Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Keluaran 40 >> 

Memasang dan Mentahbiskan Khemah TUHAN

1TUHAN berfirman kepada Musa,

2"Pada hari pertama bulan pertama, pasanglah Khemah-Ku.

3Letakkan Tabut Perjanjian yang mengandungi Sepuluh Hukum di dalam Khemah itu dan pasanglah tirai di depan Tabut.

4Bawalah meja ke dalam dan letakkan peralatan di atas meja itu. Bawalah juga kaki pelita dan letakkan pelita di atasnya.

5Letakkan mazbah emas tempat membakar kemenyan di hadapan Tabut Perjanjian, dan gantungkan tirai di pintu masuk Khemah.

6Letakkan mazbah tempat membakar korban di depan Khemah.

7Letakkan besen di antara Khemah dan mazbah, lalu isikan besen itu dengan air.

8Pasanglah pagar di sekeliling Khemah dan gantungkan tirai di pintu pagar.

9Kemudian tahbiskanlah Khemah itu dan segala peralatannya dengan menyapukannya dengan minyak upacara, maka Khemah itu akan menjadi suci.

10Selepas itu tahbiskanlah mazbah serta segala peralatannya dengan menyapukannya dengan minyak upacara, maka semuanya akan menjadi benar-benar suci.

11Tahbiskanlah juga besen air dan alasnya dengan cara yang sama.

12Kemudian bawalah Harun dan anak-anaknya ke pintu Khemah TUHAN, dan lakukan upacara pembasuhan diri bagi mereka.

13Kenakanlah pakaian imam pada Harun dan sapulah dia dengan minyak. Dengan cara itu, tahbiskanlah dia agar dia mengabdikan diri kepada-Ku sebagai imam.

14Suruhlah anak-anak Harun maju mendekat, lalu kenakanlah baju labuh pada mereka.

15Kemudian sapulah mereka dengan minyak, sebagaimana engkau menyapukan bapa mereka dengan minyak, agar mereka mengabdikan diri kepada-Ku sebagai imam. Upacara menyapukan minyak itu akan menjadikan suku mereka imam sehingga turun-temurun."

16Musa melakukan segala-galanya sebagaimana yang telah diperintahkan TUHAN kepadanya.

17Oleh itu pada hari pertama bulan pertama, tahun kedua selepas mereka meninggalkan Mesir, Khemah TUHAN dipasang.

18Musa meletakkan alas-alasnya, mendirikan rangka-rangkanya, menyambung kayu-kayu lintangnya, dan menegakkan tiang-tiangnya.

19Dia membentangkan penutup Khemah TUHAN, lalu menutupinya dengan penutup lain, sebagaimana yang telah diperintahkan TUHAN.

20Kemudian Musa mengambil dua buah batu tulis itu dan meletakkannya di dalam Tabut Perjanjian. Dia memasukkan kayu pengusung Tabut ke dalam gelang-gelangnya, lalu menutup Tabut dengan penutupnya.

21Lalu dia meletakkan Tabut itu di dalam Khemah TUHAN dan menggantungkan tirai pelindung di depan Tabut Perjanjian, sesuai dengan perintah TUHAN kepadanya.

22Dia meletakkan meja di dalam Khemah TUHAN, di bahagian utara, sebelah luar tirai itu,

23dan meletakkan roti yang dipersembahkan kepada TUHAN di atas meja itu, sebagaimana yang diperintahkan TUHAN.

24Musa meletakkan kaki pelita di dalam Khemah TUHAN, di bahagian selatan, berhadapan dengan meja itu.

25Di situ, di hadirat TUHAN, dia menyalakan pelita itu, sebagaimana yang diperintahkan TUHAN.

26Dia meletakkan mazbah emas di dalam Khemah TUHAN, di hadapan tirai,

27lalu membakar kemenyan yang harum, sebagaimana yang diperintahkan TUHAN.

28Dia menggantungkan tirai di pintu masuk Khemah TUHAN,

29dan di situ, di depan tirai itu, dia meletakkan mazbah tempat membakar korban. Di atas mazbah itu dia mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN, seperti yang diperintahkan TUHAN.

30Dia meletakkan besen di antara Khemah dan mazbah, lalu mengisinya dengan air.

31Musa, Harun dan anak-anaknya membasuh tangan dan kaki di situ,

32bila-bila sahaja mereka masuk ke dalam Khemah TUHAN atau mendekati mazbah, sebagaimana yang diperintahkan TUHAN.

33Musa memasang pagar di sekeliling Khemah TUHAN dan mazbah itu, serta menggantungkan tirai di pintu pagar. Demikianlah Musa menyelesaikan segala pekerjaan itu.

Awan Meliputi Khemah TUHAN

34Kemudian turunlah awan meliputi Khemah TUHAN, dan Khemah itu penuh dengan cahaya hadirat TUHAN.

35Oleh sebab itu, Musa tidak dapat masuk ke dalam Khemah TUHAN.

36Orang Israel memindahkan perkhemahan mereka ke tempat lain hanya apabila awan itu naik dari atas Khemah TUHAN.

37Selama awan itu tidak naik, mereka tidak memindahkan perkhemahan mereka.

38Selama pengembaraan orang Israel, mereka dapat melihat awan TUHAN di atas Khemah itu pada siang hari, dan api menyala-nyala di dalam awan itu pada malam hari.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Keluaran 40 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel