Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Keluaran 25 >> 

Persembahan untuk Khemah TUHAN

1TUHAN berfirman kepada Musa,

2"Suruhlah umat Israel membawa persembahan kepada-Ku. Terimalah apa sahaja persembahan daripada setiap orang yang ingin memberi.

3Persembahan itu boleh berupa: emas, perak, dan gangsa;

4kain linen halus, kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah; kain daripada bulu kambing;

5kulit domba jantan yang dicelup merah; kulit halus; kayu akasia;

6minyak untuk pelita; rempah-ratus untuk minyak upacara dan untuk kemenyan yang harum;

7batu sardis dan berjenis-jenis permata lain untuk ditatah pada efod dan penutup dada Imam Agung.

8Suruhlah umat itu membina sebuah khemah suci untuk-Ku supaya Aku dapat tinggal bersama-sama mereka.

9Khemah itu dan semua peralatannya harus dibuat menurut pelan yang akan Aku tunjukkan kepadamu."

Tabut Perjanjian

10"Buatlah sebuah Tabut daripada kayu akasia, yang berukuran 110 sentimeter panjang, 66 sentimeter lebar dan 66 sentimeter tinggi.

11Bahagian dalam dan luar Tabut itu harus disaluti emas tulen dan bingkainya dibuat daripada emas.

12Buatlah empat gelang emas dan pasangkan gelang itu pada keempat-empat sudut Tabut; dua gelang pada satu sisi dan dua gelang pada sisi sebelah.

13Buatlah juga kayu pengusung daripada kayu akasia dan salutlah kayu pengusung itu dengan emas,

14lalu masukkan kayu pengusung itu ke dalam gelang pada setiap sisi Tabut itu.

15Kayu pengusung harus tetap ada dalam gelang-gelang itu, dan tidak boleh dikeluarkan.

16Kemudian kedua-dua batu tulis yang akan Aku berikan kepadamu harus diletakkan di dalam Tabut; batu-batu itu bertuliskan perintah itu.

17Buatlah penutup Tabut itu daripada emas tulen; hendaklah penutup itu berukuran 110 sentimeter panjang, dan 66 sentimeter lebar.

18Buatlah juga dua kerub daripada emas tempaan,

19satu pada setiap hujung penutup Tabut itu. Kedua-dua kerub itu harus dijadikan satu bahagian dengan penutup,

20dan dibuat saling berhadapan di atas penutup, dengan muka memandang ke bawah, dan dengan sayap yang terbentang untuk menutupi penutup itu.

21Letakkan kedua-dua batu tulis itu di dalam Tabut, lalu tutuplah Tabut itu dengan penutupnya.

22Aku akan bertemu dengan engkau di sana. Dari atas penutup itu, di antara dua kerub itu, Aku akan memberi engkau segala hukum-Ku untuk umat Israel."

Meja Tempat Roti yang Dipersembahkan kepada Allah

23"Buatlah sebuah meja daripada kayu akasia; meja itu hendaklah berukuran 88 sentimeter panjang, 44 sentimeter lebar dan 66 sentimeter tinggi.

24Salutlah meja itu dengan emas tulen dan pasang bingkai emas pada sekelilingnya.

25Buatlah tepi selebar 7.5 sentimeter dan buat juga bingkai emas pada sekeliling tepi itu.

26Buatlah empat gelang daripada emas dan pasanglah gelang-gelang itu pada keempat-empat sudut, tempat kaki meja.

27Gelang-gelang untuk menyangga kayu pengusung harus dipasang dekat tepi meja.

28Kayu pengusung itu harus dibuat daripada kayu akasia dan disaluti emas.

29Buatlah pinggan, cawan, kendi, dan mangkuk untuk digunakan bagi korban wain. Kesemua alat itu harus dibuat daripada emas tulen.

30Meja itu harus diletakkan di hadapan Tabut Perjanjian, dan di atas meja itu harus sentiasa diletakkan roti yang dipersembahkan kepada-Ku."

Kaki Pelita

31"Buatlah sebuah kaki pelita daripada emas tulen. Buatlah alas dan batangnya daripada emas tempaan; bunga-bunga hiasan, termasuk kuncup dan kelopaknya hendaklah seiras dengan alas dan batangnya.

32Enam cabang harus dibuat pada batang kaki pelita itu; tiga cabang pada setiap sisinya.

33Setiap cabangnya harus dihias dengan hiasan berupa tiga kuntum bunga badam dengan kuncup dan kelopaknya.

34Batang kaki pelita itu harus dihias dengan empat kuntum bunga hiasan yang berupa bunga badam, dengan kuncup dan kelopaknya.

35Satu kuncup harus dibuat di bawah setiap pasang cabang itu.

36Kuncup-kuncup, cabang-cabang, dan kaki pelita itu hendaklah dibuat daripada sekeping emas tempaan tulen.

37Buatlah tujuh buah pelita bagi kaki pelita itu dan pasanglah pelita-pelita itu dengan begitu rupa agar cahayanya memancar ke hadapan.

38Buatlah penyepit untuk membersihkan sumbu pelita, dan juga dulangnya daripada emas tulen.

39Gunakanlah 35 kilogram emas tulen untuk membuat kaki pelita itu dan segala peralatannya.

40Berhati-hatilah membuat semuanya menurut pelan yang telah Aku tunjukkan kepadamu di atas gunung ini."


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Keluaran 25 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel