Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Kejadian 3 >> 

Manusia Melawan Allah

1Ular ialah binatang yang paling licik antara semua binatang yang dijadikan oleh TUHAN Allah. Ular itu bertanya kepada perempuan itu, "Benarkah Allah melarang kamu makan buah daripada sebarang pokok di taman ini?"

2"Kami boleh makan buah daripada setiap pokok di taman ini," jawab perempuan itu,

3"kecuali buah pokok yang ada di tengah-tengah taman. Allah melarang kami makan buah pokok itu ataupun menyentuhnya; jika kami berbuat demikian, kami akan mati."

4Ular itu menjawab, "Itu tidak benar; kamu tidak akan mati.

5Allah berfirman demikian kerana Dia tahu bahawa jika kamu makan buah itu, fikiran kamu akan terbuka; kamu akan menjadi seperti Allah dan mengetahui apa yang baik dan apa yang jahat."

6Perempuan itu nampak bahawa pokok itu cantik dan buahnya enak dimakan. Dia berfikir betapa baiknya jika dia menjadi bijaksana. Oleh itu dia memetik buah pokok itu dan memakannya. Dia juga memberikan buah pokok itu kepada suaminya, dan suaminya pun makan buah itu.

7Sebaik sahaja mereka makan buah itu, fikiran mereka terbuka dan mereka sedar bahawa mereka bertelanjang. Oleh itu mereka merangkaikan daun ara, lalu menutupi tubuh mereka dengan rangkaian daun itu.

8Pada petang itu, mereka mendengar TUHAN Allah berjalan di taman, lalu mereka bersembunyi di antara pokok-pokok supaya tidak dapat dilihat-Nya.

9Tetapi TUHAN Allah memanggil lelaki itu, "Di manakah engkau?"

10Lelaki itu menjawab, "Aku mendengar Engkau di taman; aku takut, lalu aku bersembunyi kerana aku bertelanjang."

11"Siapa yang memberitahukan bahawa engkau bertelanjang?" tanya Allah. "Adakah engkau makan buah yang terlarang itu? Aku sudah melarang engkau makan buah itu."

12Lelaki itu menjawab, "Perempuan yang Engkau jadikan temanku memberikan buah itu kepadaku, lalu aku memakannya."

13TUHAN Allah bertanya kepada perempuan itu, "Mengapa engkau melakukan hal itu?" Perempuan itu menjawab, "Ular menipu aku sehingga aku makan buah itu."

Allah Menjatuhkan Hukuman

14Kemudian TUHAN Allah berfirman kepada ular itu, "Terkutuklah engkau kerana perbuatan itu; antara semua binatang, hanya engkau yang harus menanggung kutukan ini. Mulai sekarang engkau akan menjalar dan makan debu seumur hidupmu.

15Engkau dan perempuan itu akan saling membenci; keturunannya dan keturunanmu akan sentiasa bermusuhan. Keturunannya akan meremukkan kepalamu dan engkau akan mematuk tumit mereka."

16TUHAN Allah berfirman kepada perempuan itu, "Aku akan menambah kesusahanmu semasa engkau hamil, dan juga kesakitanmu pada masa engkau bersalin. Walaupun demikian, engkau akan tetap berahi kepada suamimu, namun engkau akan tunduk kepadanya."

17Kemudian TUHAN Allah berfirman kepada lelaki itu, "Engkau mendengarkan kata-kata isterimu, lalu makan buah yang Aku larang engkau makan. Oleh sebab perbuatanmu itu, terkutuklah tanah. Engkau mesti bekerja keras seumur hidupmu agar tanah ini dapat menghasilkan makanan yang cukup.

18Tanah akan menghasilkan semak dan duri; tumbuh-tumbuhan liar akan menjadi makananmu.

19Engkau akan bekerja keras dan berpeluh-peluh untuk membuat tanah ini menghasilkan sesuatu, sampai engkau kembali ke tanah kerana engkau dibentuk daripada tanah. Engkau dijadikan daripada tanah, dan engkau akan kembali ke tanah."

20Adam menamakan isterinya Hawa, kerana perempuan itu menjadi ibu segenap umat manusia.

21Kemudian TUHAN Allah membuat pakaian daripada kulit binatang untuk Adam dan isterinya, lalu mengenakan pakaian itu pada mereka.

Adam dan Hawa Diusir dari Taman Eden

22TUHAN Allah berfirman, "Sekarang manusia telah menjadi seperti Kita dan mempunyai pengetahuan tentang apa yang baik dan apa yang jahat. Oleh sebab itu manusia mesti dilarang makan buah daripada pokok yang memberi hidup, supaya manusia tidak hidup selama-lamanya."

23Maka TUHAN Allah mengusir manusia itu keluar dari Taman Eden dan menyuruhnya mengusahakan tanah, yang daripadanya manusia dibentuk.

24Kemudian di sebelah timur taman itu, TUHAN Allah menempatkan kerub, dan sebilah pedang berapi yang berpusing ke segala arah, untuk mengawal jalan ke pokok yang memberi hidup. Dengan demikian seorang pun tidak dapat masuk dan menghampiri pokok itu.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Kejadian 3 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel