Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Yohanes 21 >> 

Isa menampakkan diri di Tasik Tiberias

1Setelah itu, Isa menampakkan diri sekali lagi kepada para pengikut-Nya, di Tasik Tiberias. Demikianlah kejadian itu berlaku:

2Simon Petrus, Tomas yang disebut Didimus, Natanael (yang berasal dari Kana di Galilea), anak-anak Zebedeus, dan dua orang pengikut Isa yang lain, sedang berhimpun di situ.

3Simon Petrus berkata kepada mereka, ‘Aku hendak pergi menangkap ikan.’ Mereka berkata kepadanya, ‘Kami hendak pergi bersama-sama.’ Mereka pun pergi menaiki perahu. Tetapi semalaman tiada seekor ikan pun dapat ditangkap oleh mereka.

4Ketika matahari terbit, Isa berdiri di pantai, tetapi mereka tidak mengenal-Nya.

5Isa bertanya kepada mereka, ‘Anak-anak, kamu ada ikan?’ ‘Tidak, kami tidak mendapat seekor ikan pun,’ jawab mereka.

6Isa berkata kepada mereka ‘Tebarkanlah jalamu di sebelah kanan perahu, kamu akan mendapat ikan.’ Mereka pun berbuat demikian, maka begitu sarat jala mereka dengan ikan sehingga tidak terdaya mereka menariknya kembali.

7Oleh itu pengikut yang dikasihi oleh Isa berkata kepada Petrus, ‘Itu Junjungan!’ Setelah mendengar bahawa Junjungan yang berdiri di situ, Petrus terus memakai baju luarnya (yang telah ditanggalkannya untuk bekerja) lalu terjun ke dalam air.

8Para pengikut lain menuju ke pantai dengan perahu sambil menarik jala yang sarat dengan ikan. Mereka tidak berapa jauh dari darat, hanya kira-kira seratus meter (dua ratus ‘cubits’).

9Setelah sampai di pantai, mereka melihat ikan dibakar di atas bara api, dan roti pun ada.

10Isa berkata kepada mereka, ‘Bawalah sedikit ikan yang baru kamu tangkap itu.’

11Simon Petrus pergi ke perahu lalu menyeret jala ke darat. Walaupun sarat dengan ikan yang besar-besar, 153 ekor semuanya, namun jala itu tidak koyak.

12Isa berkata kepada mereka, ‘Marilah bersarapan.’ Tiada seorang pun yang berani bertanya, ‘Siapakah Tuan?’ kerana mereka tahu bahawa Dia ialah Junjungan.

13Isa pun merapati mereka, mengambil roti lalu memberikannya kepada mereka. Begitu juga dilakukan-Nya dengan ikan.

14Itulah kali ketiga Isa menampakkan diri kepada para pengikut-Nya setelah Dia dibangkitkan daripada kematian.

Isa meneguhkan hati Petrus

15Selepas sarapan bersama-sama, Isa bertanya kepada Simon Petrus, ‘Simon anak Yahya, adakah kamu benar-benar mengasihi-Ku lebih daripada mereka ini?’ Petrus menjawab, ‘Ya Junjungan, Engkau tahu bahawa aku mengasihi-Mu.’ Isa berkata kepadanya, ‘Berilah anak-anak domba-Ku makan.’

16Bagi kali kedua Isa bertanya, ‘Simon anak Yahya, adakah kamu benar-benar mengasihi-Ku?’ Petrus menjawab, ‘Ya Junjungan, Engkau tahu bahawa aku mengasihi-Mu.’ Isa berkata kepadanya, ‘Peliharalah domba-domba-Ku.’

17Bagi kali ketiga Isa bertanya kepadanya, ‘Simon anak Yahya, adakah kamu mengasihi-Ku?’ Petrus sedih kerana Isa bertanya kepadanya bagi kali ketiga, lalu dia menjawab, ‘Junjungan, Engkau mengetahui segala-galanya. Engkau tahu bahawa aku mengasihi-Mu!’ Isa berkata kepadanya, ‘Berilah domba-domba-Ku makan.’

18Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sewaktu muda kamu mengikat tali pinggangmu lalu pergi ke mana-mana yang kamu mahu. Tetapi semasa tua nanti, kamu akan menghulurkan tangan dan orang akan mengikat lalu membawamu ke tempat yang kamu tidak mahu pergi.’

19Kata-kata Isa ini membayangkan bagaimana Petrus akan mati untuk memuliakan Allah. Isa pun berkata kepada Petrus, ‘Ikutlah Aku!’

Pengikut yang dikasihi Isa

20Petrus menoleh lalu melihat pengikut yang dikasihi oleh Isa sedang mengikut mereka. Pengikut itulah yang duduk dekat dengan Isa ketika makan malam dahulu dan bertanya kepada-Nya, ‘Junjungan, siapakah yang akan mengkhianati-Mu?’

21Ketika melihatnya, Petrus bertanya kepada Isa, ‘Junjungan, bagaimana dengan orang ini?’

22Isa menjawab, ‘Sekiranya Aku mahu dia tetap ada hingga Aku datang kembali, apa kena-mengenanya denganmu? Kamu ikutlah Aku.’

23Oleh itu tersebarlah di kalangan pengikut Isa bahawa pengikut tersebut tidak akan mati. Tetapi Isa tidak berkata bahawa pengikut itu tidak akan mati. Isa berkata, ‘Sekiranya Aku mahu dia tetap ada hingga Aku datang kembali, apa kena-mengenanya denganmu?’

Kata penutup

24Pengikut itulah yang memberikan kesaksian tentang hal-hal ini. Dialah yang menuliskan semua ini dan kita tahu kesaksiannya itu benar.

25Ada banyak lagi perkara lain yang dilakukan oleh Isa. Andainya dituliskan segala-galanya, aku rasa seluruh dunia ini pun tidak cukup untuk memuatkan semua kitab itu.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yohanes 21 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2020
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran