Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Kolose 2 >> 

1Aku ingin kamu tahu bahawa aku bekerja keras untuk kamu dan untuk mereka yang di Laodikia, serta untuk semua orang lain yang belum mengenal aku.

2Aku berbuat demikian supaya kamu dan mereka berteguh hati, dan juga bersatu kerana saling mengasihi. Dengan demikian kamu dan mereka sungguh-sungguh meyakini dan mengerti serta mengenal rahsia Allah, iaitu Kristus sendiri.

3Kristuslah yang menyingkap segala kebijaksanaan dan pengetahuan Allah yang diibaratkan sebagai harta tersembunyi.

4Aku memberitahu kamu hal ini supaya tidak disesatkan oleh hujah yang menarik dan kedengarannya betul.

5Meskipun aku tidak bersama-sama kamu, anggaplah aku hadir di kalangan kamu. Aku gembira melihat kamu sehati dan percaya kepada Kristus dengan teguh.

Kehidupan yang Sempurna

6Kamu sudah menerima Kristus Yesus sebagai Tuhan. Oleh itu hendaklah kamu hidup bersatu dengan Dia.

7Hendaklah kamu berakar umbi dalam Dia. Binalah hidup kamu, dengan Kristus sebagai asasnya. Hendaklah kamu semakin percaya kepada Kristus, seperti yang sudah diajarkan kepada kamu. Hendaklah hati kamu penuh kesyukuran.

8Berwaspadalah supaya tidak seorang pun memperhamba kamu dengan falsafah manusia, yang tidak berguna dan menyesatkan. Ajaran itu bukan daripada Kristus, melainkan ajaran manusia yang diturunkan dari generasi ke generasi, dan ajaran daripada roh-roh yang menguasai alam semesta.

9Seluruh keperibadian Allah juga terdapat dalam diri Kristus, pada waktu Dia hidup di bumi sebagai manusia.

10Kerana kamu hidup bersatu dengan Kristus, kamu juga diberikan hidup sejati. Semua roh yang berkuasa dan yang memerintah berada di bawah kekuasaan Kristus.

11Kerana bersatu dengan Kristus, kamu sudah disunat, bukan dengan sunat yang dilakukan oleh manusia, tetapi dengan sunat yang dilakukan oleh Kristus, yang membebaskan kamu daripada kuasa keinginan yang berdosa.

12Hal itu demikian kerana pada waktu kamu dibaptis, kamu dikubur bersama-sama Kristus. Dengan baptisan itu juga kamu dihidupkan kembali bersama-sama Kristus, kerana kamu percaya kepada kuasa Allah yang telah membangkitkan Kristus daripada kematian.

13Dahulu kamu sudah mati secara rohani kerana kamu berdosa, dan juga kerana kamu bukan orang Yahudi dan tidak mengenal Taurat Musa. Tetapi sekarang Allah telah menghidupkan kamu bersama-sama Kristus. Allah telah mengampunkan semua dosa kita.

14Dia telah membatalkan surat hutang kita yang mengancam kita dengan syarat-syarat berat. Dia menghapuskan semuanya dengan menyalibkan surat hutang itu di kayu salib.

15Di kayu salib itu Kristus membebaskan diri daripada kuasa roh-roh yang berkuasa dan yang memerintah. Dia menjadikan mereka tontonan umum apabila Dia menggiring mereka sebagai tawanan dalam perarakan kemenangan-Nya.

16Oleh itu janganlah biarkan orang membuat peraturan tentang apa yang kamu makan atau minum, atau tentang hari-hari perayaan agama, atau perayaan bulan baru, ataupun tentang hari Sabat.

17Semua peraturan itu cuma bayangan daripada hal-hal yang akan datang, tetapi kenyataan daripada hal-hal itu ialah Kristus!

18Janganlah biarkan diri kamu ditipu oleh sesiapa yang pura-pura rendah hati dan yang menyembah malaikat. Orang seperti itu sombong kerana fikiran duniawi, dan mereka bangga kerana melihat penglihatan tertentu.

19Dia tidak lagi bergantung kepada Kristus yang menjadi kepala kepada jemaah, iaitu tubuh-Nya. Di bawah pimpinan Kristus seluruh tubuh itu dipelihara, dan juga disatukan oleh sendi dan urat, serta membesar menurut kehendak Allah.

Mati dan Hidup Bersama-sama Kristus

20Kamu sudah mati bersama-sama Kristus, dan sudah dibebaskan daripada roh-roh yang menguasai alam semesta. Tetapi mengapakah kamu hidup seperti orang yang masih dikuasai dunia ini? Mengapakah kamu menurut peraturan seperti berikut,

21"Jangan jamah ini," "Jangan kecap itu," "Jangan sentuh itu"?

22Semua itu tidak berguna lagi, sebaik sahaja dipatuhi. Semua itu hanya peraturan dan ajaran manusia.

23Memang peraturan-peraturan itu kelihatannya bijaksana, dengan desakan supaya orang menyembah malaikat, menyeksa diri, dan berpura-pura merendahkan diri. Tetapi semua peraturan itu tidak berguna untuk mengendalikan nafsu manusia.


  Share Facebook  |  Share Twitter

Download Audio MP3 (Kolose 2):
Mobile (Low Quality) - CD (High Quality)

 <<  Kolose 2 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel