Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Keluaran 23 >> 

Keadilan dan Kejujuran

1"Jangan sebarkan berita dusta, dan jangan tolong orang yang bersalah dengan memberikan kesaksian palsu.

2Jangan terikut-ikut kebanyakan orang apabila mereka melakukan kejahatan atau memutarbalikkan keadilan dengan memberikan kesaksian yang tidak benar.

3Jangan berat sebelah apabila seorang miskin diadili di mahkamah.

4Jika kebetulan kamu menjumpai lembu atau keldai musuh kamu terlepas, kembalikanlah binatang itu kepada pemiliknya.

5Jika keldai musuh kamu jatuh kerana bebannya berat, tolonglah dia menegakkan keldai itu; jangan pergi tanpa memberikan pertolongan.

6Jangan rampas keadilan daripada orang miskin yang datang mengadu di mahkamah.

7Jangan buat tuduhan palsu, dan jangan sebabkan orang yang tidak bersalah dihukum mati, kerana Aku akan menghukum orang yang melakukan kejahatan seperti itu.

8Jangan terima rasuah, kerana rasuah membutakan orang terhadap apa yang benar dan merugikan orang yang tidak bersalah.

9Jangan berlaku kejam terhadap orang asing; kamu tahu rasanya menjadi orang asing, kerana dahulu kamu pun orang asing di Mesir."

Tahun Ketujuh dan Hari Ketujuh

10"Selama enam tahun kamu boleh menanami ladang dan mengumpulkan apa yang dihasilkannya.

11Tetapi pada tahun yang ketujuh tanah itu harus dibiarkan. Sepanjang tahun itu kamu tidak boleh mengumpulkan hasil apa sahaja yang tumbuh dengan sendirinya di ladang kamu. Biarlah orang miskin mengambilnya, dan sisanya untuk binatang liar. Buatlah hal yang sama pada ladang anggur dan pokok zaitun kamu.

12Bekerjalah selama enam hari dalam seminggu, tetapi pada hari yang ketujuh kamu tidak boleh bekerja, supaya abdi kamu serta orang asing yang bekerja untuk kamu, dan juga ternakan kamu dapat berehat.

13Dengarkanlah segala firman yang telah Aku, TUHAN sampaikan kepada kamu. Jangan berdoa kepada tuhan-tuhan lain; bahkan menyebut nama tuhan-tuhan itu pun tidak boleh."

Tiga Perayaan Besar

14"Tiap-tiap tahun, adakanlah tiga perayaan untuk menghormati Aku.

15Dalam bulan Abib, adakanlah Perayaan Roti Tidak Beragi menurut cara yang telah Aku perintahkan, kerana dalam bulan itu kamu meninggalkan Mesir. Jangan makan roti yang beragi sepanjang tujuh hari perayaan itu. Setiap kali kamu datang beribadat kepada-Ku, kamu mesti membawa persembahan.

16Rayakanlah Perayaan Menuai dengan mempersembahkan hasil tanaman yang mula-mula dituai. Rayakanlah Perayaan Pondok Daun pada musim luruh, apabila kamu mengumpulkan hasil ladang anggur dan hasil kebun buah-buahan.

17Tiap-tiap tahun, pada masa tiga perayaan itu, semua orang lelaki mesti datang beribadat kepada-Ku, TUHAN, Allah kamu.

18Jangan persembahkan roti yang beragi apabila kamu mempersembahkan binatang sebagai korban kepada-Ku. Lemak binatang yang dipersembahkan kepada-Ku selama perayaan-perayaan ini tidak boleh ditinggalkan sehingga esok pagi.

19Tiap-tiap tahun, bawalah hasil pertama yang terbaik daripada tanaman kamu, ke rumah TUHAN, Allah kamu. Jangan masak anak domba atau anak kambing di dalam air susu induknya."

Janji dan Perintah

20"Aku akan mengutus malaikat-Ku mendahului kamu untuk melindungi kamu dalam perjalanan dan membawa kamu ke tempat yang telah Aku sediakan.

21Dengarkanlah dan taatilah dia. Jangan berontak terhadap dia kerana dia utusan-Ku. Dia tidak akan mengampunkan pemberontakan yang demikian.

22Tetapi jika kamu taat kepadanya dan melakukan segala perintah-Ku, Aku akan berperang menentang semua musuh kamu.

23Malaikat-Ku akan mendahului kamu serta membawa kamu ke negeri orang Amori, Het, Feris, Kanaan, Hewi, dan Yebusi; Aku akan membinasakan mereka.

24Jangan sujud atau sembah kepada tuhan-tuhan mereka. Jangan tiru cara mereka bersembahyang. Hancurkanlah tuhan-tuhan mereka dan patahkan tiang-tiang batu yang digunakan mereka untuk beribadat.

25Jika kamu menyembah Aku TUHAN, Allah kamu, Aku akan memberkati kamu dengan makanan serta minuman, dan menghapuskan segala penyakit kamu.

26Di negeri kamu, tiada perempuan yang akan keguguran atau mandul. Aku akan mengurniakan usia panjang kepada kamu.

27Aku akan menjadikan bangsa yang menentang kamu takut kepada-Ku. Aku akan mendatangkan kekeliruan antara bangsa yang kamu lawan, dan Aku akan menyebabkan semua musuh berpaling dan lari daripada kamu.

28Aku akan mengacau-bilaukan musuh apabila kamu mara; Aku akan mengusir orang Hewi, Kanaan, dan Het.

29Aku tidak akan mengusir mereka semua dalam masa satu tahun, kerana hal ini akan menjadikan tanah itu terbiar dan binatang buas akan terlalu banyak.

30Aku akan mengusir mereka sedikit demi sedikit sehingga kamu menjadi cukup banyak untuk mendiami tanah itu.

31Aku akan menetapkan sempadan negeri kamu dari Teluk Akaba ke Sungai Efrat, dan dari Laut Tengah hingga ke padang gurun. Aku akan memberi kamu kuasa terhadap penduduk negeri itu, dan kamu akan mengusir mereka apabila kamu mara.

32Jangan buat perjanjian dengan mereka ataupun dengan tuhan-tuhan mereka.

33Jangan benarkan mereka tinggal di negeri kamu, supaya kamu tidak menyembah tuhan-tuhan mereka dan berdosa terhadap Aku. Jika kamu menyembah tuhan-tuhan mereka, kamu akan jatuh ke dalam perangkap maut."


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Keluaran 23 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel