1Untuk pemimpin muzik. Mazmur Daud. Sebuah nyanyian. Semoga Allah bangkit, semoga musuh-Nya bertempiaran; semoga semua yang membenci-Nya lari daripada-Nya.
2Seperti angin meniup asap, Ya Allah usirkan mereka;seperti lilin dilebur oleh api, semoga orang zalim binasa di hadirat Allah.
3Biar orang yang benar bersukacita biar mereka bergembira tidak terhingga; ya, biar mereka bergembira tidak terhingga.
4Menyanyilah untuk Allah, nyanyikan pujian untuk nama-Nya, sanjungi Dia yang memerintah awan
5Dialah bapa kepada anak yatim, pelindung kepada balu, Dialah Allah di tempat bersemayam-Nya yang suci.
6Allah meletakkan mereka yang sebatang kara dalam lingkungan keluarga, Dia melepaskan mereka yang terikat dan memberi mereka kemakmuran; tetapi orang yang memberontak akan menetap di tanah tandus.
7Ya Allah, apabila Engkau memimpin umat-Mu, Engkau menyeberangi gurun,
8bumi bergempa, langit menurunkan hujan kerana kehadiran Allah,Sinai terharu dengan kedatangan Allah, Allah Tuhan umat Israel.
9Engkau, Ya Allah, menghantar hujan lebat; untuk mengesahkan warisan-Mu, umat-Mu yang lesu menderita.
10Umat-Mu tinggal di situ, Engkau, Ya Allah, memberi rahmat-Mu kepada mereka yang miskin melarat.
11TUHAN menurunkan firman, maka sungguh besar perhimpunan orang yang mengisytiharkannya:
12‘Raja-raja yang memimpin tentera melarikan diri, mereka lari; kaum perempuan di rumah membahagikan rampasan.
13Walaupun engkau baring di antara kawanan domba, engkau seperti sayap merpati disalut perak,dan bulunya disalut emas tulen.’
14Ketika Allah Maha Kuasa mengusir raja-raja bertempiaran, kelihatan seputih salji di Zalmon.
15Gunung Bashan sebuah gunung Allah; Gunung Bashan banyak puncaknya.
16Mengapa kamu iri hati, hai gunung-gunung yang berpuncak banyak? Allah memilih gunung ini untuk kediaman-Nya, ya, TUHAN akan berada di sini selama-lamanya.
17Allah memiliki dua puluh ribu pedati malah ribuan ribu; datangnya TUHAN ke Sinai, ke Tempat Suci.
18Engkau telah naik ke tempat yang tinggi, Engkau membawa orang tawanan; Engkau menerima persembahan di kalangan manusia,malah daripada pemberontak
19Segala puji bagi TUHAN, yang setiap hari melimpahkan rahmat kepada kita, Allah Penyelamat kita.
20Allah Tuhan kita, Allah Penyelamat; dan daripada Allah Tuhan ada kebebasan daripada kematian.
21Tetapi Allah akan mencederakan kepala musuh-Nya, mereka yang terus melakukan dosa.
22TUHAN telah berfirman, ‘Aku akan membawa mereka pulang dari Bashan; aku akan membawa mereka pulang dari lautan dalam,
23‘supaya kakimu dapat meremukkan mereka dalam lumuran darah, dan anjingmu menjilat habuannya daripada musuhmu.’
24Mereka telah melihat perarakan-Mu, Ya Allah, perarakan Allah Tuhanku, Rajaku ke khemah-Mu.
25Para biduan berjalan di hadapan, pemain alat muzik di belakang; di antara mereka gadis-gadis bermain tamborin.
26Pujilah Allah dalam semua perhimpunan; pujilah TUHAN wahai umat daripada perhimpunan Israel.
27Suku Benyamin yang terkecil berjalan dahulu, diikuti ketua-ketua Yudah dan pengikut mereka, kemudian ketua-ketua Zebulun dan Naftali.
28Allah Tuhanmu telah memerintahkan supaya kami diberi kekuatan; Kukuhkanlah, Ya Allah, segala yang telah Kaulakukansegala yang telah Kaulakukan untuk kami.
29Kerana rumah ibadat-Mu di Baitulmaqdis raja-raja membawa persembahan untuk-Mu.
30Murkailah bangsa yang seperti binatang liar di rumput air, dan bangsa-bangsa yang seperti lembu jantan bersama anak-anaknya.Sehingga semuanya tunduk mempersembahkan perak kepada-Mu. Usirlah pencinta perang sehingga bertempiaran.
31Para utusan akan dihantar dari Mesir; Habsyah akan segera menghulur tangan kepada Allah.
32Bernyanyilah untuk Allah, hai kerajaan-kerajaan di bumi, nyanyikan puji-pujian kepada TUHAN,
33kepada Dia pemerintah langit purba tertinggi, sesungguhnya Dia berfirman dengan penuh kekuasaan.
34Isytiharkan kekuatan Allah, keunggulan-Nya memerintah Israel, dan kekuatan-Nya di angkasa.
35Ya Allah, Engkau lebih menakjubkan daripada tempat-tempat suci-Mu; Allah Tuhan umat Israel memberi kekuatan dan kekuasaan kepada umat-Nya.Segala puji bagi Allah!