1Untuk pemimpin muzik. Menurut lagu ‘Merpati Sepi di Tanah Jauh’. Mazmur Daud, pada masa orang Filistin menangkapnya di Gat. Kasihanilah aku, Ya Allah, kerana orang hendak membinasakan aku; sepanjang hari mereka menyerang dan menganiayaiku.
2Musuhku memburu aku sepanjang hari; ramai orang menentangku.
3Apabila aku berasa takut, aku berharap kepada-Mu.
4Kepada Allah, aku memuji firman-Nya, kepada Allah, aku meletakkan kepercayaanku; aku tidak akan gentar. Apakah yang dapat dilakukan oleh manusia kepadaku?
5Sepanjang hari mereka memesongkan kata-kataku; seluruh fikiran mereka penuh kejahatan menentangku.
6Mereka berhimpun, mereka bersembunyi, memerhatikan jejak langkahku, lalu menghendap untuk meragut nyawaku.
7Mereka tidak patut dibiarkan berleluasa melakukan kejahatan; binasakanlah mereka dalam kemurkaan-Mu, Ya Allah.
8Engkau memerhati setiap gerak-geriku; Engkau mengambil kira setiap titis air mataku
9Apabila aku berseru kepada-Mu musuhku akan berundur. Ini aku tahu, kerana Allah memihak kepadaku.
10Kepada Allah, aku memuji firman-Nya, kepada TUHAN, aku memuji firman TUHAN
11kepada Allah kuletakkan kepercayaanku; aku tidak akan gentar. Apakah yang dapat dilakukan oleh manusia kepadaku?
12Aku akan menunaikan segala janjiku kepada-Mu, Ya Allah; aku akan bersyukur memuji-Mu.
13Kerana Engkau telah menyelamatkan aku daripada maut dan mengelakkan kakiku daripada tergelincir,supaya aku dapat melangkah di hadapan Allah dalam cahaya orang yang hidup.