1Untuk pemimpin muzik. Mazmur Daud apabila ditegur oleh Natan kerana berzina dengan Batsyeba. Kasihanilah aku, Ya Allah, demi kasih setia-Mu yang kekal;demi belas kasih-Mu yang melimpah hapuskanlah dosaku.
2Bersihkan aku daripada kejahatanku, sucikan aku daripada dosaku.
3Kerana aku mengakui kesalahanku, dan sentiasa sedar akan dosaku.
4Kepada-Mu, hanya kepada-Mu, aku berdosa dan melakukan kejahatan di pandangan-Mu,maka Engkau didapati benar dalam kata-kata-Mu, dan penghakiman-Mu tidak bercela.
5Aku telah dilahirkan dalam kejahatan, dan dalam dosa ibuku menghamilkan aku.
6Engkau menghendaki kebenaran dalam diri; dan di lubuk jiwaku Engkau akan mengajarku mengenal kebijaksanaan.
7Bersihkan aku dengan zufa, supaya aku suci; basuhlah aku sehingga lebih putih daripada salji.
8Perdengarkan kegembiraan dan keriaan kepadaku; supaya tulang-tulangku yang Kaupatahkan dapat bersukacita.
9Sembunyikan wajah-Mu daripada dosaku dan hapuskan segala kejahatanku.
10Ciptakan hati yang bersih dalam diriku, Ya Allah, dan pulihkan semangat waja dalam jiwaku.
11Jangan singkirkan aku dari hadirat-Mu dan jangan ambil Roh Suci-Mu daripadaku.
12Bahagiakan aku semula dengan penyelamatan-Mu dan kuatkan aku dengan Roh-Mu yang pemurah.
13Maka aku akan mengajar orang yang ingkar tentang jalan-Mu, dan orang berdosa akan kembali taat kepada-Mu.
14Selamatkan aku daripada kesalahan menumpahkan darah, Ya Allah, Allah Penyelamatku, maka suaraku akan lantang menyanyikan kebaikan-Mu.
15Ya TUHAN, bukakan mulutku, aku akan mengisytiharkan puji-pujian bagi-Mu.
16Kalaulah Engkau bersukacita dengan korban, tentu kupersembahkan; Engkau tidak berkenan akan korban yang dibakar.
17Korban untuk Allah ialah hati yang hancur; hati yang hancur dan sesal, Ya Allah, tidak akan Kauremehkan.
18Limpahkanlah rahmat-Mu kepada Sion, Ya Allah; binalah tembok-tembok Baitulmaqdis.
19Maka Engkau akan berkenan dengan persembahan yang benar, dengan korban yang dibakar; mereka akan mempersembahkan lembu korban di mazbah-Mu.