Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Markus 15 >> 

Isa di hadapan Pilatus

1Awal-awal pagi lagi ketua-ketua imam segera bermesyuarat dengan para tua-tua, guru Taurat dan seluruh Majlis Agama. Kemudian mereka mengikat Isa, membawa-Nya pergi dan menyerahkan-Nya kepada Pilatus.

2Pilatus bertanya kepada-Nya, ‘Adakah Kamu Raja orang Yahudi?’ Isa menjawab, ‘Begitulah seperti katamu.’

3Kemudian ketua-ketua imam melemparkan pelbagai tuduhan terhadap-Nya.

4Pilatus bertanya lagi kepada-Nya, ‘Tidakkah Engkau mahu menjawab apa-apa? Lihat betapa banyaknya tuduhan mereka terhadap-Mu?’

5Tetapi Isa masih tidak menjawab sepatah pun, sehingga Pilatus kehairanan.

6Pada waktu perayaan, lazimnya Pilatus membebaskan seorang banduan dari penjara, iaitu sesiapa yang diminta oleh mereka.

7Ada seorang bernama Barabas yang dirantaikan bersama beberapa orang pemberontak lain. Mereka telah melakukan pembunuhan dalam pemberontakan itu.

8Orang ramai mula berseru lantang meminta Pilatus membebaskan seorang daripada penjara seperti yang biasa dilakukannya.

9Pilatus bertanya, ‘Adakah kamu mahu aku membebaskan kepadamu Raja orang Yahudi?’

10kerana dia tahu bahawa ketua-ketua imam telah menyerahkan Isa kepadanya kerana iri hati.

11Tetapi ketua-ketua imam menghasut orang ramai supaya meminta Barabas dibebaskan kepada mereka.

12Pilatus berkata kepada mereka, ‘Kalau begitu, apa yang kamu mahu kulakukan kepada Dia yang kamu panggil Raja orang Yahudi?’

13Mereka berseru lagi dengan kuatnya, ‘Salibkan Dia!’

14Kata Pilatus kepada mereka, ‘Mengapa? Apakah kejahatan yang telah dilakukan-Nya?’ Tetapi mereka semakin kuat berseru, ‘Salibkan Dia!’

15Oleh itu, untuk memuaskan hati orang ramai itu, Pilatus membebaskan Barabas kepada mereka. Setelah menyebat Isa, dia menyerahkan-Nya untuk disalib.

Isa dipermainkan

16Kemudian para askar membawa-Nya ke dewan yang dipanggil Praetorium, lalu menghimpunkan seluruh pasukan tentera yang ada di situ.

17Mereka mengenakan pakaian berwarna ungu pada tubuh-Nya, dan membuat mahkota daripada duri lalu meletakkannya di atas kepala-Nya.

18Kemudian mereka menyindir-Nya, ‘Daulat Tuanku, Raja orang Yahudi!’

19Mereka memukul kepala-Nya dengan mensiang, meludahi-Nya, kemudian tunduk menyembah-Nya.

20Setelah mempermain-mainkan-Nya, mereka melucutkan pakaian ungu itu dan mengenakan semula pakaian-Nya. Lalu mereka membawa-Nya untuk disalib.

Isa disalib

21Ketika itu seorang yang bernama Simon, orang Kirene, bapa kepada Iskandar dan Rufus sedang lalu di situ. Dia baru sahaja datang dari luar bandar. Kemudian mereka memaksanya mengangkat salib Isa.

22Mereka membawa-Nya ke tempat yang dipanggil Golgota (bermaksud Tempat Tengkorak).

23Kemudian mereka memberi-Nya air anggur bercampur mur tetapi Dia enggan meminumnya.

24Setelah mereka menyalib-Nya, mereka membahagikan pakaian-Nya antara mereka dengan membuang undi.

25Mereka menyalib-Nya pada pukul sembilan pagi.

26Tuduhan terhadap-Nya tertulis di atas: Raja Orang Yahudi.

27Mereka menyalib dua orang perompak bersama Isa, seorang di kanan dan seorang lagi di kiri-Nya.

28Dengan demikian berlakulah apa yang tersurat di dalam Kitab Suci: ‘Dan Dia digolongkan dengan penjahat.’

29Semua orang yang lalu di situ menggeleng-gelengkan kepala sambil mengejek Isa. Mereka berkata, ‘Kamu mahu memusnahkan rumah ibadat dan membinanya semula dalam tiga hari!

30Sekarang turunlah dari salib itu dan selamatkanlah diri-Mu!’

31Ketua-ketua imam dan guru-guru Taurat juga mempermainkan Isa. Mereka berkata sesama sendiri, ‘Dia menyelamatkan orang, tetapi tidak dapat menyelamatkan diri-Nya sendiri!

32Kiranya Dia Raja orang Yahudi dan al-Masih, turunlah dari salib, supaya kami melihat dan percaya kepada-Nya!’ Orang yang disalib bersama Isa pun mencela-Nya.

Kematian Isa

33Pada tengah hari, selama tiga jam, seluruh negeri itu gelap-gelita.

34Pada pukul tiga petang, Isa berseru dengan suara lantang, ‘Eloi, Eloi, lama sabakhtani?’ Ertinya, ‘Ya Allah, Ya Tuhan-Ku, mengapa Kautinggalkan Aku?’

35Beberapa orang di situ mendengar seruan itu dan berkata, ‘Dengarlah, Dia memanggil Ilyas.’

36Seorang daripada mereka berlari mengambil span lalu mencelupnya ke dalam air anggur murah. Kemudian dia mencucukkan span itu di hujung sebatang mensiang dan menawarkannya kepada Isa untuk minum, sambil berkata, ‘Kita menunggu, kalau-kalau Ilyas datang menurunkan-Nya dari salib.’

37Isa berteriak dengan kuat lalu menghembuskan nafas terakhir.

38Sejurus kemudian, tirai di dalam rumah ibadat terbelah dua, dari atas hingga ke bawah.

39Ketua tentera yang berdiri di hadapan salib itu melihat semua ini lalu berkata, ‘Benarlah Dia Putera Allah!’

40Beberapa orang wanita menyaksikan segala-galanya dari jauh. Antara mereka ialah Salome, Maryam Magdalena, serta Maryam ibu Yakobus Muda dan Yoses.

41Mereka wanita-wanita yang mengikut dan menolong Isa ketika Dia di Galilea. Ada ramai juga wanita yang datang dengan Isa ke Baitulmaqdis.

Isa dimakamkan

42Hari sudah lewat petang. Hari itu Hari Persediaan, iaitu sehari sebelum hari Sabat.

43Yusuf dari Arimatea, seorang ahli terkemuka Majlis Agama yang sedang menunggu kerajaan Allah, datang lalu memberanikan hatinya menghadap Pilatus dan memohon untuk mengambil jenazah Isa.

44Pilatus hairan mendengar Isa sudahpun meninggal dunia, lalu memanggil ketua tentera dan bertanya sama ada Isa sudah meninggal.

45Setelah mendengar laporan ketua tentera itu, dia pun menyerahkan jenazah Isa kepada Yusuf.

46Yusuf membeli kain linen yang baik, menurunkan jenazah Isa dan mengkafankannya dengan kain itu. Dia membaringkan jenazah itu di dalam sebuah makam yang telah digali di permukaan batu pejal, lalu menggulingkan sebuah batu besar menutup pintu makam itu.

47Maryam Magdalena dan Maryam ibu Yoses memerhatikan tempat makam itu.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Markus 15 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel