Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Lukas 17 >> 

Tentang Dosa

1Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, "Hal-hal yang menyebabkan orang berbuat dosa pasti ada, tetapi malanglah orang yang menyebabkan hal-hal itu berlaku!

2Lebih baik jika batu kisaran diikat pada lehernya, lalu dia dibuang ke dalam laut, daripada dia menyebabkan salah seorang yang lemah imannya berbuat dosa.

3Berwaspadalah! Jika saudara kamu berdosa, tegurlah dia. Jika dia bertaubat, ampunilah dia.

4Jika dia berdosa terhadap kamu tujuh kali dalam sehari dan tiap-tiap kali dia datang kepada kamu serta berkata, ‘Saya minta ampun,’ kamu harus mengampuninya."

Tentang Iman

5Rasul-rasul Yesus berkata kepada Yesus, "Tuhan, teguhkanlah iman kami."

6Tuhan menjawab, "Jika kamu mempunyai iman sebesar biji sawi, kamu dapat berkata kepada pokok ara ini, ‘Tercabutlah dan tertanamlah di laut.’ Pasti pokok itu akan menurut perintah kamu."

Kewajipan Seorang Hamba

7"Andaikan seorang daripada kamu mempunyai seorang hamba yang sedang membajak atau menggembalakan domba. Apabila hamba itu balik dari ladang, adakah kamu berkata kepadanya, ‘Marilah dan makanlah’?

8Tentu tidak! Sebaliknya kamu akan berkata kepadanya, ‘Siapkanlah makananku. Kenakan pakaian yang bersih dan layanilah aku sementara aku makan dan minum, setelah itu barulah kamu makan.’

9Seorang hamba tidak perlu dipuji apabila dia menurut perintah tuannya, bukan?

10Demikian juga kamu. Apabila kamu sudah melakukan segala yang diperintahkan, berkatalah, ‘Kami hanya hamba biasa; kami hanya melakukan kewajipan.’"

Yesus Menyembuhkan Sepuluh Orang Berpenyakit Kulit yang Mengerikan

11Dalam perjalanan ke Yerusalem, Yesus melalui sempadan Samaria dan Galilea.

12Apabila Dia memasuki sebuah pekan, sepuluh orang berpenyakit kulit yang mengerikan datang menjumpai Dia. Mereka berdiri dari jauh

13dan berseru, "Yesus! Tuan! Kasihanilah kami!"

14Yesus melihat mereka lalu berkata, "Pergilah dan mintalah imam mengesahkan kesembuhan kamu." Dalam perjalanan ke sana mereka sembuh.

15Ketika seorang daripada mereka sedar bahawa dia sudah sembuh, dia berpatah balik sambil memuji Allah dengan suara yang kuat.

16Dia sujud di hadapan Yesus dan mengucapkan terima kasih kepada-Nya. Orang itu orang Samaria.

17Yesus berkata, "Bukankah sepuluh orang yang disembuhkan? Di manakah yang sembilan orang lagi?

18Mengapakah orang bangsa asing ini sahaja yang kembali untuk bersyukur kepada Allah?"

19Lalu Yesus berkata kepada orang itu, "Bangunlah dan pergilah; kamu sembuh kerana kamu percaya kepada-Ku."

Allah Datang untuk Memerintah

20Beberapa orang Farisi bertanya kepada Yesus, "Bilakah Allah akan datang untuk memerintah?" Yesus menjawab, "Pemerintahan Allah tidak bermula dengan tanda-tanda yang dapat dilihat,

21sehingga orang dapat berkata, ‘Lihatlah di sini!’ atau ‘Lihatlah di sana!’; kerana Allah sudah mula memerintah antara kamu."

22Setelah itu Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, "Masanya akan tiba apabila kamu berharap dapat melihat zaman Anak Manusia, tetapi kamu tidak dapat melihatnya.

23Nanti orang akan berkata kepada kamu, ‘Lihat, di situ!’ atau, ‘Lihat, di sini!’ Jangan kamu keluar mencarinya.

24Sebagaimana kilat memancar di langit lalu menerangi langit dari hujung ke hujung, demikian juga keadaan Anak Manusia pada masa itu.

25Tetapi terlebih dahulu Dia mesti mengalami banyak penderitaan dan tidak diterima oleh orang zaman ini.

26Seperti pada zaman Nabi Nuh dahulu, demikian juga halnya pada masa Anak Manusia kelak.

27Orang makan dan minum; lelaki dan perempuan berkahwin sehingga pada hari Nabi Nuh masuk ke dalam bahtera. Lalu air bah datang dan membinasakan mereka semua.

28Juga seperti pada zaman Lot; orang makan minum, berjual beli, bercucuk tanam, dan membina rumah.

29Tetapi pada hari Lot meninggalkan Sodom, api dan belerang turun dari langit dan membinasakan mereka semua.

30Demikianlah keadaannya pada hari Anak Manusia menampakkan diri.

31Pada hari itu, orang yang di bumbung rumah, janganlah turun untuk mengambil barang di dalam rumah. Begitu juga orang yang di ladang, janganlah balik ke rumah.

32Ingatlah akan apa yang sudah berlaku terhadap isteri Lot!

33Sesiapa yang berusaha mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup yang sejati, tetapi sesiapa yang mengorbankan hidupnya akan menyelamatkannya.

34Percayalah, pada malam itu dua orang sedang tidur di atas sebuah katil; seorang akan dibawa dan seorang lagi ditinggalkan.

35Dua orang wanita sedang menggiling gandum; seorang akan dibawa dan seorang lagi ditinggalkan.

36[Dua orang lelaki sedang di ladang; seorang akan dibawa dan seorang lagi ditinggalkan.]"

37Pengikut-pengikut Yesus bertanya, "Di mana, ya Tuhan?" Yesus menjawab, "Di tempat ada bangkai, di situ ada burung pemakan bangkai."


  Share Facebook  |  Share Twitter

Download Audio MP3 (Lukas 17):
Mobile (Low Quality) - CD (High Quality)

 <<  Lukas 17 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel