Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Kisah Para Rasul 14 >> 

Penganiayaan terhadap Paulus dan Barnabas

1Di Ikonium, Paulus dan Barnabas juga masuk ke saumaah dan kata-kata mereka begitu berkesan sehingga ramai orang Yahudi dan orang Yunani percaya kepada Isa.

2Akan tetapi orang Yahudi yang tidak mahu percaya kepada Isa menghasut orang bangsa lain sehingga mereka marah dan menentang pengikut Isa.

3Rasul-rasul itu tinggal lama di situ dan berkata-kata dengan berani tentang Tuhan. Tuhan pun menunjukkan kebenaran kata-kata mereka tentang kasih kurnia-Nya dengan memberi mereka kuasa melakukan pelbagai alamat dan mukjizat.

4Penduduk bandar itu terbahagi dua: sebahagian memihak kepada orang Yahudi dan yang sebahagian lagi kepada rasul-rasul itu.

5Kemudian orang Yahudi dan bangsa lain serta ketua-ketua mereka berpakat untuk menganiaya dan merejam rasul-rasul itu.

6Apabila rasul-rasul itu mendapat tahu tentang hal itu, mereka lari ke Listra dan Derbe, kota-kota di Likaonia, serta daerah sekitarnya.

7Di situ mereka menyampaikan berita baik.

Di Listra dan Derbe

8Di Listra ada seorang lelaki yang lumpuh kakinya sejak lahir dan tidak pernah berjalan.

9Dia duduk mendengar kata-kata Paulus. Pada pandangan Paulus orang itu dapat disembuhkan kerana dia mempunyai iman.

10Oleh yang demikian Paulus merenungnya sambil bersuara lantang, ‘Bangunlah berdiri tegak!’ Lalu orang itu melompat berdiri dan mula berjalan.

11Orang ramai melihat apa yang dilakukan oleh Paulus itu lalu berseru dalam bahasa Likaonia, ‘Lihatlah, dewa-dewa telah menjelma sebagai manusia dan turun ke dunia.’

12Dengan demikian Barnabas dipanggil mereka ‘Zeus’ dan Paulus disebut ‘Hermes’ kerana dia yang terutama bercakap.

13Imam Dewa Zeus, yang rumah berhalanya di luar kota, datang membawa lembu jantan dan kalungan bunga ke pintu gerbang untuk dijadikan korban persembahannya dan orang ramai kepada rasul-rasul itu.

14Apabila Barnabas dan Paulus mendengar apa yang hendak dilakukan oleh orang di situ, mereka mengoyak-ngoyakkan pakaian dan berlari ke tengah-tengah orang ramai sambil berseru,

15‘Mengapa kamu berbuat begini? Kami manusia biasa seperti kamu sekalian! Kami datang membawa berita baik supaya kamu berhenti daripada pemujaan yang sia-sia ini dan datang kepada Allah yang hidup, yang menjadikan langit, bumi dan laut serta segala yang di dalamnya.

16Pada zaman silam, Allah membiarkan manusia mengikut jalan masing-masing.

17Namun, Allah sentiasa memberikan kesaksian tentang diri-Nya dengan kebaikan yang dilakukan-Nya. Dia mengurniaimu hujan dari langit dan hasil dari bumi menurut musimnya. Dia mengurniaimu makanan dan kegembiraan.’

18Sungguhpun rasul-rasul itu berkata begitu, sukar juga mereka menghalang orang ramai mempersembahkan korban kepada mereka.

19Setelah itu beberapa orang Yahudi dari Antiokhia dan Ikonium mempengaruhi orang ramai sehingga berpihak kepada mereka. Mereka merejam Paulus, kemudian menyeretnya ke luar kota, dengan sangkaan dia sudah mati.

20Akan tetapi apabila pengikut Isa mengelilinginya, dia bangun lalu masuk semula ke dalam kota. Esoknya dia keluar pergi ke Derbe bersama Barnabas.

Kembali ke Antiokhia

21Setelah menyebarkan berita baik kepada semua penduduk dan membawa beberapa orang menjadi pengikut Isa, kedua-duanya kembali ke Listra, ke Ikonium dan Antiokhia.

22Di sana mereka menguatkan hati para pengikut Isa dan mengingatkan mereka supaya berpegang teguh kepada kepercayaan mereka, katanya, ‘Memang tidak dapat dielakkan bahawa kita masuk ke dalam kerajaan Allah dengan menanggung banyak kesusahan.’

23Setelah menetapkan para tua-tua bagi setiap jemaah dan berdoa serta berpuasa, mereka menyerahkan mereka kepada Tuhan yang sudahpun dipercayai oleh mereka.

24Setelah melalui tanah Pisidia, rasul-rasul itu sampai ke tanah Pamfilia.

25Mereka menyampaikan firman Allah di Perga, kemudian pergi ke Atalia.

26Dari sana mereka belayar ke Antiokhia, tempat mereka dahulunya menyerahkan tugas yang baru mereka selesaikan kepada Allah.

27Setelah sampai di sana, mereka menghimpunkan jemaah lalu menceritakan segala yang telah dilakukan Allah melalui mereka dan bagaimana Allah telah membukakan pintu kepercayaan bagi orang bangsa asing.

28Mereka tinggal di situ beberapa lama bersama pengikut Isa yang lain.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Kisah Para Rasul 14 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel