Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  2 Tawarikh 20 >> 

Peperangan Menentang Edom

1Beberapa lama kemudian, tentera Moab dan Amon bersama-sama sekutu mereka, tentera Meunim, menyerang Yehuda.

2Beberapa orang utusan menghadap Raja Yosafat dan memberitahu baginda, "Angkatan perang yang besar dari Edom telah datang dari seberang Laut Mati untuk menyerang tuanku. Mereka telah merebut Hazezon-Tamar." (Hazezon-Tamar ialah nama lain bagi En-Gedi.)

3Raja Yosafat takut lalu berdoa kepada TUHAN meminta petunjuk. Kemudian baginda memerintah penduduk negeri supaya berpuasa.

4Dari tiap-tiap kota di Yehuda, rakyat pergi ke Yerusalem untuk minta pertolongan daripada TUHAN.

5Bersama-sama penduduk Yerusalem, mereka berkumpul di halaman baru di Rumah TUHAN. Raja Yosafat berdiri di hadapan rakyat

6lalu berdoa dengan suara kuat, "Ya TUHAN, Allah nenek moyang kami, dari takhta-Mu di syurga, Engkau memerintah bangsa-bangsa di bumi ini. Engkau berkuasa dan perkasa! Tiada sesiapa pun dapat melawan Engkau.

7Engkaulah Allah kami. Ketika umat-Mu Israel pindah ke negeri ini, Engkau mengusir bangsa yang tinggal di sini dan memberikan tanah ini kepada keturunan Abraham, sahabat-Mu, untuk menjadi pusaka mereka selama-lamanya.

8Mereka sudah tinggal di sini dan membina sebuah rumah ibadat untuk menghormati Engkau. Mereka tahu

9bahawa jika mereka dihukum dengan bencana, sama ada peperangan, wabak, atau kelaparan, mereka dapat datang kepada-Mu dan berdiri di hadapan rumah ibadat ini. Ketika dalam kesusahan, mereka dapat berdoa kepada-Mu dan Engkau akan mendengar serta menolong mereka.

10Sekarang orang Amon, Moab, dan Edom menyerang kami. Ketika nenek moyang kami keluar dari Mesir dahulu, Engkau tidak membenarkan mereka masuk ke negeri-negeri itu. Oleh itu mereka mengambil jalan keliling dan tidak membinasakan bangsa-bangsa itu.

11Sekarang lihatlah cara mereka membalas kami -- mereka datang untuk mengusir kami dari tanah yang Engkau berikan kepada kami.

12Engkaulah Allah kami! Hukumlah mereka, kerana kami tidak berdaya melawan tentera besar yang menyerang kami. Kami tidak tahu apa yang harus kami lakukan, tetapi kami datang kepada-Mu meminta tolong."

13Semua kaum lelaki Yehuda, bersama-sama anak isteri mereka, berdiri di Rumah TUHAN.

14Lalu Roh TUHAN menguasai seorang Lewi yang hadir di tengah-tengah orang ramai itu. Namanya Yahaziel anak Zakharia, seorang daripada puak Asaf, iaitu keturunan Benaya, Yeiel, dan Matanya.

15Yahaziel berkata, "Tuanku dan semua penduduk Yehuda dan Yerusalem, TUHAN berfirman bahawa kamu tidak boleh putus asa atau takut menghadapi pasukan yang besar ini, kerana yang bertempur bukan kamu, melainkan Allah.

16Esok seranglah mereka, pada masa mereka mendaki Genting Zis. Kamu akan menemui mereka di hujung lembah yang menuju ke padang gurun dekat Yeruel.

17Kamu tidak perlu bertempur dalam peperangan ini. Ambillah tempat kamu lalu tunggulah. Kamu akan melihat TUHAN memberi kamu kemenangan. Janganlah takut atau ragu-ragu, hai penduduk Yehuda dan Yerusalem! Hadapilah musuh; TUHAN akan menyertai kamu!"

18Selepas itu Raja Yosafat bersujud dan semua rakyat pun bersujud bersama-sama baginda dan menyembah TUHAN.

19Puak Kehat dan Korah daripada suku Lewi berdiri, lalu bersorak memuji TUHAN, Allah Israel.

20Keesokan paginya mereka semua pergi ke padang gurun dekat Tekoa. Ketika mereka berangkat, Raja Yosafat bertitah kepada mereka, "Hai penduduk Yehuda dan Yerusalem, percayalah kepada TUHAN, Allah kamu, maka kamu akan sanggup bertahan! Percayalah kepada nasihat nabi-nabi-Nya, maka kamu akan berjaya."

21Setelah berunding dengan rakyat, raja memerintah beberapa orang penyanyi supaya memakai pakaian yang biasanya dipakai pada upacara-upacara agama. Para penyanyi itu mesti berjalan di hadapan tentera sambil menyanyi, "Pujilah TUHAN! Kasih-Nya kekal abadi!"

22Apabila mereka mula menyanyi, TUHAN menimbulkan kekacauan di tengah-tengah musuh yang hendak menyerang mereka.

23Tentera Amon dan Moab menyerang tentera Edom dan memusnahkannya sama sekali. Kemudian mereka pula menyerang satu sama lain dengan sengit.

24Apabila tentera Yehuda sampai di sebuah menara di padang gurun, mereka memandang ke arah musuh dan nampak semua musuh mati terlentang di tanah. Tiada seorang pun daripada tentera musuh yang hidup.

25Raja Yosafat dan tenteranya pergi menjarah harta barang-barang musuh. Mereka mendapat banyak ternakan, bekalan, pakaian, dan barang-barang berharga. Selama tiga hari mereka mengumpulkan barang jarahan itu, tetapi mereka tidak dapat mengambil semuanya kerana barang-barang itu terlalu banyak.

26Pada hari keempat, mereka berkumpul di Lembah Beraka, lalu memuji TUHAN bagi segala yang telah dilakukan-Nya. Itulah sebabnya lembah itu dinamakan Lembah Beraka.

27Demikianlah Raja Yosafat memimpin tenteranya kembali ke Yerusalem dengan kemenangan, kerana TUHAN telah mengalahkan musuh mereka.

28Ketika mereka sampai di kota, mereka pergi ke Rumah TUHAN, dengan iringan kecapi dan trompet.

29Tiap-tiap bangsa menjadi takut apabila mendengar tentang cara TUHAN mengalahkan musuh Israel.

30Dengan demikian Raja Yosafat dapat memerintah dengan aman, dan Allah memberi Raja Yosafat ketenteraman di seluruh negeri.

Akhir Pemerintahan Raja Yosafat

31Raja Yosafat menjadi raja Yehuda ketika baginda berumur tiga puluh lima tahun, dan baginda memerintah di Yerusalem selama dua puluh lima tahun. Bondanya ialah Azuba anak Silhi.

32Seperti ayahandanya dahulu, Raja Yosafat melakukan apa yang benar di sisi TUHAN,

33tetapi tempat-tempat penyembahan berhala tidak dimusnahkan. Rakyat belum juga beribadat dengan sepenuh hati kepada Allah nenek moyang mereka.

34Segala perbuatan Raja Yosafat, dari permulaan pemerintahannya sehingga akhir, tercatat di dalam kitab Sejarah Yehu Anak Hanani, iaitu sebahagian daripada kitab Sejarah Raja-Raja Israel.

35Pada suatu masa, Raja Yosafat mengadakan hubungan persahabatan dengan Raja Ahazia dari Israel, yang melakukan banyak kejahatan.

36Mereka membina kapal-kapal besar di Ezion-Geber,

37tetapi Eliezer anak Dodawa dari kota Maresa memberikan amaran kepada Raja Yosafat. Katanya, "Oleh sebab tuanku mengadakan hubungan persahabatan dengan Raja Ahazia, TUHAN akan memusnahkan apa yang telah tuanku bina." Kemudian kapal-kapal yang telah dibina itu musnah dan tidak dapat belayar sama sekali.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  2 Tawarikh 20 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel