25Aku akan memulihkan bagimu tahun-tahun yang dilahap oleh belalang besar, belalang pelahap, belalang pemusnah, dan belalang pengerat, iaitu pasukan-Ku yang besar, yang telah Kukirimkan kepada kalangan kamu.

26Kamu akan makan banyak-banyak sampai kenyang dan memuji nama TUHAN, Allahmu, yang telah melakukan keajaiban untukmu. Umat-Ku tidak akan malu lagi untuk selama-lamanya.

27Kamu akan mengetahui bahawa Aku hadir di tengah-tengah Israel, bahawa Akulah TUHAN, Allahmu, dan tidak ada yang lain. Umat-Ku tidak akan malu lagi untuk selama-lamanya.”

TUHAN akan mencurahkan Roh-Nya

28Setelah itu, akan berlaku, bahawa Aku akan mencurahkan Roh-Ku ke atas semua manusia, sehingga anakmu lelaki perempuan akan bernubuat, orang tuamu akan bermimpi, dan orang mudamu akan melihat penglihatan.

29Juga ke atas hamba-Ku lelaki perempuan, Aku akan mencurahkan Roh-Ku ketika itu.

30Aku akan menunjukkan keajaiban di langit dan di bumi, darah dan api, serta kepulan-kepulan asap.

31Matahari akan menjadi gelap dan bulan menjadi seperti darah sebelum tiba hari TUHAN yang besar dan dahsyat itu.

32Maka akan terjadi kelak, semua orang yang menyeru nama TUHAN akan diselamatkan. Di Gunung Sion dan di Yerusalem akan ada orang yang terselamat, seperti yang telah difirmankan TUHAN, dan dalam kalangan yang tertinggal itu akan ada mereka yang dipanggil TUHAN.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yoel 2 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel