Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Matius 25 >> 

Perumpamaan tentang Sepuluh Orang Gadis

1"Pada masa itu Pemerintahan Allah seperti perumpamaan berikut. Sepuluh orang gadis keluar membawa pelita untuk menyambut pengantin lelaki.

2Lima orang daripada mereka kurang bijak, tetapi lima orang yang lain bijak.

3Lima orang gadis yang kurang bijak membawa pelita, tetapi tidak membawa minyak tambahan.

4Lima orang gadis yang bijak membawa pelita dan juga bekas yang penuh dengan minyak.

5Pengantin lelaki itu lambat datang, maka mengantuklah semua gadis itu lalu tertidur.

6Pada tengah malam, terdengar suara orang berseru, ‘Pengantin lelaki datang! Mari, sambutlah dia!’

7Sepuluh orang gadis itu bangun lalu memasang pelita.

8Lima orang gadis yang kurang bijak berkata kepada yang bijak, ‘Berilah kami sedikit minyak, kerana pelita kami hampir padam.’

9‘Tidak boleh!’ kata gadis-gadis yang bijak itu. ‘Minyak tidak cukup untuk kita semua. Pergilah ke kedai dan belilah minyak.’

10Oleh itu lima orang gadis yang kurang bijak itu pergi membeli minyak. Sementara mereka pergi, pengantin lelaki tiba. Kelima-lima orang gadis yang sudah siap itu masuk bersama-sama pengantin lelaki ke balai perjamuan, dan pintu pun ditutup.

11Kemudian gadis-gadis yang lain itu tiba. ‘Tuan, tuan,’ seru mereka, ‘bukalah pintu untuk kami.’

12Tetapi pengantin lelaki itu menjawab, ‘Aku tidak kenal kamu!’"

13Yesus mengakhiri perumpamaan-Nya dengan mengatakan, "Oleh itu, berjaga-jagalah kerana kamu tidak tahu hari ataupun waktunya."

Perumpamaan tentang Tiga Orang Hamba

14"Pada masa itu Pemerintahan Allah seperti perumpamaan berikut. Seorang lelaki hendak berangkat ke luar negeri. Dia memanggil hamba-hambanya lalu mempercayakan hartanya kepada mereka.

15Setiap orang hamba diberikannya bahagian menurut kebolehan masing-masing. Yang seorang diberikannya lima ribu keping wang emas, yang lain diberikannya dua ribu keping, dan yang seorang lagi diberikannya seribu keping. Lalu orang itu pun berangkat.

16Hamba yang menerima lima ribu keping wang emas segera pergi berniaga, lalu mendapat keuntungan sebanyak lima ribu keping wang emas.

17Hamba yang menerima dua ribu keping wang emas, juga mendapat keuntungan sebanyak dua ribu keping wang emas.

18Tetapi hamba yang menerima seribu keping wang emas pergi menggali lubang di tanah, lalu menyembunyikan wang tuannya.

19Lama kemudian, tuan hamba-hamba itu pulang lalu menyuruh mereka memberikan laporan tentang apa yang dilakukan dengan wangnya.

20Hamba yang menerima lima ribu keping wang emas datang dan menyerahkan sepuluh ribu keping wang emas. Dia berkata, ‘Tuan menyerahkan lima ribu keping wang emas kepada saya. Lihatlah, saya berhasil mendapat keuntungan sebanyak lima ribu keping lagi.’

21‘Bagus,’ kata tuan itu, ‘kamu hamba yang baik dan setia. Oleh sebab kamu dapat dipercayakan dengan yang sedikit, aku akan mempercayakan yang lebih banyak kepadamu. Masuklah dan bersukacitalah bersama-sama tuanmu!’

22Lalu hamba yang menerima dua ribu keping wang emas datang dan berkata, ‘Tuan menyerahkan dua ribu keping wang emas kepada saya. Lihatlah, saya berhasil mendapat keuntungan sebanyak dua ribu keping lagi.’

23‘Bagus,’ kata tuan itu, ‘kamu hamba yang baik dan setia. Oleh sebab kamu dapat dipercayakan dengan yang sedikit, aku akan mempercayakan yang lebih banyak kepadamu. Masuklah dan bersukacitalah bersama-sama tuanmu!’

24Kemudian hamba yang menerima seribu keping wang emas datang dan berkata, ‘Tuan, hamba tahu bahawa tuan seorang yang keras. Tuan menuai tuaian di tempat yang tidak tuan tanami, dan tuan memungut hasil di tempat yang tidak tuan taburi dengan benih.

25Hamba takut, maka hamba pergi menyembunyikan wang tuan di dalam tanah. Inilah milik tuan.’

26‘Kamu hamba yang jahat dan malas!’ kata tuan itu. ‘Tidakkah kamu tahu, bahawa aku menuai tuaian di tempat yang tidak aku tanami, dan memungut hasil di tempat yang tidak aku taburi dengan benih?

27Jika demikian, seharusnya kamu simpan wangku di bank, supaya apabila aku balik, aku dapat menerima wangku kembali dengan faedahnya.’

28Kemudian tuan itu berkata kepada hamba yang lain, ‘Ambil wang itu daripadanya, dan berikan kepada orang yang mempunyai sepuluh ribu keping wang emas.

29Setiap orang yang mempunyai sesuatu akan diberikan lebih banyak lagi supaya dia beroleh lebih daripada cukup. Tetapi seorang yang tidak mempunyai apa-apa, sedikit yang ada padanya akan diambil juga.

30Tentang hamba yang tidak berguna ini, buanglah dia ke luar ke tempat yang gelap. Di sana dia akan menangis dan menderita!’"

Pengadilan pada Hari Kiamat

31"Apabila Anak Manusia datang sebagai Raja dengan semua malaikat Allah, Dia akan duduk di atas takhta-Nya yang mulia.

32Umat manusia di bumi ini akan dikumpulkan di hadapan-Nya. Kemudian Dia akan memisahkan mereka menjadi dua kumpulan, seperti gembala memisahkan domba daripada kambing.

33Anak Manusia akan mengumpulkan orang yang melakukan kehendak Allah di sebelah kanan-Nya dan yang lain di sebelah kiri-Nya.

34Kemudian Raja itu akan berkata kepada mereka yang di sebelah kanan-Nya, ‘Hai kamu yang diberkati Bapa-Ku! Marilah dan nikmatilah Pemerintahan Allah yang telah disediakan oleh Allah untuk kamu sejak dunia ini diciptakan-Nya.

35Ketika Aku lapar, kamu memberi Aku makan, dan ketika Aku dahaga, kamu memberi Aku minum. Aku seorang asing, tetapi kamu menyambut Aku ke dalam rumah kamu.

36Aku tidak berpakaian, dan kamu memberi Aku pakaian. Aku jatuh sakit, dan kamu merawat Aku. Aku dipenjarakan, dan kamu melawat Aku.’

37Tetapi mereka yang melakukan kehendak Allah berkata, ‘Ya Tuhan, bilakah kami nampak Tuhan lapar lalu memberi Tuhan makan, atau dahaga lalu memberi Tuhan minum?

38Bilakah kami nampak Tuhan sebagai orang asing lalu menyambut Tuhan ke dalam rumah kami, atau melihat Tuhan tidak berpakaian lalu memberi Tuhan pakaian?

39Bilakah kami nampak Tuhan sakit lalu merawat Tuhan? Bilakah kami melawat Tuhan di penjara?’

40Raja itu akan menjawab, ‘Ketahuilah, manakala kamu melakukan perkara itu untuk salah seorang daripada saudara-Ku, walaupun dia hina, kamu telah melakukannya untuk-Ku!’

41Kemudian Raja itu akan berkata kepada kumpulan orang di sebelah kiri-Nya, ‘Pergi dari sini, hai kamu yang dikutuk Allah! Pergilah ke dalam api yang tidak dapat padam yang telah disediakan oleh Allah untuk Iblis dan malaikat-malaikatnya!

42Ketika Aku lapar, kamu tidak memberi Aku makan; ketika Aku dahaga, kamu tidak memberi Aku minum.

43Aku seorang asing, tetapi kamu tidak menyambut Aku ke dalam rumah kamu. Aku tidak berpakaian, tetapi kamu tidak memberi Aku pakaian. Aku jatuh sakit dan dipenjarakan, tetapi kamu tidak melawat Aku.’

44Lalu mereka akan berkata kepada-Nya, ‘Ya Tuhan, bilakah kami nampak Tuhan lapar, atau dahaga, atau sebagai orang asing, atau tidak berpakaian, atau sakit, atau dipenjarakan, dan kami tidak menolong Tuhan?’

45Raja itu akan menjawab, ‘Ketahuilah bahawa pada waktu kamu tidak mahu menolong salah seorang yang hina, kamu tidak mahu menolong Aku.’

46Kemudian semua orang itu akan menderita hukuman yang kekal, sedangkan mereka yang melakukan kehendak Allah akan menerima hidup sejati dan kekal."


  Share Facebook  |  Share Twitter

Download Audio MP3 (Matius 25):
Mobile (Low Quality) - CD (High Quality)

 <<  Matius 25 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel