Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Hakim-hakim 8 >> 

Kekalahan Orang Midian

1Selepas itu suku Efraim berkata kepada Gideon, "Mengapa engkau tidak memanggil kami ketika engkau berperang melawan orang Midian? Mengapa engkau memperlakukan kami demikian?" Demikianlah mereka bersungut-sungut terhadap Gideon.

2Tetapi Gideon berkata kepada mereka, "Perbuatanku ini tidaklah seberapa penting jika dibandingkan dengan perbuatan kamu. Bahkan sedikit yang dilakukan oleh orang Efraim lebih berharga daripada segala yang dilakukan oleh seluruh puak Abiezer.

3Dengan kuasa Allah kamu telah membunuh dua orang penguasa Midian itu, Oreb dan Zeeb. Apalah jasaku jika dibandingkan dengan perbuatan kamu itu!" Setelah Gideon berkata begitu, mereka tidak marah lagi.

4Pada masa itu Gideon bersama dengan tiga ratus orang anak buahnya telah sampai ke Sungai Yordan dan telah menyeberanginya. Mereka letih sekali, tetapi mereka masih terus mengejar musuh.

5Kemudian mereka sampai di Sukot. Di situ Gideon berkata kepada penduduk kota Sukot, "Tolonglah beri anak buahku sedikit makanan. Mereka letih sekali, sedangkan kami masih mengejar Zebah dan Salmuna, raja-raja Midian itu."

6Tetapi pemimpin-pemimpin kota Sukot berkata, "Mengapa kami harus memberi tenteramu makanan? Kamu belum lagi menangkap Zebah dan Salmuna!"

7Oleh itu Gideon berkata, "Baiklah! Apabila TUHAN menyerahkan Zebah dan Salmuna kepadaku, aku akan mencambuk tubuh kamu dengan duri dan onak dari padang gurun!"

8Kemudian Gideon meneruskan perjalanannya ke Penuel. Di Penuel dia minta tolong kepada penduduk kota itu, tetapi jawapan penduduk kota itu sama seperti jawapan orang Sukot.

9Oleh itu Gideon berkata kepada mereka, "Aku akan pulang dengan selamat. Pada masa itu aku akan merobohkan menara kota ini!"

10Pada masa itu, Zebah dan Salmuna berada di Karkor dengan seluruh tentera mereka. Daripada segenap tentera orang padang gurun itu, cuma kira-kira 15,000 orang yang masih ada; 120,000 orang telah dibunuh.

11Gideon menyusuri sempadan padang gurun di sebelah timur Nobah dan Yogbeha, lalu menyerang tentera musuh secara mendadak.

12Zebah dan Salmuna, dua orang raja Midian itu lari. Tetapi Gideon mengejar dan menangkap mereka, sehingga seluruh tentera musuh cemas.

13Selepas itu Gideon kembali dari peperangan melalui Genting Heres.

14Di tengah jalan Gideon menangkap seorang pemuda dari Sukot lalu memintanya memberikan nama para pemimpin kota itu. Pemuda itu menuliskan nama 77 orang pemimpin kota Sukot untuk Gideon.

15Selepas itu Gideon pergi kepada para pemimpin itu dan berkata, "Ingatkah kamu bahawa kamu tidak mahu menolong aku dahulu? Kamu tidak mahu memberikan makanan kepada askar-askarku yang letih, kerana kamu berkata aku belum menangkap Zebah dan Salmuna. Nah, inilah mereka!"

16Kemudian Gideon mengambil duri dan onak dari padang gurun, lalu menggunakannya untuk menghukum para pemimpin Sukot.

17Gideon juga merobohkan menara kota Penuel dan membunuh semua orang lelaki di kota itu.

18Selepas itu Gideon bertanya kepada Zebah dan Salmuna, "Bagaimanakah rupa orang yang kamu bunuh di Tabor itu?" Mereka menjawab, "Rupa mereka mirip kamu, seperti keturunan bangsawan."

19Gideon berkata, "Mereka saudaraku, anak-anak ibuku. Aku bersumpah bahawa jika kamu tidak membunuh mereka, aku pun tidak akan membunuh kamu."

20Kemudian Gideon berkata kepada Yeter, anak sulungnya yang lelaki, "Bunuhlah mereka!" Tetapi Yeter tidak menghunus pedangnya. Dia takut kerana dia masih muda.

21Zebah dan Salmuna berkata kepada Gideon, "Ayuh, kalau engkau lelaki, bunuhlah kami dengan tanganmu sendiri!" Oleh itu Gideon membunuh mereka, lalu mengambil semua perhiasan yang ada pada leher unta mereka.

22Selepas itu umat Israel berkata kepada Gideon, "Tuan telah menyelamatkan kami daripada kekuasaan orang Midian. Sekarang hendaklah tuan menjadi pemimpin kami -- tuan dan keturunan tuan."

23Gideon menjawab, "Saya tidak akan menjadi pemimpin kamu; anak saya pun tidak. TUHAN yang menjadi pemimpin kamu."

24Tetapi Gideon berkata lagi, "Hanya satu permintaan saya. Hendaklah kamu memberi saya anting-anting yang telah kamu rampas daripada musuh." (Orang Midian seperti bangsa-bangsa lain yang tinggal di padang gurun, semuanya beranting-anting emas.)

25Umat Israel menjawab, "Kami rela memberikannya kepada tuan." Mereka membentangkan sehelai kain, lalu tiap-tiap orang meletakkan anting-anting yang telah dirampasnya di situ.

26Semua anting-anting emas yang diberikan kepada Gideon pada masa itu beratnya hampir dua puluh kilogram, tidak termasuk perhiasan-perhiasan, kalung, dan kain ungu yang dipakai oleh raja-raja Midian, serta rantai yang dikenakan pada leher unta mereka.

27Daripada emas itu, Gideon membuat sebuah patung berhala, lalu meletakkannya di Ofra, kampung halamannya. Segenap umat Israel pergi ke sana untuk menyembah berhala itu, sehingga mereka tidak lagi menyembah Allah. Perkara itu menjadi perangkap bagi Gideon dan keluarganya.

28Demikianlah orang Midian dikalahkan oleh umat Israel. Orang Midian tidak lagi menjadi ancaman kepada mereka. Negeri itu aman selama empat puluh tahun, selama Gideon masih hidup.

Gideon Meninggal

29Selepas peperangan itu, Gideon balik ke kampung halamannya dan tinggal di sana.

30Dia mempunyai tujuh puluh orang anak lelaki kerana isterinya banyak.

31Dia juga mempunyai seorang gundik di Sikhem. Gundik itu melahirkan seorang anak lelaki untuknya yang dinamakannya Abimelekh.

32Gideon anak Yoas meninggal ketika umurnya sangat lanjut. Dia dikebumikan di kuburan bapanya, Yoas. Kuburan itu terletak di Ofra, kota puak Abiezer.

33Setelah Gideon meninggal, umat Israel tidak lagi setia kepada Allah. Mereka menyembah dewa-dewa Baal dan menjadikan Baal-Berit dewa mereka.

34Mereka tidak lagi beribadat kepada TUHAN, Allah mereka, yang telah membebaskan mereka daripada kekuasaan semua musuh di sekeliling mereka.

35Mereka juga tidak membalas budi keluarga Gideon bagi segala jasa yang telah dilakukannya untuk umat Israel.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Hakim-hakim 8 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel