Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Kisah Para Rasul 16 >> 

Timotius menyertai Paulus dan Silas

1Paulus meneruskan perjalanan ke Derbe dan dari situ ke Listra. Di situ ada seorang pengikut Isa bernama Timotius, ibunya orang Yahudi yang percaya kepada Isa tetapi bapanya orang Yunani.

2Timotius dipandang tinggi oleh para pengikut Isa di Listra dan di Ikonium.

3Paulus hendak membawa Timotius bersamanya. Dia pun menyunatkan Timotius kerana semua orang Yahudi di daerah itu tahu bapanya orang Yunani.

4Di setiap kota yang dikunjungi, mereka menyampaikan peraturan yang telah ditetapkan oleh para rasul dan ketua-ketua di Baitulmaqdis kepada jemaah di situ untuk dipatuhi.

5Dengan demikian setiap jemaah semakin teguh imannya dan setiap hari bilangan mereka meningkat.

Paulus melihat suatu penglihatan

6Mereka menjelajahi pula Frigia dan Galatia, kerana Roh Suci melarang mereka menyampaikan firman Allah di Asia.

7Setelah sampai di sempadan Misia, mereka mencuba masuk ke Bitinia, tetapi dilarang oleh Roh Isa.

8Oleh itu mereka terus ke Troas melalui Misia.

9Pada malam itu Paulus mendapat suatu penglihatan: seorang Makedonia berdiri di hadapannya sambil memohon, ‘Marilah ke Makedonia menolong kami.’

10Setelah Paulus melihat penglihatan itu, kami pun hendak segera bertolak ke Makedonia, kerana pada hemat kami Allah memerintahkan kami menyampaikan berita baik kepada orang di situ.

Paulus di Filipi

11Oleh yang demikian, kami belayar dari Troas terus ke Samotrake dan esoknya ke Neapolis;

12dan dari situ ke Filipi, sebuah kota di Makedonia, yang termasuk jajahan Empayar Rom; kami tinggal beberapa hari di situ.

13Pada hari Sabat kami pergi ke luar pintu gerbang kota ke tepi sungai, kerana di situ kami jangka ada tempat orang berdoa. Kami duduk bercakap dengan perempuan yang berhimpun di situ.

14Salah seorang yang mendengar kami bercakap ialah seorang perempuan bernama Lidia, yang berjual kain ungu dan berasal dari Tiatira. Dia penyembah Allah. Tuhan membukakan hatinya lalu dia menerima segala yang dikatakan oleh Paulus.

15Setelah dia dan seisi rumahnya diimadkan, dia berkata, ‘Jika pada hemat kamu, aku ini benar-benar percaya akan Junjungan, marilah tinggal di rumahku.’ Demikian dia bersungguh-sungguh mengajak kami ke rumahnya.

Paulus dan Silas di penjara

16Di tempat orang berdoa itu juga ada seorang hamba perempuan yang dirasuk roh penilik; dia membawa keuntungan yang besar kepada tuan-tuannya dengan tilikannya itu.

17Hamba perempuan itu mengikut Paulus dan kami sambil berseru-seru, ‘Orang ini hamba Allah Yang Maha Tinggi; mereka memberitahu kamu bagaimana Allah dapat menyelamatkan kamu!’

18Demikianlah dilakukannya selama beberapa hari. Akhirnya Paulus gusar dan berpaling sambil berkata kepada roh itu, ‘Dengan nama Isa al-Masih aku perintahkan kamu keluar daripadanya!’ Roh itu pun keluar serta-merta.

19Apabila tuan-tuan budak perempuan itu sedar bahawa sumber keuntungan mereka telah dihapuskan, mereka menangkap Paulus dan Silas lalu menyeret mereka ke hadapan pihak berkuasa di medan kota.

20Mereka menghadapkan Paulus dan Silas kepada pegawai-pegawai kerajaan Rom dan berkata, ‘Mereka berdua ini membuat kacau di kota kita. Mereka orang Yahudi

21dan mereka menyebarkan ajaran yang tidak patut kita terima atau ikut kerana kita ini orang Rom.’

22Orang ramai pun bangkit menentang Paulus dan Silas. Pegawai-pegawai melucutkan pakaian kedua-duanya dan mengarahkan supaya mereka disebat.

23Setelah disebat beberapa kali, kedua-duanya dimasukkan ke dalam penjara; ketua penjara itu diberi arahan mengawal mereka dengan ketat.

24Oleh itu, ketua penjara memasukkan Paulus dan Silas ke bahagian penjara yang di dalam sekali serta membelenggu kaki mereka.

25Namun demikian, pada waktu tengah malam Paulus dan Silas berdoa dan memuji Allah. Sekalian yang terpenjara itu mendengar doa dan pujian mereka.

26Tiba-tiba berlaku gempa bumi yang besar, sehingga bergoncang asas penjara itu. Serta-merta semua pintu penjara terbuka dan belenggu semua orang yang terpenjara itu terlucut.

27Apabila ketua penjara terjaga daripada tidur dan melihat semua pintu penjara itu terbuka, dia menghunus pedang hendak membunuh diri, kerana sangkanya semua orang yang terpenjara telah lepas lari.

28Akan tetapi Paulus berseru dengan lantang, ‘Jangan apa-apakan dirimu, kami semua ada di sini.’

29Ketua penjara meminta pelita lalu berlari masuk serta sujud dengan gementar di hadapan Paulus dan Silas.

30Kemudian dia membawa mereka keluar lalu berkata, ‘Tuan-tuan, apakah yang patut aku lakukan supaya diselamatkan?’

31Mereka menjawab, ‘Percayalah kepada Junjungan Isa, dan kamu akan diselamatkan, kamu dan seisi rumahmu.’

32Mereka pun menyampaikan firman Tuhan kepadanya dan seisi rumahnya.

33Pada malam itu juga ketua penjara membasuhkan luka-luka Paulus dan Silas. Dia dan seisi rumahnya diimadkan.

34Selepas itu dia membawa Paulus dan Silas naik ke rumahnya serta menghidangkan makanan untuk mereka dengan amat sukacita kerana dia sekeluarga telah percaya kepada Allah.

35Setelah hari siang, pegawai-pegawai kerajaan Rom menghantar anggota polis untuk menyampaikan perintah membebaskan Paulus dan Silas.

36Ketua penjara memberitahu mereka tentang perintah itu, ‘Pegawai-pegawai menyuruh tuan-tuan dibebaskan. Oleh itu keluarlah dan pergilah dengan sejahtera.’

37Akan tetapi Paulus berkata, ‘Mereka telah menyebat kami di hadapan orang ramai tanpa menyiasat, sungguhpun kami orang Rom. Mereka telah memasukkan kami ke dalam penjara. Sekarang mereka hendak membebaskan kami senyap-senyap? Tidak boleh begitu! Hendaklah mereka sendiri datang membawa kami keluar.’

38Kata-kata Paulus itu disampaikan oleh anggota polis kepada pegawai-pegawai itu. Apabila mendengar bahawa Paulus dan Silas orang Rom, pegawai-pegawai itu pun takut

39lalu datang memujuk mereka, membawa mereka keluar dan meminta mereka meninggalkan kota itu.

40Paulus dan Silas keluar dari penjara lalu pergi ke rumah Lidia. Setelah bertemu dengan pengikut-pengikut Isa di situ dan menetapkan hati mereka, Paulus dan Silas pun meneruskan perjalanan.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Kisah Para Rasul 16 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2020
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran