Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Kisah Para Rasul 7 >> 

Pembicaraan Stefanus

1Kemudian imam besar bertanya kepada Stefanus, ‘Benarkah segala tuduhan ini?’

2Stefanus menjawab, ‘Bapa-bapa dan saudara-saudara! Dengarlah: Sebelum moyang kita Ibrahim berpindah ke Haran, Allah Yang Maha Tinggi telah menampakkan diri kepadanya di Mesopotamia.

3Allah berfirman kepadanya, “Tinggalkanlah negerimu dan keluargamu. Pergilah ke negeri yang akan Kutunjukkan kepadamu.”

4‘Ibrahim pun terus meninggalkan negeri Kasdim dan tinggal di Haran. Setelah bapa Ibrahim meninggal dunia, Allah memindahkan pula Ibrahim ke negeri tempat saudara-saudara dan bapa-bapa tinggal sekarang ini.

5Ketika itu Allah tidak memberikan warisan apapun kepada Ibrahim sebagai miliknya, secebis tanah pun tidak. Namun begitu, Allah berjanji akan mengurniakan tanah ini kepada Ibrahim sebagai miliknya dan milik keturunannya, walaupun pada masa itu Ibrahim tidak mempunyai anak.

6Namun Allah berfirman kepadanya bahawa keturunannya akan tinggal di negeri orang, dan akan diperhamba serta ditindas selama empat ratus tahun.

7“Aku akan menghukum bangsa yang memperhamba mereka,” Allah berfirman. “Kemudian mereka akan keluar dari negeri itu dan menyembah-Ku di sini.”

8Kemudian Allah membuat perjanjian sunat dengan Ibrahim; maka Ibrahim mendapat anak lelaki bernama Ishak dan menyunatkannya pada hari kelapan; Ishak mendapat Yakub dan Yakub mendapat dua belas orang anak lelaki yang menjadi nenek moyang bangsa kita.

9‘Nenek moyang bangsa kita itu menaruh hasad dengki terhadap Yusuf lalu menjualnya sebagai hamba di Mesir. Tetapi Allah menyertainya

10dan menyelamatkannya daripada segala kesusahannya. Apabila Yusuf mengadap Firaun raja Mesir, Allah mengurniainya budi dan kebijaksanaan, sehingga raja Mesir melantiknya menjadi gabenor yang berkuasa ke atas seluruh negeri itu dan istananya.

11‘Kemudian seluruh Mesir dan Kanaan dilanda kebuluran, dan nenek moyang kita tidak dapat mencari makanan.

12Apabila Yakub mendengar bahawa di Mesir ada gandum, dia menyuruh anak-anaknya, nenek moyang kita, pergi ke situ bagi kali pertama.

13Ketika mereka ke sana bagi kali kedua, Yusuf diperkenalkan kepada saudara-saudaranya itu dan keluarga Yusuf diketahui oleh Firaun.

14Lalu Yusuf mengirim khabar dan meminta bapanya, Yakub, serta seluruh keluarganya berpindah ke Mesir; tujuh puluh lima orang semuanya.

15Yakub sekeluarga pun berpindah ke Mesir. Di situlah dia dan nenek moyang kita meninggal dunia.

16Jenazah mereka dibawa ke Sikhem dan dikebumikan di kuburan yang telah dibeli oleh Ibrahim dengan sejumlah wang daripada suku Hamor, bapa Sikhem.

17‘Apabila masa bagi Allah menunaikan janji-Nya kepada Ibrahim semakin hampir, bilangan bangsa kita di Mesir telah meningkat banyak sekali.

18Kemudian seorang raja lain yang tidak kenal akan Yusuf naik takhta kerajaan Mesir.

19Raja itu memperdaya bangsa kita dan menindas nenek moyang kita, dengan memaksa mereka membuang bayi yang baru lahir dan membiarkannya mati.

20‘Pada masa itulah Musa dilahirkan, seorang bayi yang elok di mata Allah. Dia dipelihara di rumah bapanya selama tiga bulan.

21Apabila dia terpaksa dibuang, puteri Raja Mesir mengambilnya dan memeliharanya sebagai anak sendiri.

22Musa menjadi arif dalam segala ilmu pengetahuan serta kebijaksanaan orang Mesir dan menjadi seorang yang sangat handal, baik dari segi perkataan mahupun perbuatan.

23‘Sewaktu Musa berusia empat puluh tahun, hatinya tergerak hendak mengunjungi saudara-saudaranya bani Israel.

24Dia terpandang salah seorang daripada mereka sedang dianiaya oleh seorang Mesir. Dia pun membela orang yang dianiaya itu dan membunuh orang Mesir itu;

25kerana Musa menyangka saudara-saudara sebangsanya mengerti bahawa Allah akan membebaskan mereka melaluinya, tetapi mereka tidak mengerti.

26Esoknya, dia terlihat pula dua orang Israel sedang bergaduh lalu cuba mendamaikan mereka, katanya, “Kamu bersaudara. Mengapa kamu saling menganiaya?”

27‘Tetapi orang yang menganiaya saudara sebangsanya itu menolak Musa ke tepi sambil bertanya, “Siapa yang menjadikan kamu pemerintah dan hakim kami?

28Adakah kamu ingin membunuhku seperti kamu membunuh orang Mesir itu kelmarin?”

29Ketika Musa mendengar kata-kata itu, dia lari dari Mesir lalu menetap di negeri Midian. Di situ dia mendapat dua orang anak lelaki.

30‘Empat puluh tahun kemudian, malaikat menampakkan diri kepada Musa di dalam api belukar yang bernyala, di tanah gurun dekat Gunung Sinai.

31Musa kehairanan melihatnya lalu menghampirinya. Dia mendengar suara Tuhan berfirman,

32“Akulah Tuhan nenek moyangmu; Tuhan Ibrahim, Ishak dan Yakub.” Musa gementar ketakutan dan tidak berani memandang lagi.

33‘Tuhan berfirman seterusnya, “Tanggalkan kasutmu, kerana tempat kamu berdiri itu tanah suci.

34Aku telah melihat penindasan umat-Ku di Mesir. Aku telah mendengar rintihan mereka, dan telah turun untuk membebaskan mereka. Sekarang marilah, Aku akan mengutusmu ke Mesir.”

35‘Musa inilah yang telah ditolak oleh umat Israel dengan kata-kata, “Siapa yang menjadikan kamu pemerintah dan hakim kami?” Justeru dialah yang diutus Allah sebagai pemerintah dan pembebas, melalui malaikat yang menampakkan diri kepadanya di belukar itu.

36Musa memimpin orang Israel keluar dari Mesir setelah melakukan pelbagai mukjizat dan keajaiban di Mesir, di Laut Merah dan kemudian di tanah gurun selama empat puluh tahun.

37‘Musa inilah yang berkata kepada bangsa Israel, “Allah akan mengutus seorang Nabi kepadamu, sebagaimana Dia telah mengutusku dari kalangan bangsamu.”

38Musa inilah yang bersama bangsa Israel berhimpun di tanah gurun. Dia di sana berserta nenek moyang kita dan malaikat yang berkata-kata kepadanya di Gunung Sinai. Dialah yang menerima firman hidup, untuk disampaikan kepada kita.

39‘Tetapi nenek moyang kita enggan taat kepadanya. Mereka menolaknya dan dalam hati mereka berpaling semula ke Mesir.

40Mereka berkata kepada Harun, “Buatkan kami patung pujaan yang dapat memimpin kami, kerana kami tidak tahu apa yang telah terjadi kepada Musa yang membawa kami keluar dari Mesir.”

41Setelah itu mereka membuat berhala berbentuk anak lembu dan mempersembahkan korban kepada berhala itu. Mereka bersuka ria meraikan buatan tangan mereka sendiri.

42Oleh itu Allah berpaling daripada mereka dan membiarkan mereka menyembah segala yang di langit. Demikianlah yang tersurat di dalam kitab nabi-nabi: ‘“Adakah kamu mempersembahkan kepada-Ku binatang sembelihan dan korban selama empat puluh tahun di tanah gurun, hai orang Israel?

43Malah kamu mengusung khemah Molokh dan bintang berhalamu Refan, patung-patung yang kamu buat untuk kamu sembah; maka Aku akan membuangmu jauh ke seberang Babel.”

44‘Nenek moyang kita mempunyai Khemah Kesaksian di tanah gurun. Khemah ini dibuat sebagaimana yang diperintahkan kepada Musa menurut contoh yang telah dilihatnya.

45Nenek moyang kita, setelah menerimanya, bersama Yosua telah membawanya masuk ke negeri kita yang dikuasai oleh bangsa-bangsa asing. Allah telah mengusir bangsa-bangsa asing itu di hadapan mereka, dan khemah itu tetap di tanah tersebut hingga zaman Daud.

46Daud mendapat keredaan Allah dan memohon izin-Nya untuk membina sebuah rumah untuk Tuhan yang disembah oleh Yakub.

47Tetapi Sulaiman yang membina rumah untuk-Nya.

48‘Namun, Tuhan Yang Maha Tinggi tidak tinggal di dalam rumah buatan tangan manusia, seperti kata nabi:

49‘“Syurga arasy-Ku, dan bumi alas kaki-Ku. Rumah apakah yang hendak kamu bina untuk-Ku, dan dimanakah tempat rehat-Ku?” firman Tuhan.

50‘“Bukankah Aku sendiri yang telah mencipta semuanya?”

51‘Hai yang keras kepala dan tidak bersunat hati dan telingamu! Kamu sentiasa melawan Roh Suci sebagaimana yang dilakukan oleh nenek moyangmu.

52Nabi manakah yang tidak dianiaya oleh nenek moyangmu? Mereka membunuh nabi-nabi yang telah menubuatkan kedatangan Yang Benar itu, yang kamu khianati dan bunuh.

53Kamu telah menerima Taurat Allah yang disampaikan oleh malaikat, tetapi kamu tidak mematuhinya.’

Stefanus direjam

54Apabila mendengar kata-kata ini, mereka tersangat sakit hati dan berang terhadap Stefanus.

55Akan tetapi dia dipenuhi Roh Suci lalu merenung ke langit dan melihat kemuliaan Allah serta Isa berdiri di sebelah kanan Allah.

56Dia berkata, ‘Lihatlah! Aku nampak syurga terbuka dan Putera Insan berdiri di sebelah kanan Allah!’

57Mereka pun bertempik sambil menutup telinga lalu menyerang Stefanus serentak.

58Mereka menyeret dia ke luar kota lalu merejamnya. Orang yang menyaksikan segalanya itu meletakkan jubah mereka di kaki seorang muda bernama Saul.

59Ketika mereka merejam Stefanus, dia berseru,‘Junjungan Isa, terimalah rohku.’

60Kemudian dia berlutut dan berteriak dengan suara yang kuat, ‘Junjungan, jangan tanggungkan dosa ini atas mereka.’ Setelah berkata demikian, dia pun meninggal dunia.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Kisah Para Rasul 7 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel